Nak curi makanan untuk anak, ‘tercuri’ makanan anjing! Kisah benar ini buat ramai menitiskan air mata
TATKALA negara dilanda pandemik Covid-19, ramai yang terkesan dan kehilangan pekerjaan.
Ada insan-insan yang sedang menanggung derita dan kesusahan. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Malah ada yang terpaksa mengambil keputusan untuk mencuri kerana terdesak untuk mengalas perut anak yang sedang kelaparan.
Dua kejadian menyayat hati seumpama ini terjadi ketika Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Nik Ezanee Mohd Faisal ketika menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Petaling Jaya.
“Apa yang kita kena buat ialah kita kena berempati dan meletakkan diri pada tempat masyarakat,” kata Ezanee.
Dalam kejadian 20 Januari lalu, seorang ibu kepada tiga orang cahaya mata didapati mencuri barangan dan ubat-ubatan untuk anaknya yang sedang demam.
Nik Ezanee rasa terpanggil untuk berjumpa wanita itu yang tinggal di sebuah projek perumahan rakyat (PPR). Melihat kepada situasi semasa wanita berkenaan, beliau mengambil keputusan untuk tidak mengambil tindakan lanjut kepada ibu berusia 30-an itu.
“Kalau dia curi pakaian ke apa mungkin untuk kepentingan diri. Tapi barangan yang dicuri adalah plaster untuk kebah demam, kek dan sosej. Jadi di sini adalah budi bicara.
"Dan apabila ditangkap pun, pengawal keselamatan kedai tersebut yang tangkap. Barang-barang yang diambil dipulangkan balik. Tiada kerugian kat situ. So ia situasi win-win,” kata Ezanee.
Bagi meringankan bebanan yang ditanggung, pihaknya bertindak membeli semula barang yang gagal dibayar ibu berkenaan serta beberapa barang keperluan lain sebelum disumbangkan kembali kepada wanita terbabit.
Baca juga Ibu ditahan curi ‘Cool Fever’ untuk anak, Ketua Polis Petaling Jaya tampil bantu
Rupa-rupanya kes tersebut bukanlah kes pertama seumpamanya dihadapi pegawai polis ini. Kira-kira dua bulan sebelum itu, seorang lelaki bernama ‘Jamal’ (bukan nama sebenar) juga mengalami kesempitan hidup sehingga terpaksa mengambil makanan di sebuah kedai tanpa membayar.
Apa yang lebih menyedihkan, Jamal melakukkan kesilapan di mana dia telah 'terambil' beberapa tin makanan anjing semata-mata untuk mengalas perut anaknya!
“Kisah ini memang sedih, dia tidak pernah mencuri seumur hidup. Lelaki ini tidak bekerja, isteri juga tidak bekerja dan mempunyai seorang anak yang masih kecil di rumah yang kelaparan.“Orang kalau lapar dia boleh tahan lagi. Kalau anak lapar dan menangis di rumah, boleh hilang pertimbangan. Jadi lelaki ini memasuki sebuah kedai. Oleh kerana dia tidak pernah mencuri, lelaki tersebut berjalan mengelilingi kedai dan teragak-agak untuk melakukannya,” ujar Ezanee.
Perbuatan lelaki berkenaan menimbulkan rasa curiga kepada pengawal keselamatan kedai. Selepas memberanikan diri mengambil beberapa tin makanan yang mungkin dianggapnya sardin, Jamal ditahan ketika meninggalkan kedai tersebut.
“Punyalah panik dia nak bagi anak makan, dia tercuri makanan anjing. Itu saya sedih,” kata Ezanee dalam sebak.Mujurlah pemilik kedai berkenaan juga mempunyai budi bicara dan tidak mengambil tindakan kerana barangan yang dicuri dipulangkan semula.
Susulan peristiwa menyayat hati itu, Ezanee bersama beberapa anggota pasukan membawa bantuan keperluan asas kepada keluarga berkenaan berupa makanan dan barangan bayi pada keesokan hari.'
Malah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor itu juga turut berusaha mendapatkan peluang pekerjaan buat Jamal membolehkan dia bekerja semula sehingga ke hari ini.
Jamal sendiri mengakui dia amat terdesak dia kerana kehilangan mata pencarian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga jalan terakhir dilakukannya ialah mencuri untuk menampung keperluan anak dan isteri.
Baca juga Demi negara, tindakan abang polis ini buat menteri pun tabik hormat
Menurut Ezanee, empati adalah sebahagian daripada pencegahan jenayah jangka panjang. Beliau adalah antara nama besar dalam bidang kepolisan di Malaysia dan sering dikaitkan dengan pelbagai kisah-kisah tular yang positif. Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen sebak mengikuti kisah ini.
Semoga pada masa mendatang lebih ramai anggota badan berunifiorm seperti Nik Ezanee akan terus membantu dan memberikan sinar buat orang-orang senasib Jamal.
Sumber: 999 (2021) | Khas Raya
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang