SEMALAM tular kes penjual burger dari rumah yang dikompaun sebanyak RM50 ribu kerana menjual melebihi had masa.

Kes ini menimbulkan pelbagai reaksi warganet. Ada yang mengatakan ia terlalu tinggi bagi individu atau penjual kecil-kecilan dari rumah. Namun terdapat juga warganet yang menyokong tindakan yang dilakukan sebagai pengajaran memandangkan ini merupakan kesalahan sama kali kedua yang dilakukannya.

Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, pegawai penguatkuasa perlu mengikut garis panduan ditetapkan Kerajaan ketika mengeluarkan sebarang kompaun mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Kategori ketiga maksimum RM10 ribu

Katanya, ia adalah berikutan Kerajaan sudah menggubal Garis Panduan Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun mengikut Akta 342, sebagai panduan kepada penguatkuasa yang menjalankan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Pindaan yang dibuat terhadap Akta 342 adalah untuk menaikkan kadar kompaun yang boleh dikenakan bagi sesuatu tindakan atau perbuatan yang menjadi kesalahan kerana menyebabkan penularan wabak COVID-19 dalam negara ini.

“Mengikut garis panduan itu, perbuatan seseorang pemegang lesen dan pemilik premis yang gagal mematuhi waktu operasi premis adalah kesalahan kategori tiga yang boleh dikenakan kompaun maksimum RM10,000,” kata Takiyuddin.

Bertujuan pencegahan dan memberi pengajaran

Takiyuddin berkata, pengurangan sebanyak 50 peratus diberikan kepada pesalah dikenakan kompaun jika mereka membayarnya dalam tempoh tujuh hari atau 25 peratus jika ia dilunaskan dalam tempoh 14 hari.

Takiyuddin turut mengulas tindakan mengenakan kompaun bagi kesalahan bawah peruntukan undang-undang itu adalah semata-mata bertujuan pencegahan dan memberi pengajaran kepada pelaku agar semua individu mahu pun peniaga bersama-sama bertanggungjawab; memerangi pandemik COVID-19 dalam komuniti yang masih lagi berada di peringkat kritikal dan serius.

Sebelum ini tular tentang seorang penjual burger mendakwa dikenakan kompaun sebanyak RM50,000 oleh pihak polis kerana kesalahannya berniaga melebihi waktu ditetapkan.

Wan Mohd Faisal Wan Kadir dari Kampung Rambutan Rendang, Kota Bharu yang menjalankan perniagaan itu di hadapan rumahnya sebelum didatangi beberapa anggota polis ketika sedang menyiapkan tempahan pelanggan sekitar jam 11.10 malam.

Iklan

Ekoran itu, polis telah mengeluarkan kompaun RM50,000 bagi kesalahan Wan Mohd Faisal yang berniaga melebihi had masa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Iklan

Bagaimana pun, menurut portal berita tempatan, Takiyuddin sebelum ini dilaporkan berkata, pengeluaran saman kepada mereka yang melakukan kesalahan mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) boleh didenda RM10,000 kepada individu dan RM50,000 kepada syarikat dan perbadanan.

Jumlah maksimum RM50 ribu

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi portal berita tempatan berkata untuk kompaun kedai yang berniaga lebih masa atau membuka meja untuk pelanggan atau tidak menyediakan penyukat suhu, memang jumlah kompaun pada kertas saman ditulis RM50,000 iaitu jumlah maksimum.

“Bagi kesalahan individu akan ditulis jumlah maksimum RM10,000. Bagaimanapun, peniaga berkenaan boleh membuat rayuan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Itu cuma dinyatakan jumlah maksimum,” katanya Abdul Rahim.

Sumber: FB Takiyuddin Hassan