“Mengapa perlu terancam dengan wanita lain? Semua wanita hebat”- Marini

A
A
A

DAH lama tak photoshoot macam ni. Mekap mampan dan pakai bulu mata palsu apatah lagi... (ketawa),” tutur spontan bekas supermodel tempatan, Nik Nafisah Marini Kamil Nik Othman Ariff Kamil sambil jari-jemarinya membetulkan pelengkap solekan tersebut.

Ketawa lembut wanita yang mesra disapa Marini itu memecah keheningan petang tatkala memenuhi undangan sesi fotografi bersama kru SinarPlus, Selasa lalu. Biarpun hujan lebat mencurah-curah membasahi pekarangan kediaman, namun beliau tetap memberikan kerjasama yang baik.

Tempias hujan yang sesekali menerpa sedikit pun tidak mengganggu mood Marini beraksi bersama haiwan kesayangannya, Lexi iaitu burung kakak tua jenis Catalina di hadapan lensa jurugambar, Rosli Talib.

Bicara wanita berusia 53 tahun itu, beliau tidak sesekali berkompromi soal kerja. Setiap tugasan dilunaskan sebaik mungkin walaupun terpaksa berpanas atau bermandi hujan. Matlamat beliau adalah untuk memudahkan kerja semua pihak.

“Inilah (komited kerja) yang diajar ketika bernaung di bawah agensi peragaan, Cilla Foong Assoc. Kami (model) sentiasa diingatkan supaya menepati masa, menjaga etika dan penampilan diri.

“Kesemua aspek ini tak boleh dipandang ringan kerana kami merupakan ‘platform‘ mempromosikan produk klien baik jenama lokal mahupun antarabangsa,“ ujar Marini yang juga pernah bernaung di bawah agensi model, Portfolio.

Menyorot perjalanan wanita berdarah campuran Melayu (sebelah bapa) dan Serani (sebelah ibu), beliau mengatur langkah di persada peragaan negara pada usia 15 tahun.

Aura modeling yang dimilikinya dikesan oleh Cilla Foong sekali gus dilamar menyertai agensi terbabit. Kehadiran Marini di atas pentas peragaan komersial pantas meraih perhatian memandangkan beliau antara model Melayu memiliki ketinggian 177 sentimeter.

“Jika diikutkan kecintaan saya pada bidang ini (model) tidak mendapat restu ayah. Sebab itu saya merahsiakan daripada pengetahuan keluarga. Sesi fotografi pun saya pergi senyap-senyap.

“Namun, bak kata pepatah sepandai-pandai tupai melompat, jatuh ke tanah jua akhirnya. Saya tak boleh berselindung lagi selepas koleksi foto tersiar dalam akhbar.

“Lalu, pihak agensi sendiri hadir bertemu ayah di pejabat berbincang selama lima jam. Konklusinya, saya dibenarkan menjadi model, tetapi syarat utama separuh gaji harus diserahkan kepada ibu,” imbas Marini yang merupakan anak kepada bekas Ratu Cantik Malaysia Dunia 1966, Merlyn Therese McKelvie.

nik mariniFOTO Marini (kebaya putih) bersama suami (belakang,kanan) dan dua daripada empat cahaya mata beliau.

Sebaik sahaja mendapat lampu hijau, Marini tidak mensia-sia kepercayaan tersebut. Beliau memberikan komitmen 100 peratus. Justeru, tidak hairanlah wajahnya laris menghiasi halaman fesyen dalam variasi majalah termasuk pentas peragaan.

“Pendapatan pada waktu itu pun lumayan kerana bayaran mengikut ketinggian dan gred.

“Namun begitu, selepas melahirkan anak sulung (1986), saya mengambil keputusan memperlahankan karier bagi memberi tumpuan kepada keluarga. Tak sangka pula, rezeki sentiasa hadir hingga hari ini walaupun kini bergelar nenek,” jelasnya yang dipilih menjayakan Kempen Raya Ibu jenama pereka fesyen popular, Datuk Jovian Mandagie pada tahun lalu.

Rahsia kekal muda

nik marini

Meskipun melewati usia separuh abad, kulit wajah anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu mulus dan berseri. Tubuh badannya kekal langsing. Ditanya rahsia penjagaan diri, Marini tidak lokek berkongsi rejim kecantikan.

