BIASA kita tengok serangga ini yang berterbangan atau duduk berkumpulan dalam cahaya cantiknya pada waktu malam.

Ada yang menggelarnya sebagai kelip-kelip dan tidak kurang juga yang mengenalinya sebagai si kunang-kunang.

Begitupun, tahukah kita, kelip-kelip dan kunang-kunang adalah berbeza? Walaupun kedua-duanya merupakan ‘fireflies’, terdapat ciri-ciri yang membezakan kedua-dua kumpulan ini.

Perbezaan kelip-kelip dan kunang-kunang.

Bersempena sambutan ‘Hari Kelip-kelip Sedunia’ (World Firefly Day) yang jatuh pada semalam dan esok (hujung minggu pertama Julai setiap tahun),  Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) ingin mengambil kesempatan untuk berkongsi maklumat yang tidak diketahui ramai.

KELIP-KELIP

– Kelip-kelip dijumpai di kawasan tebing sungai yang mengalami air pasang-surut.
– Ia berkumpul dalam bilangan yang besar pada kanopi pokok. Biasanya, 1-3 spesies dijumpai di sesuatu habitat.
– Spesies yang paling ikonik seperti ‘Pteroptyx tener’ yang terdapat di Sungai Selangor. Spesies ini berkumpul di pokok-pokok tepian sungai serta mengeluarkan cahaya secara bersinkroni (serentak).

KUNANG-KUNANG

– Kunang-kunang pula hidup di hutan darat.
– Lazimnya terbang secara bersendirian dan mempunyai kepelbagaian spesies lebih tinggi di satu-satu habitat iaitu 7-9 spesies.
– ‘Pyrocoelia’ ialah contoh kunang-kunang yang boleh dijumpai di kampus FRIM.

Setakat ini 26 spesies serangga ini ditemukan di negara kita iaitu 5 spesies kelip-kelip dan 21 spesies kunang-kunang. Potensi untuk menemui spesies baharu adalah tinggi kerana masih banyak yang belum diterokai.

Iklan

Walaupun FRIM merupakan hutan buatan manusia, tahukah anda, terdapat sekurang-kurangnya 11 spesies kunang-kunang dalam kampus ini!

Potensi bidang ekopelancongan

Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Abd Latif Mohmod menyifatkan, pemuliharaan habitat adalah kritikal untuk kelestarian populasi kelip-kelip.

“Kelip-kelip merupakan ikon cahaya negara yang wajib dipelihara. Terdapat juga banyak potensi dalam bidang ekopelancongan berasaskan serangga ini yang boleh diterokai.

Iklan

“FRIM komited memainkan peranan sebagai penggerak usaha pemuliharaan kelip-kelip dan kunang-kunang,” kata beliau dalam kenyataan medianya semalam.

Dr Abd Latif

Info: Dr Nada Badruddin & Veronica Khoo, FRIM

Foto: MDKS, FRIM