SUDAH namanya berada di tempat kerja dan melakukan tugas, tentulah apa pun yang berlaku di lokasi ketika itu perlu diambil tahu oleh majikan.

Sedangkan bagi yang bekerja tetap pun kebajikan golongan berkenaan kadang tidak diambil berat oleh majikan, ini kan pula yang bekerja kontrak… Lazimnya ibarat habis madu sepah dibuang!

Umum maklum kebajikan pekerja kontrak selalunya dipandang ringan biasanya dek stigma mereka hanya ‘bekerja sementara’.

Itulah natijah yang menimpa seorang lelaki ini, apabila berdepan kemalangan ketika sedang bekerja, namun nasibnya diabaikan majikan. Ini yang dikongsikan oleh pemuda bernama Mohd Fairus Mohamed Said, 39, dari Klang, Selangor ini.

Berkongsi hantaran di media sosial dirinya yang terjumpa seorang lelaki, berusia dalam 40-an mengalami kesan kecederaan akibat kulitnya terbakar amat menyentuh hatinya dan mengundang simpati netizen.

“Masa jumpa lelaki ni, dia sedang duduk di tepi sebuah kedai dan nak buka botol minuman, tapi susah sebab kedua-dua tangannya yang berbalut. Air minuman tu pun mungkin orang yang bagi.

“Jadi saya tolong dan bertanyakan kenapa dia jadi begitu dengan sebahagian mukanya ada kesan lecur terbakar. Sangat kasihan. Muka lecur jadi lebih teruk di tengah panas. Selain muka, tangan, kaki pun ada sikit kesan lecur,” ceritanya kepada SinarPlus.

Lelaki yang ditemui oleh Fairus ini ketika itu sukar hendak membuka penutup minuman dek tangan yang berbalut akibat lecur.

Menurut Fairus, lelaki itu bercerita dia ketika itu baharu pulang dari mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam. Dia ke hospital itu setelah dihantar oleh polis yang melihat keadaan menyedihkannya itu ketika sedang berjalan.

Tergerak hati

Namun begitu, hendak pulang ke tempat tinggalnya di Sri Muda, Shah Alam, rupanya lelaki itu kering poket. Umpama tergerak hati membaca situasinya, Fairus tergerak hati membantu membayarkan Grab untuknya pulang.

“Masa tunggu Grab tulah saya sempat bertanya padanya. Katanya tak ada duit transport. Baru balik checkup kat hospital. Datang dengan polis yang hantar sampai hospital. Hampir seluruh badannya terbakar masa kat tempat kerja, mesin meletup.

“Dia orang kita, berasal dari Sandakan, Sabah. Bila dengar cara bercakap pun slang macam isteri saya, sebab dia pun dari sana. Tapi yang kasihannya abang ni tulah… majikannya tak ambil tau dan tak peduli keadaannya ni. Memang tak patut,” katanya.

Menurutnya rupanya kejadian menimpa lelaki itu sudah berlaku seminggu sebelum dia ke hospital, sampaikan di bahagian telinganya pun sudah nampak kesan nanah.

Iklan

Harapan Fairus, moga majikan tidak mengambil ringan kebajikan pekerja sekali pun pekerja kontrak.

“Saya hanya membantu setakat membayarkan Grab tu sajalah. Saya harap urusannya dipermudahkan selepas ini,” kata peniaga ini kepada SinarPlus.

Berjaya dibantu pulang dengan menaiki grab.

 

Iklan

Terdahulu ini postingnya sejak lima hari lalu hingga ke hari ini yang tular dengan lebih 2k perkongsian, menjadi perbualan rancak dalam kalangan warganet:

“Tadi aku pi beli barang nampak hamba ALLAH ni duduk depan kedai dengan keadaannya camni. Aku tanya abang OK ke? Dia cakap nak balik Sri Muda tapi tak ada duit dengan transport. Baru balik checkup kat hospital. Datang tadi polis yang hantar sampai hospital.

Seluruh badannya terbakar masa kat tempat kerja..mesin meletup. Majikan tak ambil tau dan peduli… Allahuakbar zalim nya majikan. Yang dapat aku tolong ambil Grab untuk dia balik.. Semoga dipermudahkan segala urusan hamba ALLAH ni..” tulis Fairus di hantaran Facebooknya.

Moga urusan lelaki malang itu dipermudahkan. Janganlah ada majikan berbuat sebegini terhadap pekerja kontrak. Biarpun pekerja kontrak, tiadakah sifat kemanusiaan untuk mereka? -AG