Bicara beliau, sama seperti kebanyakan kaum Hawa, perasaan bimbang untuk melepasi garisan tua mula terbit apabila menginjak usia 30 tahun.

“Saya terlalu takut mencecah umur 30 tahun, tetapi sebaik sahaja meniti usia 40 tahun, rasa itu hilang sedikit demi sedikit. Mungkin kerana wajah, badan dan rambut semakin matang.

“Kematangan itu lebih terserlah apabila memasuki pula usia 50 tahun. Nikmatilah pertambahan umur dengan positif kerana setiap wanita perlu melalui proses penuaan. Garis-garis halus dan kedutan itu pasti, cuma kita perlu bijak menguruskan diri.

“Selain minum tiga liter air kosong, saya turut mengamalkan madu dan jamu setiap hari bagi membantu sistem dalaman dan mengurangkan kelesuan sendi. Ia termasuklah, menjalani sesi urutan badan dan melulur sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk melancarkan peredaran darah,” terangnya yang juga rajin memakai bedak sejuk untuk awet muda.

Menyedari manfaat bahan-bahan semula jadi pada kecantikan dan kesihatan diri, secara tidak langsung mendorong Marini mengasaskan rangkaian produk sabun wajah, syampu dan perapi rambut di bawah jenama Marini Naturalemagic.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Niikkii Resources berkata, kebanyakan bahan digunakan berasaskan ramuan semula jadi seperti daun pandan, serai, halia, daun kesum, bunga kemboja, kemiri dan buah keras yang disifatkan membantu masalah keguguran rambut dan mengurangkan parut serta jerawat.

Tinggalkan korset

Dalam pada itu, membelek laman sosial Facebook miliknya, Marini turut mengajak wanita kurus secara sihat. Elak melakukan sebarang suntikan atau pembedahan melampau kerana bimbang efek negatif pada jangka masa panjang.

“Paling penting, wanita perlu melakukan pemeriksaan kesihatan berkala dengan pakar yang diiktiraf. Menerusi inisiatif itu, kita dapat mengenal pasti kesihatan dalaman.

“Benar, luaran mungkin tampak sihat, walhal dalaman kita sedang mengalami ‘kecederaan‘. Sebelum ini, saya juga beranggapan sedemikian. Ingatkan badan kurus bebas daripada penyakit, namun sebaliknya berlaku.

“Selepas diperiksa, saya mengalami masalah hati berlemak disebabkan pengambilan makanan berkolesterol tinggi. Bimbang jika dibiarkan tanpa rawatan akan timbul pula penyakit lain, maka kini saya mengamalkan pemakanan sihat.

“Saya kurangkan nasi putih, sebaliknya digantikan dengan beras perang dan memperbanyak protein dan sayur-sayuran,” ujar Marini yang sering melakukan senaman di rumah.

Bukan itu sahaja, Marini turut menasihatkan golongan wanita supaya tidak sesekali ‘terperangkap‘ dengan pujukan pemakaian korset.

“Mengapa perlu menyeksakan diri memakai korset ketat sehingga menyekat kebebasan perut, pinggang dan abdomen dalaman?

Ramai yang fikir bengkung membaiki postur, walhal ia boleh mengakibatkan otot belakang kurang selesa dan berlakunya masalah sakit pinggang.

“Lagipun bukankah korset akan menghimpit tulang rusuk dan menyebabkan pernafasan serta sistem penghadaman terganggu? Jadi, adalah lebih baik kecantikan diimpikan tercapai dengan gaya hidup sihat dan berpandukan nasihat doktor,” jelas beliau yang pernah terpengaruh dengan tarikan korset.

nik mariniMARINI (tengah) ketika menjayakan kempen raya, Ibu koleksi pereka Jovian Mandagie bersama Amy Mastura (kiri) dan Sharifah Shahirah tahun lalu.

Sebelum menamatkan bicara, Marini sempat menitipkan pesanan istimewa buat wanita:

“Jangan mudah terancam dan membandingkan diri dengan wanita lain kerana masing-masing memiliki kecantikan dan keunikan tersendiri.

“Bagi wanita bujang, sentiasa menjaga penampilan dan tingkah laku. Sementelah itu, mereka bergelar isteri terus merapi dari hujung rambut hingga hujung kaki demi keselesaan para suami. Duduk di rumah bukan alasan untuk membiarkan kulit wajah kusam, badan berbau dan rambut kusut-masai.”

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca