KETUKAN pintu tanpa salam ini bukan benda baharu.

Sejak zaman penulis masih kecil lagi sekitar tahun 1995 sudah terjadi misteri seperti itu.

Namun pada masa itu dikatakan ada perempuan jalanan berwajah buruk dan berulat mengetuk pintu tanpa salam serta disuruh mengutip ulatnya dan makan.

Tapi, apakah itu sebenarnya betul terjadi atau tidak, tiada jawapan.

Kini apa yang berlaku di beberapa buah kampung di Sabak Bernam seakan serupa kejadian seperti sebelum ini namun lebih mengerikan ramai penduduk yang terkena.

Rumah mereka diketuk tanpa salam dan apabila dibuka pintunya, tidak ada sesiapa. Lebih menakutkan, ia tidak meninggalkan sebarang kesan tapak kaki atau seumpamanya.

Gangguan misteri itu dipercayai mula mengganggu penduduk pada waktu malam hingga awal pagi membabitkan beberapa kampung antaranya Kampung Batu 37, Batu 38, Kampung Tengah dan Kampung Banting.

Mari kita ikuti pengalaman mereka yang terkena gangguan tersebut. Misteri itu turut dikongsi penduduk dan menjadi tular di laman sosial.

1) Khairol Anuar Mhd Zaini, 39

Khairol Anuar berkata, kejadian jam 10.45 malam itu berlaku di dapur rumahnya di Kampung Batu 37.

“Semasa kejadian saya sedang berehat sambil menonton televisyen di dapur selepas pulang menjual burger. Tiba-tiba saya terdengar bunyi pintu dapur rumah diketuk dengan kuat seperti seseorang ingin masuk ke dalam dengan cepat.

“Mulanya saya membiarkan sahaja sebab ingatkan anak saudara datang ke rumah, tapi saya dengar bunyi ketukan itu semakin kuat sebelum saya intai di tingkap dan mendapati tiada sesiapa di luar rumah,” katanya.

Khairol Anuar berkata, dalam beberapa minit selepas itu, dia sekali lagi dikejutkan dengan bunyi sama di dalam bilik air rumahnya.

“Seluruh tubuh saya menggigil dan bulu roma meremang sebaik dengar ketukan pintu di bilik air yang sudah lama tidak digunakan,” katanya.

Khairol Anuar yang menggunakan akaun nama Erolkhairol memuat naik status di Facebook berhubung kejadian itu.

2) Nor Azuwa Shaaban, 31

Nor Azuwa berkata, bunyi misteri sama turut dialami dua adiknya, Nur Farzana, 22, dan Nurul Farisya, 17, yang menetap di Kampung Batu 38.

Katanya, kejadian kira-kira jam 10 malam kelmarin itu dialami selepas Nur Farzana menyelesaikan tugasan kerja di beranda sebelum masuk ke dalam rumah.

“Nur Farzana yang masuk ke rumah terdengar bunyi pintu depan diketuk dan kebetulan seorang lagi adik saya (Nurul Farisya) yang sedang duduk di sofa turut mendengar bunyi sama. Semasa kejadian mereka berdua tidak berani membuka pintu dan pada keesokannya kecoh di dalam WhatsApp dan Facebook mengenai penduduk diganggu dengan bunyi ketukan tanpa salam itu,” katanya.

3) Nor Zaihana Yaakob, 38

Nor Zaihana pula mengakui kejadian seram itu turut dialami ketika dia bersama dua anak dan ibunya berada di rumah mereka di Kampung Tengah.

Nor Zaihana memberitahu, kejadian kira-kira jam 11.40 malam itu berlaku semasa dia sedang menidurkan bayinya berusia empat bulan.

“Mulanya saya ingatkan dua anak saudara pulang dari kerja, namun sangkaan meleset apabila saya menjenguk di tingkap mendapati tiada sesiapa di luar rumah. Seram jugalah dengan peristiwa ini, lebih-lebih lagi suami tiada di rumah kerana bekerja malam,” katanya.

4) Nur Rabitahani Basroh

Nur Rabitahani yang tinggal di Kampung Kemboja, Sepintas berkata dia telah diganggu dengan misteri itu sejak tiga bulan yang lalu.

“Sebenarnya gangguan misteri ini bukan perkara baru bagi saya, Pintu rumah sering diketuk tiga kali tanpa salam sejak tiga bulan yang lalu.

“Waktu itu pukul 10 malam. Saya hanya tinggal dengan anak-anak. Bukan saja pintu rumah diketuk, gril rumah juga digegar macam nak roboh bunyinya.

“Sekarang tak sangka benda tu ganggu satu Sabak Bernam. Gangguan itu bermula jam 10 malam sampai 4 pagi.

