AMAT memalukan. Mural gergasi beberapa potret pemimpin negara pada dinding sebuah bangunan kedai di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam, Selangor diconteng dengan perkataan kurang menyenangkan menggunakan cat merah.

Memetik laporan media tempatan, difahamkan kejadian vandalisme tersebut disedari seorang pekerja restoran di kawasan berkenaan yang kebetulan melalui lokasi mural itu kira-kira jam 8 pagi tadi.

Mungkin perbuatan tersebut dilakukan dalam malam tadi memandangkan mural tersebut berada dalam keadaan baik semasa kunjungan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang datang untuk melihat sendiri potretnya petang semalam.

Seorang daripada tiga pelukis mural tersebut, Muhamad Firdaus Nordin, 26, menyifatkan insiden itu  sebagai usaha mensabotaj karya seni mereka yang mengekspresikan penghargaan kepada pemimpin negara menerusi lukisan.

“Ini perbuatan keji dan dengki. Kami berasa amat terkilan terhadap kejadian ini. Berdasarkan pengamatan saya, contengan tersebut dilakukan menggunakan penyembur warna,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi mural itu hari ini.

Muhamad Firdaus berkata beliau secara peribadi tidak menolak kemungkinan perbuatan tersebut dilakukan pihak tertentu atas motif politik susulan terdapat komen-komen negatif menerusi media sosial semalam.

mural agong
PIHAK polis masih menjalankan siasatan mengenal pasti si pelaku yang bertindak menconteng mural di dinding sebuah bangunan kedai di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam, Selangor malam tadi.

Susulan perbuatan itu yang merosakkan kesemua mural termasuk potret Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pihak Majlis Bandaraya Shah Alam terpaksa mengecat semula dinding tersebut dengan warna putih, sekali gus memadamkan kesemua potret.

Tindakan tidak bertanggungjawab tersebut turut mendapat perhatian Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Raja Permaisuri Agong turut menzahirkan kekecewaan menerusi laman sosial Instagram dengan memuat naik foto mural yang diconteng beserta kapsyen: “Semoga ALLAH SWT yang membalasnya.”

Perkongsian Raja Permaisuri Agong berkenaan turut mendapat maklum balas daripada warga maya yang menyelar perbuatan itu.

Antaranya ialah:

@rna.miskam: “Pertamanya, pelaku tidak menghormati raja dan wira negara. Kedua dia vandalisme yang tak menghargai bakat seorang pelukis mural yang berbakat luar biasa.”

@didi_safian: “Turut berduka cita atas kelakuan sedemikian rupa. Moga pelaku dapat pembalasan sewajarnya.”
@ohhollawadahyo: “Hancurnya hati tengok , apatah lagi yang gigih membuatnya Ya ALLAH.”

Selain potret Yang di-Pertuan Agong, wajah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri, serta Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menghiasi dinding berkenaan.

Turut diabadikan pada dinding berlainan ialah potret pelawak tanah air Abam Bocey dan Yus Jambu.

Pada 10 Julai lepas, Al-Sultan Abdullah berkenan mencemar duli menyaksikan sendiri mural gergasi potret baginda pada bangunan berkenaan sebagai menghargai usaha murni golongan belia. Ini disusuli dengan kunjungan Dr Noor Hisham beberapa hari kemudian.

Iklan

Agaknya kes dengki la ni kot! Come on guys tahun 2020 ni perlu ke wujud lagi pemikiran dan kegiatan tidak bermoral seperti ini?

mural agong
MBSA melakukan kerja-kerja mengecat semula mural dinding yang telah terjejas.

Dalam pada itu, rata-rata warganet menzahirkan perasaan marah mereka melalui ruangan komen di Facebook. Antaranya adalah seperti:

Wan Tarmizi – Harap kerajaan dapat sediakan suatu tempat yang strategik untuk pelukis mural ni dapat curahkan idea lukisan mereka saperti di sekitar dayabumi, klcc, kl tower, bukit bintang sekitar kawasan busker dan lain-lain.. yang mudah di singgah oleh pelancong dan terjaga serta bercctv.

Mohammad Mohd – Cari sampai dapat pelaku ya.. hukum seberat-beratnya.. supaya jadi satu pengajaran buat yang lain.

Iklan

Zalizam Mulyadi – Semoga pelaku dapat dikenal pasti dan ditangkap. Mohon untuk dihukum potong tangan di khalayak ramai di tempat potret yang diconteng tu.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib juga mengesahkan kejadian vandalisme tersebut dan siasatan akan dijalankan pihaknya bagi menjejaki pelaku.

Si pelaku perlu terima pembalasan setimpal mengikut bicara undang-undang buat pengajaran!

Penulis: FAIZUL HAKIMI ZULKIFLI