NAHAR Power, gerai menjual biskut tradisional dan moden di Angsana Mall, Johor Bahru pastinya tidak asing bagi orang ramai di sekitar bandar raya ini.

Sebut sahaja rempeyek, tumpi, popia mini, bangkit santan, tart nanas, batang buruk serta semperit, pasti terbayang kerangupan dan keenakan kuih yang lazimnya dicari pelanggan saban tahun.

Namun, pada saat dunia berhadapan ancaman Covid-19 dan negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pemilik Nahar Power, Mohd Naharudin Isa, 50, bersyukur beliau masih tidak ‘menang tangan’ melayan pelanggan di gerai yang diusahakan sejak lebih 20 tahun lalu walaupun mengakui perniagaannya terjejas hampir 50 peratus akibat wabak itu seperti apa yang dilaporkan oleh portal tempatan.

Selaras dengan pelaksanaan PKPB, gerai Nahar Power tidak terkecuali daripada mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan. Pelanggannya dilihat selesa dengan kebiasaan baharu seperti menjalani pemeriksaan suhu badan, memakai cecair pembasmi kuman serta mematuhi penjarakan sosial masing-masing.

“Saya mula melakukan sanitasi gerai, memasang pelekat penanda jarak serta penyusunan biskut raya ini pada 8 Mei. Terima kasih kepada kerajaan yang memberikan kelonggaran kepada peniaga untuk kembali memulakan perniagaan masing-masing dan orang ramai untuk keluar berbelanja sempena musim perayaan ini.

“Ini kerana sekurang-kurangnya dapat saya membayar sewa gerai dan gaji pekerja,” katanya.

Iklan

Menurut Mohd Naharudin, lazimnya, beliau menjual sehingga 60 jenis biskut, rempeyek, tumpi serta pelbagai kek lapis pada tahun sebelum ini, namun, kali ini hanya menjual 20 jenis biskut dan lima jenis kek lapis popular bagi mengelakkan risiko kerugian sekiranya kekurangan pelanggan.

Di saat berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi, Nahar Power yang beroperasi mulai 10 pagi hingga 9 malam setiap hari, masih mengekalkan harga sama seperti tahun lepas bagi semua jenis biskut yang dijual antara RM25 dan RM30 sebalang.

Iklan

Sebagai alternatif memudahkan pelanggan mendapatkan biskut raya, Mohd Naharudin berkata pusat edaran biskutnya di Jalan Kenangan, Kampung Melayu, yang sebelum ini khusus kepada pembeli pukal, kini dibuka kepada pembeli biasa.

“Selaras dengan perkembangan teknologi, Nahar Power turut menyediakan perkhidmatan jualan dalam talian dan pembayaran tunai semasa serahan (COD) di sekitar bandar raya ini, namun, tidak banyak kerana kami takut biskut rosak atau pecah apabila diterima pelanggan,” katanya.