KEPADA generasi sekarang, nama kumpulan Tarantula memang agak asing. Boleh dikatakan lagu-lagu band yang terkenal pada era 1990-an itu juga jarang kedengaran di corong-corong radio lagi.

Apa perkembangan terkini kumpulan itu terutama vokalisnya,  Johari Jumadi atau nama timangannya, Joe Bugis?

Ketika menghubunginya, Joe dengan nada teruja berkata, kumpulan itu masih wujud dan belum berpecah.

Sebelum berbicara lanjut, selebriti itu mengimbau sedikit portfolio Tarantula untuk masyarakat yang sudah melupakan mereka.

”Tarantula ditubuhkan pada tahun 1997 yang mana pada ketika itu, kami aktif di majlis-majlis perkahwinan sahaja. Saya sudah 10 tahun menjadi vokalis kedua Tarantula.

“Kami satu kumpulan kami masih ada bersama-sama meneruskan misi dan minat dalam bidang muzik,” beritahunya.

Lagu Pusara Cinta pernah menjadi fenomena suatu masa dahulu, katanya. Kejayaan itu kemudian  mendorong mereka tampil dengan album berjudul Gemersik yang menampilkan empat lagu iaitu Gemersik, Mastura, Berpura-Pura dan Ego.

Kata Joe, Tarantula boleh membawa kepelbagaian rentak muzik seperti heavy metal, hard rock, slow rock, dangdut, joget dan reggae.Beliau pada masa sama turut berkongsi mengapa  Tarantula dipilih sebagai nama kumpulan itu.

Ujar beliau: ”Tarantula sejenis labah-labah berbisa. Begitu juga dengan kami yang mahu memberikan aura ‘berbisa‘ kepada semua peminat muzik.”

Namun, mengapa Tarantula dilihat seolah-olah sepi tanpa sebarang khabar berita? Ujar Joe, seperti orang lain, mereka juga terkesan dengan pandemik Covid-19. Kini, katanya, menyanyi menjadi satu hobi dan ia dilakukan secara sambilan sahaja.

”Saya terlibat secara langsung dalam pengurusan dan sebagai jurulatih di bawah Unit Pengiring Khas. Begitu juga dengan rakan-rakan lain, mereka juga mempunyai pekerjaan hakiki yang lain dan tidak menumpu sepenuhnya kepada bidang muzik,” tambah beliau.

Kemunculan semula

Pun demikian, akui Joe, disebabkan minat yang begitu menebal, ahli Tarantula akan bersua pada setiap minggu dan melakukan beberapa aktiviti bersama seperti busking dan jamming.

”Selain itu, kami akan bersembang dan bertukar pendapat dalam pelbagai topik dengan ahli kumpulan,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Joe meluahkan perasaan yang barangkali sudah terbuku lama mengenai selera muzik zaman milenial yang terarah kepada muzik pop.

”Mungkin ada orang yang berpendapat bahawa muzik rock semakin terpinggir daripada saingan industri muzik di negara kita, tetapi saya yakin genre rock kapak masih mempunyai ramai peminat.

”Ia terbukti jelas apabila lagu-lagu rock kapak masih menjadi pilihan ramai kerana setiap kali persembahan, kehadiran peminat memang meriah.

”Bagi saya, genre itu mampu bertahan lama kerana muzik dan liriknya yang mendalam dan mempunyai makna atau terselit maksudnya tersendiri,” kata Joe bersungguh.

Jadi, apa perancangan Tarantula? Mahu teruskan momentum perjalanan sebagai anak seni atau bagaimana?

Iklan

Jawab Joe: ”Doakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bakal berakhir. Sebenarnya kami sedang menyiapkan album keempat yang mengandungi lima buah lagu baharu bersama empat buah lagu lama (direkod semula).

”Kalau ikutkan perancangan, album berkenaan bakal diterbitkan, harapan kami agar hasrat ini akan menjadi kenyataan dan dapat ubat kerinduan para peminat Tarantula. Insya-ALLAH, nantikan ya,” katanya optimis.

Sebenarnya kami sedang menyiapkan album keempat yang mengandungi lima buah lagu baharu bersama empat buah lagu lama (direkod semula). Harapan kami agar hasrat ini bakal menjadi kenyataan. Insya-ALLAH.- Joe Bugis

PROFIL

  • Nama: Johari Jumadi
  • Nama komersial: Joe Bugis
  • Umur: 45 tahun
  • Asal: Sungai Buloh, Selangor
  • Album: – Album 1: Pusara Cinta – Album 2: Gemersik – Album 3: Percaturan
  • Facebook: Joe Tarantula
  • Instagram: @joetarantula