CENDAWAN adalah tumbuhan yang menjadi sajian kegemaran rakyat Malaysia.

Ia sarat dengan vitamin D dan antioksidan selain mempunyai kadar serat yang tinggi.

Pada musim hujan ini, banyak cendawan akan tumbuh di sekitar rumah. Namun, anda perlu berhati-hati kerana tidak semua cendawan boleh dimakan.

Pengalaman dilalui wanita dari Sungkai, Perak ini boleh dijadikan pengajaran.

Perasaan ragu-ragu beliau tentang rupa bentuk dan tekstur cendawan yang dipetik suami rupanya bersebab.

Namun, beliau langsung tidak menduga 10 batang cendawan yang tumbuh liar di kawasan rumahnya membawa petaka kepada keluarga.

Berkongsi pengalaman di laman sosial TikTok, pelukis sepenuh masa, Masieta, 39, menceritakan detik hitam yang dilaluinya 12 Julai lalu.

“Ini pengalaman yang kami anak beranak lalui. Semoga ia menjadi pengajaran kepada semua (warga maya).

“Pagi semalam, suami memetik cendawan. Saya ambil ia dan merakamkan langkah demi langkah memasak seperti biasa sebagai content.

“Semasa membersihkan, saya mendapati ia sangat lembut dan gebu manakala bahagian bawah topinya berwarna hijau pucat,” kongsi Masieta.

Ibu kepada lima cahaya mata itu turut menambah tumbuhan berkenaaan mempunyai cincin pada bahagian batang dan memiliki debu seperti spora.

Bahagian dalam batang cendawan itu juga didapati berongga tanpa sebarang serangga atau ulat.

“Memang lain macam. Ketika itu saya berasa ragu-ragu tetapi meneruskan juga kerana memang sudah lama tidak makan cendawan.

“Saya pun terus menyediakan bahan lain untuk menyediakan menu cendawan goreng,” kongsi Masieta.

Ketika menumis, dia mendapati kulat itu mengeluarkan warna kehijauan, tidak seperti cendawan busut.

“Semasa ia mendidih, kuahnya berubah warna kepada hijau pucat.

“Bagaimanapun rasanya tidak berbeza, sama sahaja dengan cendawan busut,” kata Masieta yang terus menghidangkan sajian itu kepada suami dan anak lelakinya berusia enam tahun.

Sejurus selepas menikmati hidangan berkenaan, mereka sekeluarga mula mengalami gejala keracunan.

“Mula-mula saya dulu muntah, teruk sangat. Sampai muntah pahit dan disusuli cirit-birit.

“Tak lama kemudian suami pula mula berasa pening, loya dan terus muntah berkali-kali sehingga hampir pengsan.

“Akhir sekali muntah bercampur darah dan cirit-birit sehingga lemah longlai.

“Selepas suami, anak pula muntah-muntah. Anak saya suap sedikit sahaja turut mengalami kesannya,” ujar Masieta ketika dihubungi SinarPlus.

Gejala yang dialami menjadikan mereka lemah longlai. Tanpa berfikir panjang, beliau yang panik dan bimbang terus menghubungi 999 untuk dibawa ke hospital.

Susulan tragedi itu, Masieta dan anaknya telah diberikan rawatan drip di unit kecemasan kerana muntah dan cirit birit teruk.

Manakala suaminya, Zulkifli, telah ditahan sehari di wad Hospital Slim River kerana hati dan buah pinggang yang tidak stabil.

Melalui peristiwa hitam itu, Masieta menitipkan nasihat kepada orang ramai agar berwaspada memakan kulat yang tumbuh liar.

“Pesan saya kepada semua, kenal pasti dahulu cendawan yang anda jumpa.

“Kadang-kala ia kelihatan sama tapi rupanya beracun. Hati-hati ya,” kongsinya.

Baca juga: Rupa macam cendawan biasa, namun jangan sampai termakan jenis beracun

4 TIP KENALI CENDAWAN BERACUN

Iklan
Gambar hiasan (Kredit foto: Freepik)

Public Health Malaysia orang ramai agar berhati hati agar tidak memetik cendawan yang tidak diketahui dan terus makan.

Antara kejadian keracunan yang sering berlaku adalah jenis chlorophyllum molybdites kerana ia sama seperti cendawan busut.

Jika dimakan, toksin atau racunnya boleh menyebabkan keadaan seperti berikut:

-Loya, muntah dan cirit birit.

-Celaru fikiran (mental confusion), halusinasi, gangguan kordinasi otot (muscle incoordination) dan sawan serta gejala lain seperti demam dan sakit kepala.

-Sebahagian toksin mempunyai kesan jangka panjang seperti kegagalan buah pinggang.

-Paling menakutkan, ia menyebabkan kesan toksin yang teruk hingga boleh menyebabkan kematian!

Menurut perkongsian yang sama, berikut empat cara mudah untuk mengenali kulat beracun:

1. Topi berwarna merah terang

Cendawan bertopi merah beracun dan boleh memberi kesan halusinasi.

Iklan
Gambar hiasan (Kredit foto: Freepik)

2. Selaput putih pada pangkal batang di dalam tanah

Untuk mengenal pasti volva, anda perlu menggali sedikit pada pangkalnya di dalam tanah. Jenis Amanita sp. boleh membawa maut mempunyai volva.

3. Insang berwarna putih

Biasanya insang pada cendawan yang boleh dimakan berwarna merah jambu.

4. Cincin pada batang cendawan

Sesetengahnya mempunyai tisu berbentuk cincin atau annulus yang melindungi insang cendawan sebelum cendawan matang.

Public Health Malaysia menasihatkan orang ramai untuk mengelakkan dari memetik dan makan tumbuhan itu yang tidak di ketahui atau lebih selamat beli daripada pembekal komersil.

Sumber: Public Health Malaysia

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTubeTiktok SinarPlus & Threads @sinarplus@threads.net. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang