SEPERTI kebiasaan tahun-tahun sudah, tradisi memasak bubur Asyura yang sinonim dengan tanggal 10 Muharram dan dimasak secara bergotong-royong oleh masyarakat Melayu di negara ini tetap diteruskan meskipun dalam suasana normal baharu.

Antaranya, inisiatif yang diambil oleh Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Kuala Nerus, Terengganu, yang mengadakan pertandingan memasak bubur Asyura secara atas talian bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan pandemik Covid-19 dipatuhi.

Memetik laporan portal media tempatan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pertandingan secara atas talian itu menyaksikan kesemua 34 pasukan yang berada di lokasi berbeza perlu menghantar gambar sebelum, semasa dan selepas proses memasak bubur Asyura untuk diadili barisan juri.

Iklan

“Malah kita juga ada jawatankuasa khas yang memantau semua 34 lokasi ini bagi memastikan peserta mematuhi peraturan dan SOP yang ditetapkan. Setiap pasukan tidak boleh disertai lebih daripada 30 orang dan kita memberi penekanan pentingnya untuk semua peserta mematuhi SOP sepanjang proses memasak bubur Asyura ini berlangsung.

“Jadi tidak timbul isu penjarakan fizikal kerana kali ini, pertandingan diadakan di lokasi berbeza dan setiap pasukan juga dilihat sangat komited mematuhi SOP seperti memakai pelitup muka dan mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi sepanjang proses memasak berjalan,” katanya.

Katanya selain berjaya menghasilkan bubur Asyura yang lazat, para peserta juga diadili dari aspek pematuhan SOP mencegah penularan Covid-19 yang ditetapkan.

Iklan

Tambahnya penganjuran pertandingan itu juga bertujuan melatih orang ramai agar tidak menjadikan pandemik Covid-19 sebagai alasan untuk tidak lagi meneruskan aktiviti melibatkan komuniti sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan(PKPP) dilaksanakan.