SEJAK semalam tular di media sosial yang mana seorang lelaki yang telah menimbulkan kekecohan kerana bertindak membina 11 bonggol di atas jalan di tepi rumahnya di Kampung Padang Luas, Jertih, Terengganu.

Tindakan itu dibuat gara-gara mendakwa terganggu dengan bunyi bising kenderaan yang lalu lalang kerana bilik tidur lelaki itu terletak bersebelahan dengan jalan utama tersebut.

“Bunyi bising kereta dan motosikal yang lalu lalang mengganggu tidur saya,” katanya.

Akibat terlalu berang dengan gangguan itu, lelaki yang dikenali sebagai Nor Muhamad Roslam Harun nekad membelanjakan sejumlah wang i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diterima baru-baru ini untuk membina bonggol.

Lelaki tular bina 11 bonggol tepi rumah guna duit i-Sinar, kos belanja RM1,080 hangus!

Malangnya tindakan yang dibuat itu kurang menyenangkan penduduk setempat kerana bonggol yang dibuat dalam jarak terlalu dekat sehingga tidak sampai 40 meter dan pastinya ia menyusahkan penduduk untuk keluar masuk ke jalan utama.

Memetik laporan media tempatan, Muhamad Roslam telah mengakui kesilapannya dan memohon maaf kepada penduduk setempat setelah dia disisasat dan diambil keterangan oleh pegawai polis setelah menerima aduan.

Iklan

“Pagi semalam ada pegawai polis datang jumpa saya. Beliau menasihati saya dengan elok supaya membuang semua bonggol tersebut.

“Jadi semalam juga saya upah sebuah jentolak untuk meratakan semua 13 bonggol termasuk dua bonggol asal yang ada di situ,” katanya.

Lelaki tular bina 11 bonggol tepi rumah guna duit i-Sinar, kos belanja RM1,080 hangus!

Sementara itu Muhamad Roslam mendakwa dia tertekan sangat dengan masalah ini tambahan pula dia mempunyai masalah kesihatan (gangguan mental) tetapi belum lagi mendapatkan rawatan.

Iklan

Kebetulan i-Sinar bayaran pertama sebanyak RM5,000 baru sahaja diterima jadi dia tanpa berfikir panjang mengambil keputusan membina bonggol agar masalah yang dihadapi itu mampu selesai.

Muhamad Roslam juga pada mulanya ingin membina bonggol yang landai sahaja tetapi tar yang digunakan terlalu cepat mengeras menyebabkan ia menjadi bonggol tinggi sehingga tidak boleh dilalui semua kereta kecuali pacuan empat roda.