GARA-GARA menonton sebuah filem pengembaraan angkasa lepas sekitar tahun 2005 membuatkan pelajar berasal dari Klang yang dikenali sebagai Vanmitha Athimoolam memasang impian untuk meneroka angkasa lepas satu hari nanti.

Filem yang ditonton Vanmitha bertajuk Zaruthra adalah filem angkasa lepas pertama yang ditontonnya pada ketika itu dan dia sangat kagum apabila melihat bagaimaan rupa angkasa lepas.

Sejak itu, Vanmitha telah memasang impian untuk melihat kehidupan di luar bumi.

Memetik laporan portal tempatan, kini, Vanmitha dalam usaha untuk mencapai impiannya.

Langkah awal yang dibuat adalah menyertai sebuah pertandingan Kerjaya Angkasawan di peringkat global dan berharap menjadi satu-satunya rakyat Malaysia yang terpilih untuk program lima tahun, di mana empat pemenang akan dipilih untuk penerbangan “suborbit”.

Menurut sumber, Vanmitha, 20, pelajar kejuruteraan aeroangkasa, merupakan finalis dalam pertandingan itu, anjuran syarikat Amerika Syarikat, Advancing X dan seperti tahun lalu, hanya 18 pemohon sahaja diterima.

Namun, Vanmitha hanya perlu menghadiri satu temuduga lagi dan sekiranya diterima, beliau perlu berpindah ke Amarika Syarikat Julai ini untuk menjalani latihan intensif selama lima tahun bagi menguji ketahanan fizikal dan mentalnya.

Jika berjaya, Vanmitha mungkin akan menjadi angkasawan negara seterusnya mengikut jejak Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha. Siapa sangka bukan?

Tambahan pula pelajar jurusan kejuruteraan aeroangkasa itu sangat serius dan mempunyai minat yang sangat tinggi dalam penerokaan angkasa lepas sejak kecil.

Vanmitha masih ingat kali pertama beliau memberitahu ibu bapanya tentang cita-cita menjadi angkasawan beberapa tahun lalu.

Mereka menganggapnya sebagai satu “fasa”, yang dilalui kebanyakan kanak-kanak sebelum menyedari kesukaran untuk merealisasikannya.

Iklan

“Mereka tidak tahu betapa fokusnya saya. Mereka beritahu saya perlu belajar bersungguh-sungguh kalau mahukannya dan ketika itulah saya mula serius dengan pelajaran sebab saya perlu berbuat demikian kalau mahu mencapai cita-cita yang saya impikan,” katanya.

Vanmitha juga tidak pasti sama ada beliau boleh sampai ke angkasa seperti Dr Sheikh Muszaphar. Tambahan pula Vanmitha juga mempunyai ramai pengkritik.

“Masa saya kecil, orang kata saya tidak ada masa depan di Malaysia. Lupakan impian anda, buat pekerjaan biasa seperti perubatan atau undang-undang atau jadilah cikgu.

“Mereka beri saya pemikiran yang mengatakan masa depan saya bukan di sini, tetapi saya perlu ke luar negara,” katanya.

Katanya, beliau kecewa selepas mengetahui NASA hanya menerima warganegara AS pada 2017, tempoh yang mana beliau pernah memikirkan untuk melepaskan cita-citanya menjadi angkasawan.

Iklan

Vanmitha Athimoolam hanya selangkah daripada program latihan yang akan memilih empat peserta untuk penerbangan ‘suborbital’.

“Tetapi kemudiannya saya dapat tahu tentang sebuah NGO angkasa lepas tempatan dan menghadiri mesyuarat agung tahunan mereka di planetarium.

“Saya menemui sekumpulan orang dengan pemikiran sama seperti saya, berusaha membina industri angkasa lepas yang kukuh di Malaysia. Ia mengembalikan harapan saya semula,” katanya dengan penuh harapan.

Vanmitha menganggap setiap halangan yang dihadapi kini sebagai pengalaman untuk belajar dan terus mengejar impiannya dengan sokongan keluarga.

Sebagai wanita muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), beliau berharap wanita tempatan yang lain akan mengikuti jejaknya supaya jantina mereka tidak perlu menjadi halangan tambahan untuk menggapai impian.

“Saya minta maaf untuk katakannya, tetapi kesaksamaan jantina tidak berada di tempat sepatutnya di Malaysia, masih ada perasaan mengatakan lelaki lebih berkuasa. Sesetengah orang tidak fikir wanita mampu mencapai apa yang dilakukan lelaki.

“Bagi saya dan wanita lain dalam STEM di Malaysia, sudah tiba masanya untuk mengiktiraf serta memperkasakan kami untuk mempunyai impian besar.

“Apabila orang kata anda tiada masa depan, anda perlu percaya masa depan perlu ditentukan oleh seseorang individu itu sendiri. Fokus pada diri dan impian dan jangan mudah berputus asa.

“Anda hanya gagal apabila anda berhenti mencuba,” katanya penuh optimis.

Sumber : freemalaysiatoday