MULANYA beranggapan bahu kanan terkehel , Muhammad Adli Azahar, 29, langsung tidak menyangka kesakitan yang dialami adalah tanda-tanda beliau menghidap kanser tulang.

Pada mulanya Muhammad Adli yang bekerja sebagai pekerja am di sebuah syarikat minyak dan gas di Gebeng hanya menganggap kesakitan itu sekadar terkehel biasa.

Beliau ada juga mendapatkan rawatan tradisional dengan kaedah berurut. Malangnya, kesakitan itu tidak juga reda. Apabila bahu semakin membengkak, beliau mengambil keputusan untuk menjalani pemeriksaan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA). Ketika itu, doktor hanya memaklumkan beliau hanya mengalami bahu membeku dan dibekalkan ubat tahan sakit sahaja.

“Kesakitan bahu semakin serius hingga saya sukar tidur dan akhirnya saya ambil keputusan berhenti kerja kerana tidak mampu menahan sakit,” katanya.

Muhammad Adli berkata, pemeriksaan kali kedua HTAA pada 19 Ogos lalu. Sehari selepas itu beliau dirujuk ke Klinik Pakar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) Indera Mahkota.

Katanya, doktor telah menjalankan ujian X-ray, CT Scan, Magnetic Resonance Imaging (MRI), mengambil sampel darah dan daging bagi mengesan penyakit yang dihidapinya.

Baca juga: [VIDEO]Tinggal 2 peratus harapan untuk hidup. Peserta kanser tulang belakang, paru-paru jentik hati juri America’s Got Talent

“Luruh jantung saya ketika itu, gelap dunia saya buat seketika kerana saya ingat kesakitan dan bengkak dialami hanya patah biasa dan apabila pasang skru, ia akan baik. Tapi ALLAH uji sebaliknya,” kata Muhammad yang sudah berkahwin.

Menurutnya, bengkak di bahunya membesar dengan cepat dalam tempoh dua bulan dan kini hampir menyamai saiz sebiji bola.

Jelas Muhammad Adli, disebabkan itu pergerakannya semakin terbatas sehingga memerlukan penjagaan rapi daripada isterinya, Nurul Effa Syamira Faimi, 25.

Katanya, disebabkan penyakitnya semakin serius, dia perlu menjalani pembedahan segera bagi membuang ketumbuhan yang semakin membesar itu.

Bagaimanapun, kata anak sulung dari lima beradik itu, keputusan untuk melakukan pembedahan itu hanya dapat diketahui selepas menjalani rawatan kemoterapi yang keempat.

“Saya baru buat dua sesi kemoterapi di Hospital Kuala Lumpur daripada 11 sesi itu. Saya dimaklumkan selepas sesi ke empat, saya akan melakukan prosedur MRI, CT Scan dan ujian darah sekali lagi sebelum doktor membuat keputusan mengenai pembedahan implan besi.

“Kalau ikutkan harga besi (menggantikan tulang) sahaja RM38,000, tidak termasuk kos pembedahan, caj rawatan, kos ubat-ubatan, makanan kesihatan, kos perjalanan bagi rawatan susulan yang perlu ditanggung.

Baca juga: Seorang daripada 19 orang wanita di Malaysia dijangka hidap kanser payudara

Kredit foto: Pixabay

“Saya tiada duit simpanan untuk menampung semua kos itu dan kini bergantung harap bantuan daripada ibu dan saudara mara sahaja,” katanya.

Kehidupan Muhammad Adli berubah dalam sekelip mata selepas disahkan menghidap penyakit barah tulang hampir dua bulan lalu. Sebelum ini beliau seorang yang kuat bekerja, namun terpaksa berhenti pada Mac lalu kerana tidak dapat menahan kesakitan yang dialami pada bahu kanannya itu.

Info tentang kanser tulang:

1. Kanser tulang primer berpunca dari tulang sementara kanser tulang sekunder berpunca dari organ- organ lain dan merebak ke tulang (contoh: dari kanser payu dara , paru-paru dan kelenjar prostat)

Iklan

2. Kanser tulang sekunder adalah kanser tulang yang paling banyak di temui. Ia berpunca dari kanser sel yang merbahaya dari organ lain dan telah merebak ke tulang dan ia boleh menyerang ke semua tulang.

3. Gejala- gejala kanser tulang adalah berlainan pada setiap pesakit dan bergantung kepada jenis kanser tulang tersebut. Secara umumnya gejala-gejala tersebut merangkumi:

– Kebengkakan dan sakit pada kawasan yang terlibat
– Sakit yang kuat terutamanya pada waktu malam
– Hilang fungsi anggota
– Tulang lebih rapuh dan senang untuk patah
– Hilang berat badan dan selera makan

4. Sejarah pesakit yang terperinci, pemeriksaan fizikal pesakit yang menyeluruh berserta ujian makmal tertentu seperti X-ray, ‘bone scan’ dan biopsi tulang (pembedahan kecil untuk mengambil tisu tulang dan di periksa di makmal) adalah mencukupi untuk mendiagnosis kanser tulang.

5. Dengan wujudnya rawatan kemoterapi (ubat anti kanser) yang terkini, ujian makmal tertentu, rawatan radioterapi (sinar x yang digunakan untuk membunuh sel kanser) dan teknik pembedahan yang terkini, kebanyakan kanser tulang primer dan sekunder boleh dirawat.

6. Rawatan kanser tulang sekunder adalah bergantung kepada punca kanser tersebut. Kebanyakan pesakit yang menghidapi kanser tulang peringkat akhir , tujuan utama rawatan adalah untuk memperbaiki mutu kehidupan dan meringankan gejala-gejala kanser tulang sekunder.

Iklan

7. Peluang untuk sembuh semakin baik dan cerah dengan kemajuan ubat-ubat kemoterapi sejak kebelakangan ini. Bagaimanapun semuanya bergantung kepada pelbagai faktor yang boleh dibincangkan dengan pakar bedah ortopedik.

Baca juga: ‘Hidup Abang Long tak lama dah’. Luahan pilu kanak-kanak kanser darah bikin ibunya sebak

Sumber: Sinar Harian, myhealth.gov.my

Oleh: Norhasliza Mohd Shafi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi