PANDEMIK Covid-19 melihatkan banyak perkara berubah 360 darjah antaranya sekolah dan institusi pendidikan yang masih lagi ditutup.

Disebabkan itu, pembelajaran dalam talian seperti google classroom telah diamalkan di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Kaedah ini mampu membantu guru dan pensyarah bagi membolehkan interaksi secara terus dengan pelajar.

Para guru dan pensyarah turut memanfaatkan media sosial seperti whatsapp dan telegram dengan sebaik-baiknya untuk menyampaikan pelbagai maklumat, arahan dan latihan.

Namun, lain pula kisahnya bagi salah seorang palajar di pusat pengajian tinggi yang tinggal di Sabah.

Kisah pelajar bernama Veveonah Mosibin, 18, yang gigih memanjat pokok demi mencari liputan internet untuk menjawab peperiksaan secara online mencuri tumpuan warganet.

Difahamkan Veveonah berasal dari Kampung Sepatalang, Pitas, Sabah yang kini sedang menuntut dalam jurusan Asasi Sains di sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam.

Veveonah berkongsikan pengalamannya yang cuba untuk mendapatkan liputan internet itu menerusi video yang disiarkan di saluran YouTube miliknya dengan tajuk “24 Hours On Tree Challenge”.

Rakaman berdurasi 11 minit 21 saat itu melihatkan Vevenonah bercerita kisahnya yang mana dia terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet sepanjang peperiksaan secara online berlangsung.

Iklan

Hanya berbekalkan kelambu, power bank, makanan dan beberapa peralatan kelengkapan lain, gadis itu terpaksa berada di atas pokok selama tempoh 24 jam.

Berikut adalah video penuh yang dikongsikan oleh Veveonah:

Iklan

https://youtu.be/-qxTyBWVLIU

Terbaik. Benar kata pepatah “usaha itu tangga kejayaan”. Apa pun keputusan ujian yang diambil oleh Veveonah, SinarPlus ucapkan selamat maju jaya dan tahniah kerana berjaya menduduki ujian tersebut dengan cara yang sangat unik!