“AIR naik cepat! Kami tak sangka air boleh naik sampai paras bumbung dan terpaksa panjat alang kayu bumbung rumah untuk selamatkan diri,” begitulah gambaran pengalaman yang tidak akan dilupakan Nur Aleeya Maisarah Mansor, 18, ketika berdepan banjir besar Ahad lepas.

Memetik laporan portal media tempatan, Aleeya juga dikatakan berada di alang kayu bumbung rumah hampir 10 jam bagi menyelamatkan diri selepas rumah dinaiki air sebelum diselamatkan pihak Bomba dan Penyelamat.

Menceritakan pengalaman itu, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu berkata, dia sama sekali tidak menjangkakan akan berhadapan dengan keadaan sedemikian kerana rumahnya pernah dilanda banjir sebelum ini.

“Kebiasaannya, walaupun kawasan ini banjir, tidak pernah air naik sehingga ke hadapan kawasan rumah, hanya naik di jalan tepi rumah.

“Kami langsung tidak menjangka banjir besar seperti ini akan berlaku, buat pertama kali air naik menghampiri bumbung rumah,” katanya.

Tambah Aleeya lagi, keadaan berlaku sekelip mata apabila rumah keluarganya di Kampung Ajai, Dong, Raub yang dalam proses pengubahsuaian mula dinaiki air pada jam 12 tengah hari secara mendadak sehingga memasuki rumah.

Pada mulanya air sudah melepasi paras pinggang sekitar jam 2 petang, maka dia dan keluarganya membuat keputusan untuk duduk di atas perancah yang digunakan bagi kerja pengubahsuaian rumah.

Mereka juga terpaksa memanjat dengan menggunakan tangga.

Iklan

Bagaimanapun, keadaan bertambah teruk pada jam 5 petang apabila tiba-tiba air mula meningkat naik dan menenggelamkan ‘staging’ yang menyebabkan dia dan keluarganya memanjat lebih tinggi sehingga ke atas alang rumah.

Iklan

“Dari pagi kami tidak sempat makan dan minum,  hanya makan gula-gula yang kebetulan ada di dalam beg saya,“ kata anak tunggal itu.

Susulan arus deras, Nur Aleeya Maisarah berkata, dia bersama bapanya Mansor Omar, 50, dan ibunya Ayusyeila Zulaikha Subari, 44, hanya dipindahkan anggota penyelamat pada jam 2.56 pagi sebelum ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kampung Pia.

“Pasukan keselamatan cuba masuk berkali-kali untuk menyelamatkan kami tetapi air sangat deras dan mereka khuatir bot akan terbalik. Namun, saya bersyukur kerana kami akhirnya berjaya diselamatkan dan terima kasih kepada semua pihak yang turut sama meminta bantuan bagi pihak kami,” katanya.

Banjir itu mengakibatkan mereka kini kehilangan barang berharga seperti kereta selain pakaian dan barangan elektrik.

“Tidak ada apa yang dapat diselamatkan termasuk buku dan pakaian sekolah…saya harap keadaan ini akan cepat pulih,” ujarnya.