Jodoh luar biasa, dulu ‘crush’ kini bergelar suami. Haziq selesa galas tanggungjawab ‘bapa segera’!

ISTILAH perigi cari timba sudah tidak wujud pada masa kini. Andai itu jodoh yang sudah ditetapkan oleh-NYA, siapa kita yang boleh menolaknya? Jauh mana sekalipun, pasti akan bersatu jua.

Demikian juga dengan pasangan yang cukup luar biasa yang mana kisah cinta mereka menembusi radar negara jiran termasuk di Indonesia, Brunei dan Singapura.

Baca ni ‘Mak paling rare.’ Anak lelaki dekor majlis hari lahir, reaksi Shiera bebel bab sampah, 3 biji brownies bikin terhibur

Jodoh Muhammad Haziq Samrat, 27, dan isteri, Nur Atiqah Amiera Ghazali, 29, amat menyentuh hati ramai.

Dipanggil secara eksklusif menerusi program Borak Bibir Merah terbitan SinarPlus, Sinar Harian, kedua-dua memberitahu, putik-putik awal perkenalan mereka bermula menerusi platform Bigo Live pada November 2020.

Naluri cinta berkembang mekar selepas itu. Nur Atiqah Amiera atau mesra disapa Amiera terlebih dahulu memulakan langkah ‘mengurat’ Muhammad Haziq.

Tertarik dengan keperibadian, Amiera terus terpaut hati, lalu memberanikan diri melamar lelaki itu sebagai suaminya.

Perbezaan fizikal bukan penghalang buat pasangan tersebut mencipta bahagia sehingga ke jenjang perkahwinan. Sudah jelas lagi nyata, Amiera sendiri sudah tahu status diri Muhammad Haziq atau Haziq ketika itu.

Dalam reaksi segeranya, pemegang Diploma Multimedia dan Animasi serta Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan melahirkan rasa syukur dan terharu kerana bertemu jodoh dengan isterinya kini.

Baca lagi Makan nasi cuma 2 sudu, petua Azah Aziz kekal awet muda pada usia 50 tahun

“Alhamdulillah, syukur isteri dapat menerima diri saya seadanya. Usaha yang ditunjukkan isteri ketika awal perkenalan membuatkan saya jatuh hati kepadanya.
Sementelah, beliau tahu sedari awal tahu saya dalam kategori orang kurang upaya (OKU), jadi tidak timbul isu kekurangan fizikal antara kami.

“Sejujurnya memang sebelum ini saya tidak terfikir soal berkahwin. Apatah lagi, dengan situasi saya sebegini. Cuma saya sentiasa berfikiran positif. Alhamdulillah, Tuhan sudah aturkan jodoh untuk saya,” ujarnya yang menggunakan papan selaju untuk bergerak.

PERSEPSI MASYARAKAT

Berhadapan dengan persepsi masyarakat, baik Haziq mahupun Amiera enggan mengambil kisah, jauh sekali melayan kata-kata dan pandangan serong terhadap hubungan mereka.

“Memang ada yang beranggapan bukan-bukan dengan hubungan kami. Pun demikian, saya tidak ambil peduli. Saya tahu, Amiera memilih saya sebagai suami bukan kerana wang atau mahu meraih simpati,” ujar lelaki hebat itu lagi.

Amiera yang juga seorang pembantu jururawat turut mengakui, selain keluarga, penerimaan kawan-kawannya juga cukup positif.

Bahkan, mereka mahu beliau terus kuat dan miliki mental yang kental apabila memilih orang seperti Haziq sebagai suami.

“Bagi yang mengenali, mereka faham isi hati kami. Sebenarnya tidak perlu balas semula kata-kata negatif tersebut kerana ia tidak akan membawa kami ke mana-mana.

“Kami anggap setiap cemuhan atau kata-kata itu sebagai pendorong semangat dan galakan buat kami untuk terus mencipta bahagia dengan cara kami,” tegas Amiera sambil memberitahu ramai juga yang turut memberikan kata-kata semangat dan ungkapan menyejukkan hati.

