PANDEMIK Covid-19 telah memberi impak yang menakutkan bukan sahaja kepada rakyat Malaysia malah penduduk di seluruh pelosok dunia.
Sebelum ini tiada siapa pernah membayangkan akan ‘terkurung’ di dalam rumah beberapa bulan lamanya hanya untuk mengelak virus yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar.
Namun, sudah pasti, individu yang mendapat wabak berkenaan lebih terkesan. Mereka bukan sahaja menanggung keperitan dan rasa sakit malah hilang nikmat makan, depresi dan lebih perit, terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga.
Kalau kita membaca luahan bekas pesakit, rata-ratanya memberitahu, mereka hanya mengingatkan tentang kematian apabila mendapat perkhabaran bahawa vaksin merawat penyakit itu masih gagal ditemui.

Jadi mangsa

Kepada SinarPlus, seorang bekas pesakit, Nur Amira Ahmad Azhar (kes ke-41) yang mengutuskan e-mel kepada penulis meluahkan segala-galanya.
“Sewaktu saya menerima panggilan dari Dr Hamenudin Hamzah dari Pejabat Kesihatan Daerah Kepong yang memaklumkan bahawa saya positif Covid-19, hati saya resah memikirkan tentang anak dan ahli keluarga yang merupakan kontak rapat sebelum saya menerima berita buruk tersebut.
“Namun, alhamdulillah semua ahli keluarga saya telah disahkan negatif Covid-19 selepas menjalani beberapa ujian saringan,” katanya yang berkhidmat sebagai pengamal undang-undang dan menetap di ibu kota.
Ujar Nur Amira, beliau mengambil keputusan untuk membuat ujian Covid-19 setelah dinasihatkan oleh firma guamannya.
Bosnya memaklumkan, dirinya berkemungkinan telah terdedah dengan seseorang yang telah disahkan positif Covid-19 ketika menghadiri satu mesyuarat.
Susulan itu, semua pekerja di firma berkenaan telah membuat ujian saringan di lokaliti masing-masing
“Tidak pernah terlintas dalam pemikiran yang saya positif kerana sebelum semua ini terjadi, saya tidak berurusan dengan pegawai tersebut dan saya juga tidak mengalami simptom utama seperti demam, batuk ataupun selsesama.
“Tanpa disedari, sakit tekak, hilang deria rasa sepenuhnya yang saya alami pada waktu itu, merupakan antara simptom wabak Covid-19 ini.
“Pada ketika itu, saya sedar bahawa wabak Covid-19 sangat berbahaya kerana dapat merebak dengan sangat cepat tanpa memerlukan sentuhan langsung dengan pembawa wabak tersebut,” katanya panjang lebar.

Dipandang serong

Nur Amira terus bercerita. Katanya, seperti pesakit lain, beliau telah dijemput oleh ambulans Hospital Kuala Lumpur di kondominiumnya.
Peguam itu memberitahu, beliau rasa sedih dengan pandangan orang sekeliling yang tidak senang melihatnya.
“Mereka memandang saya dengan pandangan serong ketika saya berjalan menuju ke arah ambulans berkenaan. Kemungkinan mereka bimbang akan dijangkiti sama, namun harus diingat bahawa pesakit tidak pernah minta utk dijangkiti,” luahnya.
Persepsi itu ujar Nur Amira, tidak terhenti setakat di situ sahaja.
Selepas beliau disahkan bebas daripada Covid-19, orang di sekelilingya masih takut tatkala melihat kelibatnya.
“Stigma itu (takut dan bimbang) masih ada dan masih menebal dalam kalangan orang ramai meskipun saya telah sihat seperti sedia kala. Semuanya saya kira disebabkan masyarakat masih kurang peka dengan perkembangan wabak ini. Penerangan secara jelas tentang Covid-19 sangat penting untuk meningkatkan kesedaran orang ramai,” katanya.

“Stigma takut dan bimbang masih ada dan masih menebal dalam kalangan orang ramai meskipun saya telah sihat seperti sedia kala. Semuanya saya kira disebabkan masyarakat masih kurang peka dengan perkembangan wabak ini. Penerangan secara jelas tentang Covid-19 sangat penting untuk meningkatkan kesedaran orang ramai.”

HKL terbaik

Sepanjang 14 hari ditempatkan di HKL, Nur Amira berkata, beliau terharu dengan pengorbanan tanpa mengenal erti penat oleh semua doktor dan jururawat yang seboleh-bolehnya mahu memastikan semua pesakit dirawat dengan baik sekali.
“Saya berkongsi bilik dengan 4 orang pesakit Covid-19 yang lain sebelum dipindahkan ke bilik individu. Pengalaman saya mengharungi cabaran melawan penyakit tak terduga ini bersama pesakit yang terdiri dari kaum yang berlainan bangsa memberi harapan kepada saya bahawa wabak ini dapat ditangani.
“Saya juga sangat bersyukur dengan kemudahan yang telah disediakan oleh pihak hospital dan kerajaan yang sentiasa prihatin dalam menangani virus ini,” katanya.

Iklan

Nikmat ALLAH

Ujar peguam itu lagi, beliau tidak pernah rasa menyesal terhadap aturan ALLAH SWT.
“Pengalaman yang saya telah lalui itu memberi pengajaran tentang betapa perlunya kita sentiasa bersabar dan pada masa sama bersyukur atas nikmat yang ALLAH berikan Allah.
“Kita sesekali jangan ambil mudah dengan apa yang telah dikurniakan-NYA selama ini kerana sesungguhnya ia semua boleh ditarik balik dalam sekelip mata,” ujar Nur Amira lagi.
Pada akhir kalam, bekas pesakit itu mengulangi ucapan terima kasihnya kepada petugas barisan hadapan.
“Terima kasih sekali kepada semua pegawai Kementerian Kesihatan khususnya petugas dari Klinik Kesihatan Jinjang dan HKL yang telah bertungkus lumus tanpa berbelah bagi ketika melaksanakan tanggungjawab mereka untuk menangani wabak Covid-19 ini.
“Sesungguhnya, Perintah Kawalan Pergerakan sangat penting untuk memastikan rantaian jangkitan Covid-19 dapat dikekang dan seterusnya memutuskan rangkaian jangkitan penyakit tersebut,” katanya yang kini melayari kehidupannya dengan penuh keceriaan dan ketenangan.

 

Iklan

“Pengalaman yang saya telah lalui itu memberi pengajaran tentang betapa perlunya kita sentiasa bersabar dan pada masa sama bersyukur atas nikmat yang ALLAH berikan Allah.

“Kita sesekali jangan ambil mudah dengan apa yang telah dikurniakan-NYA selama ini kerana sesungguhnya ia semua boleh ditarik balik dalam sekelip mata.”

 

Penulis: MAZLINA ABDUL MAJID