SAYA sedih melihat ramai wanita hidup susah di luar sana. Ada sesetengah mereka yang tiada sumber pendapatan tetap, tetapi menanggung  anak yang ramai.”

Demikian luahan hati Datuk Normaziah Sheikh Mohamed. Situasi itu kemudian membuatkannya ingin melakukan sesuatu untuk membantu.

Setelah berfikir dan berdiskusi, akhirnya lahirlah projek Burgernita iaitu satu perniagaan menjual burger yang dikhususkan kepada kaum wanita terutamanya daripada kumpulan B40, mereka yang kehilangan pekerjaan, ibu tunggal termasuk golongan terpinggir seperti bekas banduan.

Normaziah yang merupakan Presiden Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM) berkata, idea terbabit tercetus ketika beliau menghadiri satu program bantuan makanan kepada 1,800 keluarga pada tahun lalu.

Ketika itu, KWIM bersama Mahsuri Food Sdn Bhd dan Ikhlas bergabung tenaga dan wang ringgit untuk membantu meringankan keluarga tidak berkemampuan dengan sumbangan berupa kotak makanan berisi barangan keperluan dapur bernilai hampir RM100.

Sampai bila boleh bertahan?

“Ketika itu, otak saya berputar ligat, sejauhmana sumbangan kotak makanan mampu membantu keluarga susah itu untuk terus bertahan? Getus hati saya, kenapa tidak kita bantu mereka dengan menjana pendapatan berterusan melalui satu perniagaan?

“Bermula dari saat itu, maka projek Burgernita direalisasikan dengan misi mahu mewujudkan 140 outlet di seluruh negara yang dikendalikan oleh kaum Hawa yang berminat dan bersemangat untuk mengubah nasib keluarga,” katanya yang memaklumkan setakat ini hanya terdapat 13 outlet dan bakal bertambah dari semasa ke semasa.

Burgernita bantu ibu tunggal

Kepada SinarPlus, Normaziah yang juga usahawan di sebuah syarikat kosmestik gergasi dan peralatan paip di negara ini berkata, beliau mempunyai alasan kuat kenapa memilih produk burger berbanding makanan lain.

“Berbekalkan pengalaman dalam bidang perniagaan dan analisa yang dibuat, saya boleh merumuskan bahawa jualan burger lebih mampan berbanding kalau menjual pisang goreng dan cakoi. Lagipun burger dimakan oleh semua peringkat umur dan boleh dijual pada waktu siang sehingga ke malam.

“Kos bahan mentahnya juga lebih murah dan boleh memberi margin keuntungan cukup lumayan,” ujarnya.

Bantuan orang ramai dan organisasi prihatin

Bercerita lanjut tentang projek murni tersebut, Normaziah menjelaskan, modal perniagaan untuk Burgernita sebenarnya mencecah RM6,580.

Pastinya, ia sedikit sukar untuk direalisasikan tanpa sumbangan dan bantuan berterusan daripada orang ramai serta badan korporat prihatin, kata beliau.

BURGERNITA

“Pun demikian, kita mencuba sedaya upaya membantu usahanita baharu ini. Setiap peserta yang terlibat akan diberi bantuan sebanyak RM3,000, manakala bakinya akan dibiayai melalui pinjaman agensi kerajaan seperti Tekun Nasional, Majlis Amanah Rakyat, Agrobank dan terbaharu, Nadi Selangor.

“Sementara peserta sendiri diminta mengeluarkan modal sebanyak RM290 sahaja untuk komitmen pendaftaran. Mereka juga akan diberikan stok bahan mentah seperti pati daging, roti dan sos sebagai modal pusingan pertama secara percuma,” kata ahli perniagaan berusia 52 tahun itu.

Iklan

Mahsuri Food penyumbang pertama

Ujar Normaziah, KWIM turut berterima kasih kepada Mahsuri Food yang bertindak menjadi penyumbang pertama untuk projek Burgernita termasuk memberi sumbangan berbentuk stok pelbagai jenis sos keluaran jenama itu sebagai pusingan modal pertama.

Burgernita bantu ibu tunggal

Pun demikian, wanita yang terkenal dengan jolokan Iron Lady itu menyeru agar lebih ramai individu atau badan korporat tampil  menyumbangkan dana bagi memperhebatkan lagi projek berkenaan.

“Lebih ramai penyumbang atau penaja, lagi ramai wanita dapat dibantu. Orang ramai juga boleh menyumbang atau infak dana paling minimum RM10, sekurang-kurangnya sepanjang peserta dapat berniaga, pahala sumbangan juga berterusan, insya-ALLAH,” katanya.

SinarPlus difahamkan, prestasi setiap peserta projek Burgernita akan dipantau selama enam bulan oleh KWIM.

burgernita bantu ibu tunggal

Jika laporan kewangan tidak memberangsangkan, lokasi jualan akan diubah ke kawasan yang lebih strategik.

Iklan

Selain itu, sekiranya peserta masih gagal memberikan komitmen untuk menjalankan perniagaan tersebut, gerai bergerak akan diambil alih dan diberikan kepada peserta lain yang memerlukan.

Hutang pinjaman yang masih berbaki akan dilangsaikan KWIM bagi mengelakkan peserta yang gagal menanggung beban kerana misi badan bukan kerajaan itu hanya mahu membantu wanita memerlukan.

Bagi peserta yang menunjukkan skala jualan yang luar biasa pula, KWIM akan memberi peluang untuk menambah satu lagi gerai untuk mereka berpeluang memperoleh pendapatan yang lebih lumayan.