BAIT lagu malar segar berjudul Di Sana Menanti, Di Sini Menunggu, dendangan Ukays memang hit pada era 1990-an. Seiring dengan itu, nama vokalisnya, Amir atau nama sebenarnya, Mohd Azmir Muhammad Yusof turut memuncak.

Sebelum bersama Ukays, Amir yang kini berusia 51 tahun pernah menganggotai kumpulan Analisa. Namun, rezekinya cenderung ketika bersama Ukays.

Album ketiga Ukays berjudul Bisa Berbisa yang dikeluarkan pada tahun 1994 disifatkan oleh pemerhati dunia seni sebagai album terbaik yang pernah dihasilkan oleh sesebuah kumpulan muzik pada era itu.

Masakan tidak, jualan album itu mencecah lebih 300,000 unit. Lagu-lagu mereka yang rata-ratanya dinukilkan oleh komposer popular tanah air, Saari Amri sentiasa mengungguli carta lagi di stesen radio tempatan.

amir ukays

Antara lagu yang terkenal dan masih berbisa sehingga sekarang adalah seperti Seksa, Kau Satu-Satunya dan Rhythm Si Jantung Hati.

Selepas penyertaan Amir dalam program hiburan Gegar Vaganza pada tahun 2015, kelibatnya sudah jarang kelihatan. Ke mana dirinya menghilang?

Berbual dengannya menerusi corong telefon baru-baru ini memberi peluang kepada penulis bertanyakan khabar penghibur veteran tersebut yang kini bergerak secara solo sejak tahun 1997.

Kurang aktif

Berkongsi perkembangan terkini, bapa kepada empat cahaya mata itu memaklumkan, beliau banyak menghabiskan masa di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Sekarang ini, memang kurang tawaran undangan nyanyian. Jadi, saya lebih suka beristirehat dan meluangkan masa bersama isteri dan anak-anak. Kalau keluar rumah pun, hanya urusan penting sahaja.

“Baru-baru ini, saya diajak bersama dalam program Salam Dari Maya yang telah pun disiarkan pada Jumaat lalu menerusi saluran Youtube, itu sahaja,“ katanya yang turut bergandingan dengan penyanyi lagenda, Zamani Slam dalam program tersebut.

amir ukays

Kepada SinarPlus, Amir berkata, menjadi seorang artis tidak semudah yang disangka. Dari luaran semuanya nampak indah, tetapi hakikatnya, hanya Tuhan yang tahu, ujar selebriti itu.

Kata pelantun lagu Kekasihku di Menara, kegagalan memang sesuatu yang tidak boleh dielakkan.

“Untuk pengetahuan semua, album pertama dan kedua tidak dapat sambutan.

Iklan

“Itu yang pertama, namun yang paling perit, saya pernah berdepan dengan kecederaan teruk pada bahagian rahang selepas terlibat dalam satu kemalangan pada tahun 2001. Ketika itu, saya sudah fikir negatif, saya ingat saya tidak boleh menyanyi juga sebab rahang pecah dan makan masa untuk sembuh,“ imbaunya yang sudah 30 tahun bergelumang dalam dunia seni.

amir ukays

Namun, atas doa peminat dan keluarganya, beliau kembali cergas.

Mengenang pandemik Covid-19 yang tidak tahu sampai bila penghujungnya, Amir mengharapkan semua pihak termasuk rakan artis berterusan berdoa.

“Kita tidak tahu sampai bila Covid-19 ini akan berakhir. Semua terkesan bukan sahaja artis tetapi semua sektor. Kita kena kuat untuk menjalani kehidupan dan patuhi arahan kerajaan demi membendung wabak ini secara menyeluruh.

Iklan

“Jangan putus asa dan berhenti berharap. Percaya pada rezeki ALLAH dan sentiasa berfikiran positif. Jangan lupa jaga kesihatan diri dan patuhi peraturan,“ pesannya.

amir ukays

PROFIL

Nama komersial: Amir Ukays

  • Nama sebenar: Mohd Azmir Muhammad Yusof
  • Umur: 51 tahun
  • Asal: Sentul, Kuala Lumpur
  • Album:
  • Mencari (1992)
  • Bisa Berbisa (1994)
  • Tajam Menikam (1995)
  • Panas Berpanjangan (1996)
  • Cuma Aku Yang Hidup (1997)
  • Pijar Kasmaran (2000)
  • Instagram: @amirukaysofficial