Makan mi segera, tidur di kaki lima, mandi di tandas : Nasib rakyat Malaysia di Singapura
SUSULAN pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang kini dilaksankan hampir di seluruh negeri di Malaysia bagi membendung penularan wabak Covid-19, kebanyakan pekerja Malaysia yang tinggal di Johor telahpun mendapat pandangan daripada majikan mereka di negara itu.
Bekerja dari rumah atau tinggal di tempat yang disediakan oleh majikan adalah antara pilihan diberi oleh syarikat di Singapura kepada warga Malaysia yang berulang-alik setiap hari untuk bekerja di republik tersebut.
Namun demikian, memetik laporan akhbar media tempatan, ada dalam kalangan mereka kini dilihat terpaksa hidup sebagai gelandangan di negara orang, tidur di tepi jalan, menumpang mandi di tandas awam dan adakalanya berlapar kerana berjimat membeli makanan.
Angkara penularan pandemik Covid-19 yang memaksa pintu sempadan ditutup sekali gus menghalang mereka berulang alik dari Johor seperti kebiasaan yang kini adalah realiti sebenar yang dihadapi ratusan rakyat Malaysia yang bekerja di sana ketika ini.
Seperti kita sedia maklum, kos sara hidup tinggi yang agak tinggi di negara jiran itu menyebabkan ramai rakyat Malaysia yang sebelum ini berulang alik ke Singapura, terpaksa berkorban bagi menanggung keluarga kerana tambahan pula ada juga yang dipotong gaji bulanan oleh majikan akibat kesan ekonomi sejak pandemik Covid-19.
Menurut sumber, mereka berehat dan tidur di bangku yang ada di taman awam sekitar republik berkenaan, menggunakan tandas awam atau di medan makan, restoran, surau atau masjid, ada juga yang menumpang mandi di tempat kerja.
Difahamkan, ramai tidak mengambil peluang skim Pengaturan Ulang-Alik Berkala (PCA) untuk pulang bercuti dan bertemu keluarga di negara ini berikutan pelbagai kekangan, termasuk dari segi kewangan dan peraturan majikan mereka di republik itu.
Pekerja juga dikatakan tidak dibenarkan bercuti panjang berikutan bebanan kerja ketika penularan Covid-19, selain perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari sebelum dibenar masuk ke Malaysia dan kemudian sebelum dibenarkan masuk kembali ke Singapura.
Memetik kenyataan aktivis kemasyarakatan di Singapura, Shahruddin Haeal Helmy Mohd Noh, 34, pekerja Malaysia terbabit tidak mampu menyewa katil pada harga S$300 (RM915) hingga S$500 (RM1,525) sebulan, apatah lagi bilik berharga S$700 (RM2,135) hingga S$1,200 (RM3,660).
Menurutnya, jumlah itu belum dicampur kos makan mencecah S$20 (RM61) sehari dan kos tambang perkhidmatan pengangkutan awam MRT, antara S$3 (RM9) hingga S$4 (RM12) bagi satu perjalanan mengikut lokasi.
Bahkan, jelasnya, ada yang terpaksa mengikat perut kerana hanya mempunyai S$100 (RM304) untuk bertahan selama sebulan termasuk kos makan selepas menghantar kira-kira S$700 (RM2,134) untuk keluarga di Malaysia dan S$300 (RM915) kos katil.
Lebih menyedihkan lagi, ada juga yang dilihat terpaksa makan mi segera dari pagi hingga malam untuk alas perut.
Sehubungan itu, Shahruddin berkata, kepayahan hidup pekerja Malaysia di Singapura hanya akan berakhir apabila pintu sempadan dibuka dan mereka boleh berulang alik dari Johor setiap hari untuk bekerja.
“Kami amat berharap sempadan dibuka, tetapkanlah apa pun syarat asalkan munasabah untuk kami boleh berulang alik bekerja dari Johor,” katanya.
Dianggarkan lebih daripada 100,000 rakyat Malaysia bekerja berulang alik dari Johor Bahru ke Singapura secara harian sebelum penutupan sempadan negara akibat pandemik Covid-19.
Walau bagaimanapun, penutupan sempadan menyebabkan ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura hilang sumber pendapatan.
Hampir semua pekerja Malaysia yang mengambil keputusan terus berada di Singapura pada awal penularan Covid-19 Mac lalu sebenarnya tidak bersedia meninggalkan keluarga berbulan-bulan yang kini mampu berhubung hanya melalui panggilan video, sekali gus kini turut tertekan.
Ramai warganegara Malaysia yang terkandas di Singapura, dikatakan berdepan risiko kemurungan.
Bulan lalu, seorang lelaki rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, maut selepas terjun dari tingkat lapan sebuah apartmen di republik itu.
Lelaki berusia lingkungan 30-an itu dipercayai mengalami kemurungan akibat masalah kerja di samping merindui keluarganya, selepas terkandas di Singapura hampir lapan bulan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang