“Berbau dan pahit”. Itu adalah tanggapan kebanyakan orang setiap kali bercakap mengenai buah petai.

Pun begitu, petai sebenarnya mempunyai khasiatnya tersendiri. Berdasarkan kajian, buah petai yang berbintil-bintil pada papannya dikatakan mengandungi kadar protein dan lemak yang tinggi berbanding tumbuhan hutan yang lain.

Buat penggemar petai, tentunya bila terlihat adanya ‘butiran hijau’ dicampurkan di dalam masakan sambal mahu pun gulai pasti selera makan terus terbuka!

Ditambah pula apabila melihat saiz petai yang besar dan nampak segar, terasa ingin segera dicapai untuk disuakan ke mulut untuk dinikmati.

Kebiasaannya semakin besar isi petai semakin sedap rasanya. Namun kalau kecil isi petai tersebut maka kuranglah umphnya.

Sementara itu, baru-baru ini pengguna Twitter @kayy_azman berkongsikan beberapa keping foto dan video yang didakwanya ‘petai gergasi’.

Petai yang dijumpai oleh lelaki yang dikenali sebagai Kayy Azman itu menarik perhatian warganet apabila dilihat ia sesuatu yang agak unik kerana ia memiliki saiz yang agak besar berbanding petai yang lain.

Lelaki tersebut juga mendakwa itu merupakan pengalaman pertamanya berjumpa petai bersaiz gergasi pada usianya kini mencecah 23 tahun.

“Umur 23 tahun baru tahu petai ada size XXXL punya. Haters gonna tell its fake. But yeah memang real,” tulisnya.

Video posting lelaki tersebut sehingga kini berjaya meraih hampir 200,000 tontongan dengan 18,100 ulang kicau.

Iklan

Rata-rata warganet memberikan pelbagai reaksi melalui perkongsian tersebut sehingga ada yang bertanya adakah bau petai gergasi ini mampu memberikan bau ‘dahsyat’ yang kurang menyenangkan terutama ketika membuang angin atau ke tandas.

Mana tidaknya, sedangkan petai yang kecil pun kalau makan dalam kuantiti yang banyak mampu memeritkan hidung, ini kan pula petai gergasi!

Iklan

Namun, apa yang pasti, kerangupan mengunyah petai dapat dirasakan begitu lazat dan menyelerakan.

Hanya penggemarnya sahaja yang memahami akan nikmat itu. Hinggakan jika dimakan begitu sahaja bukanlah menjadi sesuatu yang janggal.