Kaki bayi retak tak boleh jejak lantai, muka berbekas, CCTV taska bongkar segalanya

A
A
A

TIADA ibu yang tega melihat anak kesakitan dan cedera, tambahan pula ketika usia masih bayi.

Tatkala anak dihantar ke taska atau pengasuh, ibu bapa menyerahkan sepenuhnya kepercayaan dan berharap permata hati mereka dijaga baik seperti mana dijanjikan.

Seorang pengguna Facebook, Afzan Ikka Wan Nurul meluahkan rasa terkilan apabila mendapati anaknya mengalami kecederaan selepas diambil daripada taska.

Benarlah dikatakan naluri seorang ibu itu kuat, dapat merasakan sesuatu yang tidak kena pada anak.

Menurut Afzan, lebih kurang lebih sebulan yang lalu dia berasa tidak sedap hati ketika di pejabat dan terus tanya pengasuh tentang perihal anaknya.

Bagaimanapun respons pengasuh mengatakan semuanya baik-baik sahaja.

Namun selepas anaknya dijemput dari taska, Afzan mendapati si kecil itu tidak berhenti menangis. Malah ada kesan pada mata kirinya.

Bila ditanya, pengasuh memberitahu ia berpunca daripada yang anaknya tadi berebut mainan dengan bayi lain. Manakala kesan di muka pula kerana tidur di atas tikar mainan (playmat).

Gambar hiasan.

Lebih menyedihkan apabila beliau mendapati si kecil tidak mahu menjejakkan kaki kanannya ke lantai. Malah apabila disuruh berjalan, anaknya meraung menangis.

Bimbang akan kedaan si kecil, Afzan dan suami telah membawa anak perempuan mereka ke hospital sebelum dinasihatkan untuk membuat laporan polis.

Lebih menyayatkan hati, keputusan imbasan x-ray yang dilakukan mendapati bahagian tibia kaki anaknya retak sehingga perlu disimen untuk mengelakkan komplikasi.

Susulan itu, doktor hospital swasta lain yang merawat anaknya mendesak dia dan suami untuk buat lagi laporan polis.

Kredit foto: Boston Children Hospital

Afzan dan suaminya telah melihat rakaman kamera litar tertutup berkenaan. Bagaimanapun, tiada bukti menunjukkan penjaga berkenaan berlaku kasar kecuali satu video rakaman yang memaparkan seorang bayi berusia 10 bulan telah dilayani tidak baik.

Namun apabila melihat rakaman di taska berkenaan, jelas kelihatan perbuatan yang dilakukan. Dakwa Afzan, wajah anaknya dibaling tuala. Malah si kecil itu  tidak henti menangis sepanjang lapan jam ditinggalkan di situ.

Kesan pada muka yang dikatakan tidur di atas tikar mainan itu juga dakwanya tidak betul kerana dalam rakaman tersebut anaknya memang tak tidur langsung di atas tikar berkenaan.

Baca juga Ibu Bapa Perlu Cakna Pilih Taska, Pengasuh Buat Si Manja

Ibu muda ini turut mengingatkan ibu bapa lain agar berhati-hati dalam memilih taska. Kini permata hatinya itu sudah kembali ceria dan sihat dalam jagaan saudaranya.

Semoga kisah yang dikongsikan ini boleh dijadikan pengajaran buat kita untuk berhati-hati dalam memilih pusat penjagaan  buat si kecil. Sentiasa peka dengan perubahan emosi dan fizikal si kecil kerana ia kemungkinan tanda-tanda trauma disebabkan perkara yang tidak diingini.

Sumber: Afzan Ikka Wan Nurul

Gambar hiasan: Pexels, Freepik

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca