PAPARAN video menyaksikan seorang kanak-kanak tujuh tahun maut dilanggar van menjadi tular di laman sosial.

Insiden yang berlaku di sebuah taman perumahan di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang pada jam 12.10 tengah hari, Jumaat.

Mengikut pemerhatian SinarPlus, pada paparan video, van terbabit berwarna putih, bukanlah van sekolah yang lazimnya berwarna jingga dan tertera tanda ‘Bas Sekolah” pada bahagian sisi.

Rata-rata warga maya sayu dan menzahirkan ucapan takziah buat keluarga kanak-kanak terbabit.

Tidak kurang yang tidak puas hati dan mendakwa pemandu cuai dan van terbabit dipercayai tidak berdaftar serta tidak dilindungi insurans.

– “Ini bukan kes pertama. Sebelum ini juga ada kes sebegini terjadi. Cuma bezanya ia berdaftar dan dilindungi insurans. Van putih ini dipercayai tidak berdaftar dan tidak dilindungi insurans.

“Apa pun, memang ramai pemandu van/bas sekolah yang membawa penumpang kanak-kanak sekolah yang tidak menurunkan pelajar dengan betul. Pintu tidak menghadap pintu pagar rumah atau tidak memimpin kanak-kanak kecil melintas jalan. Mereka dibiarkan membuka sendiri pintu van dan melintas jalan sendiri.

“Sungguh, saya pernah menegur pemandu sebegitu. Tapi, mereka buat tidak endah sahaja dan teruskan pemanduan. Ini yang saya amat takuti. Kanak-kanak tidak mengerti apa-apa, mereka kurang pengetahuan akan bahaya di sekeliling mereka. Salam takziah buat keluarga mangsa.”

– “Pastikan penumpang turun hanya dari satu pintu di sebelah rumah atau tempat selamat sahaja tanpa perlu melintas jalan. Van sekolah perlulah buat pusingan U jika terpaksa. Pastikan penumpang tiba dengan selamat baru bergerak. JPJ atau JKM perlu buat satu kursus khas untuk tatacara pemanduan van/bas sekolah untuk layak dapat permit bawa pelajar sekolah dan harus sertai insuran kelompok.”

– “Sepatutnya pemandu turun sekali, hantar sampai ke pintu pagar. Bila berlaku kejadian seperti ini di depan mata sendiri, menyesal sudah tiada erti lagi. Memang malang tidak berbau tetapi kita perlu mengambil langkah berhati-hati, bukankah lebih baik.”

– “Pemandu perempuan tu cuai, memang cuai, kalut sangat. Sampai lepas tanggungjawab. Murid itu baru hendak melintas, kenapa terus bergerak. Kanak-kanak umur tujuh tahun, kecil sangat. Tidak pandai lagi untuk jaga keselamatan diri melintas jalan.”

– “Van ada insuranskah atau seperti van sekolah yang lain. Atau van persendirian. Kasihan ahli kewarga mangsa kalau van tiada pendaftaran.”

– “Van sekolah yang tidak ada lindungan insurans sepatutnya tidak dibenarkan untuk beroperasi.”

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Supt Azman Bin Shari’at dalam kenyataannya mengesahkan kemalangan tersebut.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu van iaitu perempuan Melayu berusia 31 tahun yang baru selesai menurunkan penumpang, telah bergerak memandu ke hadapan dan tanpa menyedari telah melanggar salah seorang pelajar perempuan yang juga merupakan penumpang van tersebut.

“Mangsa pada ketika itu sedang melintas di hadapan van yang dipandu oleh pemandu wanita terbabit,” katanya menjelaskan detik kemalangan.

Menurut Azman, sebelum kejadian, kanak-kanak terbabit diambil oleh pemandu van tersebut dari sebuah sekolah berhampiran dan di hantar ke pusat transit sebelum ke sekolah bagi mengikuti Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

“Ekoran dari kejadian itu, kanak-kanak itu dikejarkan ke Unit Kecemasan Nilai Medical Centre akibat mengalami kecederaan di bahagian kepala.

“Mangsa disahkan telah meninggal dunia pada jam 2.30 petang tadi,” katanya.

Dalam perkembangan terkini, pemandu van sekolah tersebut telah ditahan untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, kes seumpama ini pernah berlaku. Berikut adalah kemalangan maut yang melibatkan kanak-kanak dan bas sekolah.

JUN 2014
Seorang murid tahun satu maut selepas dilanggar bas sekolah yang dinaikinya di Jalan Seroja, Taman Plentong Baru, Johor Bahru.

Nor Balqis Atiqah Hamdan Rasan Tawani Ahmad, 7, yang baru pulang dari sekolah turun dari kenderaan terbabit untuk melintas jalan ke rumahnya.

Selepas menurunkan Nor Balqis Atiqah, pemandu bas mini sekolah berkenaan terus bergerak menuju ke hadapan tanpa menyedari murid perempuan itu berada di hadapan basnya.

Selepas mendengar jeritan orang ramai, pemandu bas terbabit keluar untuk memeriksa keadaan dan mendapati mangsa yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Permas Jaya 2 sudah terbaring di atas jalan raya di belakang kanan bas.

Mangsa yang cedera parah di kepala dan badan kemudian dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia, hampir dua jam kemudian.

MAC 2019
Seorang murid lelaki maut selepas dilanggar van di hadapan sebuah sekolah di Tawau pada jam 5.45 petang.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Addrieyansya Abdullah, 8. Pemandu van berada di hadapan sekolah tersebut untuk mengambil beberapa pelajar sekolah dengan menggunakan van persendirian (tanpa permit bas sekolah).

Semasa mengundur van dan bergerak ke hadapan suspek terdengar bunyi perlanggaran mendapati melanggar mangsa. mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Tawau.

MAC 2020
Dalam kes berlaku di Paya Terubong, Pulau Pinang, kanak-kanak Ngoh Zhoo Han, diturunkan pemandu van untuk pulang ke rumahnya.

Kemalangan berlaku apabila van yang dipandu seorang lelaki berumur 57 tahun sedang menurunkan murid di kawasan berkenaan sebelum mangsa tiba-tiba lari di hadapan van.

Pemandu van cuba untuk mengelak mangsa namun gagal telah melanggarnya. Mangsa disahkan meninggal dunia didi Unit Kecemasan, Hospital Pulau Pinang.

Mangsa kemalangan jalan raya paling ramai di Malaysia ialah kanak-kanakyang terdiri daripada pejalan kaki, penumpang kereta, bas dan pembonceng motosikal.

Semoga kita mengambil iktbar daripada kes yang berlaku. Salam takziah buat keluarga mangsa. Al-Fatihah

Baca juga: Pengasuh Adam Rayqal dihukum penjara enam tahun, berikut kronologi kes

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Sumber: Friends of PDRM, Berita RTM