“Saya juga terdengar bunyi suara menangis mendayu-dayu seolah-olah meminta tolong dekat tepi tingkap di ruang tamu,” katanya.

Katanya dia turut membuka pintu untuk melihat siapa di luar namun tidak ada sesiapa dan kesan tapak kaki pun tak ada.

“Anak saya yang berumur tiga tahun selalu sebut pocong. Dia juga selalu cakap mama… kat luar ada orang datang,” ceritanya di FB.

Iklan

Rabitahani berasa ini bukan kerja manusia.

“Saya kerap dengar bunyi ramai orang berseret atas bumbung setiap malam. Ramai kata kalau dari bumbung ke pintu ini kerja pontianak.

“Saya harap misteri ini dapat dirungkai segera dan diselesaikan secepat mungkin,” katanya yang kini tidur di rumah ibunya dekat Batu 2 Sepintas dan bercadang akan berpindah ke rumah baru tidak lama lagi.

Baca juga Makan mi segera, tidur di kaki lima, mandi di tandas : Nasib rakyat Malaysia di Singapura

5) Noraidayawati Mohd Tahar, 47

Noraidayawati berkata, gangguan bunyi ketukan pintu didengarinya terlalu kuat di belakang rumah berhampirannya kira-kira jam 9 malam baru-baru ini.

Menurutnya, dia bersama suaminya, Rahim Amat, 53, dan tiga anaknya mendengar dengan jelas bunyi ketukan yang berterusan dianggarkan selama 10 minit.

“Kami sekeluarga seram hendak mengintai di tingkap, lebih-lebih lagi kejadian ini tular sejak kelmarin,” katanya.

Noraidayawati berkata, dia pada mulanya menyangka hanya mereka sekeluarga yang mendengar bunyi misteri itu, sebelum jirannya menghantar WhatsApp memaklumkan perkara sama.

“Jiran beritahu dia juga ada terdengar bunyi ketukan pintu rumah sangat kuat di rumah jiran dan bertanya dengan pemilik rumah terbabit tentang gangguan tersebut.

“Bagaimanapun, pemilik rumah memaklumkan dia tidak mendengar apa-apa bunyi pelik.

“Sehingga kini, kami masih hairan dengan punca misteri bunyi ketukan kuat tersebut,” katanya.

6) Rosiah Jajuli, 50

Kata Rosiah yang tinggal di Kampung Batu 38, dia turut terkena gangguan itu pada Rabu malam Khamis, 18 November lalu jam 10.50 malam.

“Ketukannya agak kuat tetapi hanya tiga kali sahaja. Bagi saya, saya rasa ia bukan mistik.

“Saya rasa itu adalah perbuatan manusia yang ingin menguji tahap keilmuan dia. Secara logiknya, mana ada makhluk halus keluar sekitar jam 10 malam.

Iklan

“Masa ketukan pertama, kami menjengah melalui langsir namun tidak ada apa-apa. Selain umah saya, ada lagi dua rumah yang kena pada malam itu dengan perbezaan masa selang dua atau tiga minit sahaja. Dikatanya, ketukan banyak di Kampung Batu 37,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Batu 37 Darat, Muhammad Nazri Saiman berkata, pihaknya ada menerima banyak aduan berhubung perkara itu.

Malah, katanya, dia sendiri turut diganggu bunyi ketukan pintu itu semasa berada di rumahnya pada jam 11 malam baru-baru ini.

“Boleh dikatakan hampir separuh penduduk kampung ini mengadu kejadian sama dan saya menasihatkan mereka supaya berhati-hati dan tidak membuka pintu jika terdengar bunyi meragukan,” katanya.

Beliau berkata, penduduk dinasihatkan menghubungi polis atau pihaknya selain jiran terdekat sekiranya ternampak sesiapa yang mencurigakan.

“Kami telah mengambil tindakan antaranya melakukan rondaan membabitkan sukarelawan MPKK bermula jam 10 malam hingga 3 pagi di sekitar kampung ini,” katanya.

Selain itu, Setiausaha Taman Air Manis, Zulkifli Ijoh berkata, pihaknya yang membuat pemantauan menerusi Rondaan Sukarela Cegah Jenayah (RSCJ) di taman itu mengakui menerima aduan terbabit.

“Sehingga kini kami telah menerima lima aduan penduduk berhubung gangguan bunyi misteri itu sejak kelmarin dan antara langkah yang telah diambil ialah dengan meningkatkan rondaan cegah jenayah pada setiap malam sehingga awal pagi,” katanya.

Walau bagaimanapun, semoga misteri itu cepat terungkai dan penduduk boleh hidup dengan aman damai tanpa rasa takut lagi.