MILIKI ANAK SEGERA

Larut bersembang dengan pasangan ini, SinarPlus diberitahu akan status Haziq sebagai ‘ayah segera’.

Mungkin, ramai yang tidak mengetahui Haziq kini memiliki dua anak tirinya hasil perkahwinan isterinya yang terdahulu.

“Perubahan dalam hidup selepas bergelar suami tidak banyak sebenarnya. Cuma sekarang, saya sudah ada isteri dan juga anak (tiri), jadi bertambah rutin baru iaitu akan hantar mereka ke sekolah terlebih dahulu. Saya dan isteri juga hanya bertemu waktu malam, selepas pulang daripada kerja.

“Setakat ini, saya tiada masalah untuk menjalankan tanggungjawab sebagai ayah kerana hubungan kami sangat baik. Awal-awal dahulu, mereka (anak tiri) ada bertanyakan tentang keadaan diri saya sebegini.

“Jadi, saya terangkan supaya mereka lebih faham. Lagipun, persoalan sedemikian sudah acapkali saya terima, jadi tiada masalah kepada saya,” ungkapnya.

Anak tiri Haziq berumur tujuh dan enam tahun.

Tegas lelaki itu lagi, tiada istilah kekok apabila miliki anak segera memandangkan beliau sudah terbiasa menjaga anak-anak saudaranya.

“Sebelum kahwin, saya sudah biasa membesarkan anak-anak buah sendiri. Jadi, apabila dapat anak tiri, saya gunakan pendekatan yang sama. Alhamdulillah, setakat ini tiada sebarang masalah.

Kepada satu soalan, Haziq berkata: “Soal miliki anak sendiri, kalau ada rezeki tak ke mana. Itu yang kami pegang selepas bergelar suami isteri. Lagipun sekarang kami dalam fasa bulan madu. Jadi, kami serahkan hal tersebut kepada SANG PENCIPTA.
Kami tidak mahu merancang dan terima seadanya.”

ISTERI KUAT MERAJUK

Ditanya bab menu istimewa air tangan isteri, ujar Haziq sejak dahulu lagi beliau gemar masakan yang simple dan tidak berkuah.

“Selepas berkahwin, saya jatuh suka dengan masakan isteri iaitu Udang Goreng Kunyit dan Kentang Goreng Sambal,” ulasnya ringkas.

Lumrah pasangan yang berkahwin, pasti tidak terlepas daripada perselisihan faham.
Akui Haziq, isterinya kuat merajuk dan biasanya beliau akan beralah dan memujuk si jantung hatinya itu.

“Tiga bulan berkahwin, tidak dinafikan ada juga berlaku gaduh-gaduh manja. Perempuan merajuk itu perkara biasa. Saya akan pujuk selagi mampu. Lelaki pun ada ego dan tahap kesabarannya kan.

“Lagipun, saya bukan jenis yang marah-marah atau suka berdebat. Saya jenis diam dan jika saya berbuat begitu, isteri akan faham sendiri,” kata Haziq sambil memandang isterinya yang hanya ketawa mendengar kata-kata suaminya itu.

Seperkara, kongsi Amiera, biarpun suami berstatus OKU, tetapi beliau sebenarnya seorang lelaki yang tiada sebarang kekurangan.

“Kita manusia biasa ini sebenarnya banyak kekurangan. Sisi suami yang ramai tidak tahu, beliau banyak mengisi kekurangan yang ada dalam diri saya.

“Saya jenis yang tidak boleh stres dan kebetulan memang ada anxiety. Jadi, Haziq banyak beri impak positif kepada saya. Beliau selalu bantu berikan aura positif, cara cool down, selain mengajar saya cara untuk berdikari,” ungkap Amiera lagi.

Baca lagi Penampilan sulung karya anak dalam koleksi fesyen terbaru, Melinda Looi luah rasa bangga dan terharu

Layari portal SinarPlus, sinarplus.sinarharian.com.my untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami untuk info dan kisah penuh inspirasi