TERPUTUS bekalan makanan seperti susu formula bagi mereka yang memiliki anak masih kecil memang cukup menyentap perasaan, lebih-lebih lagi stok susu badan si ibu kian menyusut.

Buntu melihat si kecil menangis tanpa henti kerana kelaparan membuatkan si ibu terpaksa datang ke klinik untuk mendapatkan sampel susu formula percuma demi mengisi perut si anak.

Itulah kisah seorang ibu yang dikongsikan Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan dalam akaun Facebooknya.

Penceritaannya membuatkan ramai ibu di luar sana sebak mengenangkan nasib wanita itu.

Cerita doktor ini, ketika ibu malang itu datang ke kliniknya, beliau sudahpun berada di dalam kereta dan berhasrat untuk pulang ke rumah apabila jam hampir menunjukkan jam 10 malam.

Namun, apabila melihat wanita itu mengetuk pintu klinik sambil mengendong anak yang menangis membuatkan hati doktor ini bimbang takut apa-apa terjadi kepada si kecil.

“Setelah bergegas masuk semula ke dalam klinik, saya pun terus panggil wanita bersama anaknya itu untuk masuk ke dalam bilik konsultasi kerana nampak anaknya menangis tak henti-henti dari luar tadi. Nampak macam ada yang tak kena, jadi saya rasa kena periksa cepat. Daftar kemudian pun tak apa.

susu formula

“Si emak pula kelihatan macam orang yang serba tak kena, seperti orang tak keruan. Dalam pada itu, dia tepuk-tepuk si anak untuk cuba memujuknya. Sesekali dia dodoi. Namun anak dia tetap menangis juga.

“Saya tekun nak tunggu dia sambung cakap, tapi tak dia sambung-sambung pula. Saya sedang pandang wajahnya, dan perasan anak mata dia melilau ke sana ke mari, tapi bukan kerana melihat. Lebih kepada sedang berfikir atau menerawang. Terpaksa saya desak sikit,” ceritanya.

Selepas beberapa ketika, akhirnya ibu berkenaan membuka mulut lalu berkata sesuatu yang begitu meruntun perasaan: “Sebenarnya anak saya ni lapar, doktor, tapi saya tak ada duit nak beli susu untuk dia. Susu dia habis. Susu badan saya tak banyak. Tak cukup untuk dia. Ni dia dah lapar sangat ni.”

susu formula

Dr Kamarul Ariffin berkata, beliau terkedu mendengar pernyataan itu.

Katanya, memikirkan jam ketika itu sudah menunjukkan pukul 9.55 malam dan kebanyakan kedai runcit sudahpun tutup kerana pematuhan prosedur operasi standard sepanjang PKPB, mana nak cari susu malam-malam.

Namun, percayalah, rezeki ALLAH tidak pernah salah alamat.

Tulis doktor itu lagi, tiba-tiba beliau teringat ada jurujual produk susu datang berkunjung ke kliniknya untuk mempromosikan susu keluaran syarikatnya.

Iklan

Pun demikian, disebabkan klinik tersebut tidak menjual susu, jurujual itu hanya meletakkan sampel susu yang ada.

“Okey tak apa, bukan rezeki sayalah hari ni nak jumpa doktor. Cuma, saya nak tinggalkan sampel susu ni dekat sini. Mana tahu ada rezeki orang lain.” Itu kata jurujual itu kepada Dr Kamarul Arifdin.

Banyak juga diberi, berpeket-peket, beritahu doktor itu.

“Ternyata memang ada rezeki orang lain pada hari tu. Saya percaya ini bukan kebetulan. Semuanya dah dirancang. Siapa yang rancang? Tuhan,” katanya.

susu formula
ANTARA komen warganet yang mengikuti perkongsian Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan dalam akaun Facebooknya.

Dalam entri Facebooknya, Dr Kamarul Ariffin berkata, insan-insan yang tiada kaitan dan saling tidak dikenali, telah diaturkan untuk bertemu dengannya agar seorang bayi berusia empat bulan tidak tidur kelaparan malam ini.

Iklan

“Rezeki mengalir daripada jurujual kepada doktor, lalu kepada si ibu, dan akhirnya kepada si anak.

susu formula
ANTARA komen warganet yang mengikuti perkongsian Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan dalam akaun Facebooknya.

“Maka, setelah saya beri sampel-sampel susu formula itu kepada si ibu, saya titipkan sedikit lagi wang belanja untuk si ibu beli keperluan lain untuk dirinya dan keluarga. Si ibu terus menutup mulut dan menangis. Saya turut ikut berasa sebak. Bukan sedih, tapi tumpang gembira,” katanya.

Benarlah bahawa dalam rezeki kita, ada rezeki insan lain.

Maka jangan pernah berasa rugi apabila memberi. Tak usah berasa berhak kepada semuanya.

Rezeki yang dikurniakan-NYA sungguh luas, cukup untuk dikongsikan dengan semua yang ada di muka bumi ini.