Gerai daging salai Khalid Jamlus terpaksa ditutup, warga maya kongsi simpati

A
A
A

"TIKAR yang kami bentang, tikar tu juga kami terpaksa gulung."

Sebanyak 10 patah perkataan beserta emoji sedih pada hujung ayat cukup menggambarkan secara tersirat betapa pilunya hati bekas pemain kebangsaan, Muhammad Khalid Jamlus ketika ini.

Masakan tidak, hantaran yang dimuat naik di laman sosial Facebook itu merujuk pada Gerai Daging Masak Lomak Cili Api yang diusahakan di Lepak Court, Batu 7, Sijangkang, Kuala Langat, Selangor sejak sembilan bulan lalu terpaksa ditutup.

Biarpun tidak menjelaskan faktor utama penutupan gerai berkenaan, tetapi sesetengah individu berpendapat situasi itu berkait rapat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik Covid-19.

"Assalammualaikum semua...mulai esok saya terpaksa tutup kedai," tulis bekas penyerang Selangor dan Perak terbabit bersama emoji sedih.

Perkongsian Khalid berusia 44 tahun itu mendapat lebih 300 komen yang mana majoritinya berharap agar beliau tabah menghadapi dugaan tersebut.

khalid jamlusKHALID mengumumkan gerainya terpaksa ditutup menerusi laman sosial Facebook baru-baru ini.

Antaranya respon warganet:

- "Semoga dipermudahkan segala urusan sahabat. Jangan putus asa rezeki ada saja di mana-mana."

- "Cabaran berniaga ketika pandemik memang susah. 'Yang miskin Tetap Miskin, Yang sederhana Pun Boleh Jatuh Miskin'."

- Semoga dipermudahkan segala urusan Tuan. Satu cadangan yang boleh membantu tuan jual makanan orang ramai mampu beli dan lebih murah. Contoh nasi lemak, bihun. Pendapat saya mungkin daging salai makanan mewah, bukan semua berkemampuan membelinya masa sekarang. Semoga Tuan tidak berputus asa."

- "Allahuakhbar... Semoga ada usaha kembali abang."

- "Semoga bro khalid kuatkan semangat untuk meneruskan kelangsungan hidup."

- "Macam mana nak pusing tengah pendemik, lockdown pula. Ramai terkesan sabor yeop ade rezeki besar menanti."

- "Kenapa nak tutup Khalid. Esok kedai dah boleh buka jam 6 pagi hingga 10 malam."

khalid jamlusSULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membeli trofi Kasut Emas milik Khalid Jamlus. - Foto ihsan Facebook Selangor Royal Office.

Terdahulu, bekas pemain skuad Olimpik 2000, Perak, Selangor, Kelantan, ATM dan Kelantan itu terpaksa melelong barangan peribadi seperti jersi dan medal ketika bergiat aktif dalam bola sepak susulan masalah kewangan yang dihadapi.

Paling mencuri tumpuan apabila beliau juga memutuskan melelong ‘kasut emas’ yang dimenanginya pada musim 2002 lalu setelah meledak 17 gol bersama Perak.

Akhirnya, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berkenan untuk membeli kasut emas berkenaan pada September lalu.

Buat para peniaga baik berskala besar mahupun kecil yang terjejas sepanjang pandemik Covid-19, diharapkan tidak berputus asa dan terus berusaha mencari solusi terbaik demi kelangsungan hidup.

Justeru, rakyat Malaysia disarankan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan kekal di rumah bagi memutuskan rantaian penularan koronavirus, sekali gus menurunkan kadar kes jangkitan harian untuk kesejahteraan kita bersama.

Sumber: Facebook Khalid Jamlus

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca