PERSAMAAN minat terhadap seni membuat parang bukan sahaja mempertemukan dua lelaki berbeza latar belakang dan generasi, malah membuahkan hasil lumayan sehingga membuka peluang eksport ke seluruh dunia.

Memetik kenyataan media tempatan, parang-parang yang kebanyakannya berhulu kayu ini dipasarkan atas jenama Myparang, yang diusahakan oleh Ahmad Nadir Askandar, 43.

Untuk parang yang dijual ini, bilahnya diperolehi daripada seorang tukang besi dari Bidor, Perak bernama Chin Pin Yon, 79, yang mengusahakan perniagaan keluarga, Kilang Besi Bidor, Cap Dua Pedang Silang, syarikat yang ternama di Perak.

Kilang tersebut beroperasi di Lot 11295, Kawasan Perindustrian Bidor sejak lebih 40 tahun lalu.

Bilah parang yang dibeli dari Kilang Besi Bidor itu kemudiannya diperkemaskan sendiri oleh Ahmad Nadir dan pekerjanya di bengkel Myparang yang terletak di Pusat Inkubator Kraf Balik Pulau, Pulau Pinang.

“Sejak tahun 2014 saya mula menumpukan perniagaan menjual parang secara dalam talian  untuk pasaran dalam dan luar negara apabila permintaan naik mendadak, ” katanya.

Banyak permintaan

Anak kacukan Melayu dan Jerman ini melibatkan diri dalam bidang perniagaan pada tahun 2008 dengan memasarkan barangan aktiviti rekreasi termasuk kelengkapan perkemahan menerusi syarikatnya, Outdoor Dynamics.

Beliau sebelum ini turut menganjurkan aktiviti outdoor di sekitar Pulau Pinang yang disertai juga pelancong luar negara. Semasa itulah parang yang digunakannya mendapat perhatian dan menimbulkan minat dalam kalangan peserta.

Myparang bukan ‘biase biase’, tembusi pasaran dunia!

Peserta itu kemudiannya merujuk kepada buku “SAS Survival handbook” antara “kitab” utama pengumpul pisau ditulis oleh John Wiseman, bekas komando British Special Air Service (SAS), yang terlibat pada zaman darurat di Malaya.

“Buku itu antara lain menyebut tentang parang sebagai peralatan yang wajib ada untuk survival di hutan. Dari situ mereka mula berminat kepada parang dan mahu membelinya, ” tambahnya.

Menurut Ahmad Nadir, beliau mendapat banyak permintaan daripada peminat luar negara untuk parang berhulu kayu untuk dijadikan koleksi dan digunakan bagi kegiatan outdoor.

Untuk memenuhi kehendak pembeli, beliau menempah khas hulu kayu keras diperbuat daripada Birchwood bagi memastikan kualiti, untuk parang-parang yang dipasarkannya itu.

Ahmad Nadir melantik pengedar terbesar Myparang di United Kingdom dan Amerika Syarikat yang memborong dalam kuantiti banyak.

Beliau juga mempunyai pengedar MyParang lain di Singapura, Taiwan, Jepun serta Rusia, sementara di dalam negara, beliau mempunyai 14 orang peruncit yang memasarkan parang Myparang.

“Paling jauh parang Myparang dihantar ialah ke Kanada dan tempat yang paling terpencil pula, di Guam. Orang putih suka parang kerana ia berasal dari Malaysia, buatan tangan, serta lasak.

“Ciri-ciri kelebihan parang ialah teknologi pembuatan parang tradisional yang berat pada bahagian mata, bukan pada hulu,” jelas beliau.

Iklan

Pelbagai produk

Sementara itu, produk utama kilang besi milik Chin di Bidor ialah menghasilkan bilah pisau pemotong sawit dan mata pisau kegunaan harian.

Namun bagi memenuhi tempahan khusus Myparang, mereka membuat bilah mata parang ‘Duku Chandung’ yang menggunakan teknik sepuh bagi menghasilkan bilah mata yang kuat lagi tajam.

Chin amat gembira dengan usaha Ahmad Nadir yang berjaya menjual parang besi Bidor ke seluruh dunia dan berpuas hati dengan kemampuan semasa kilangnya.

Myparang bukan ‘biase biase’, tembusi pasaran dunia!

Menurut Chin, dahulu mereka menghadapi kesukaran mendapatkan besi yang berkualiti maka pilihan ketika awal perniagaan ialah dengan mencari besi spring lori lama di sekitar Perak. Kini mereka mengimport terus dari kilang pengeluar di China.

Iklan

Chin menekankan bahawa pembuat besi perlu mendapatkan besi yang benar-benar bermutu untuk menghasilkan parang yang berkualiti tinggi, selain bergantung kepada kemahiran tukang.

Menurut Ahmad Nadir, kemahiran pertukangan besi tempatan inilah yang cukup disukai pelanggan antarabangsa yang memilih parang buatan Malaysia buatan tangan yang asli.

“Diharapkan jenama MyParang sentiasa di barisan hadapan dalam menghasilkan model parang baharu serta model dan bentuk parang tradisi, ” katanya sambil menambah, beliau sering berbincang dengan pasukannyan serta pelanggan untuk membangunkan mutu bilah parang yang lebih tinggi.

Tahniah!

BERNAMA