SENIWATI Fauziah Nawi bukan nama asing dalam industri seni tanah air. Bekas juruhebah radio, pengarah dan pelakon itu sudah lima dekad mewarnai dunia hiburan Malaysia.

Mesra dengan panggilan ibu, Fauziah, 70, yang merupakan Tokoh Seri Angkasa, Anugerah Seri Angkasa 2022 itu sekali lagi menerima anugerah yang bermakna sepanjang kariernya.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk kepada Datuk Fauziah.

Istana Negara menerusi laman Instagram rasmi mengumumkan  darjah kebesaran yang diterima Fauziah telah dinaik taraf.

Fauziah berkata beliau tidak menyangka baginda berkenan menukar pingat Darjah Kebesaran Johan Setia Mahkota (JSM) seperti yang dimaklumkan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong pada Jun lalu.

“Saya terima panggilan daripada pihak istana memaklumkan pingat asal diterima ditukar pada 21 Jun lalu.

“Saya memang tidak pernah meletakkan harapan. Bila diberi gelaran ini ia merupakan satu tanggungjawab besar buat saya. Banyak lagi benda yang perlu saya lakukan,” katanya.

Lima dekad aktif dalam industri, pelakon yang sinonim dengan watak air mata itu versatil dan berada dalam kelasnya yang tersendiri.

Baca juga: “Kereta lama dah terbakar, nak beli baharu tak mampu,”  Fauziah Nawi terkejut terima hadiah kereta

Berikan apa sahaja watak,  beliau pasti akan memberi persembahan terbaik yang berkesan dan hidup.

Bakat Fauziah memang tidak boleh disangkal hingga pernah dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Terbaik untuk filem Sayang Salmah dan drama Mendung Tidak Berarak Lagi.

Berikut 10 fakta menarik mengenai awal kemunculan Fauziah dan perjalanan seninya:

1-Fauziah Nawi yang dilahirkan di Ipoh, Perak pada 28 Jun 1953.

2-Bukan sahaja pelakon dan juruhebah, wanita hebat ini juga pernah menjadi penari, tenaga pengajar seni lakon dan penyanyi.

3-Ketika berusia antara 18 tahun hingga 19 tahun, Fauziah sering menjuarai pertandingan menari.

4-Beliau menjadi juruhebah radio di Radio Televisyen Malaysia (RTM) selepas lulus sesi temu duga yang dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam. Ketika awal kerjaya, Fauziah menerima gaji sebanyak RM180 sebulan.

Baca juga: Usia tidak halang Fauziah Nawi terus timba ilmu

5-Sepanjang bergelar juruhebah, Fauziah ditugaskan di saluran Radio 4, Radio 3 Ibu Kota dan Radio 1, RTM.

Iklan

6-Antara rancangan radio yang pernah dikendalikan beliau ialah Morning Show, Your Host, Non Stop Music, Before We Say Good Nite, Fascinating Malaysia dan Manis-Manis Garam.

7-Tidak lama menjadi penyampai radio, beliau mengambil keputusan untuk bergiat aktif sebagai pelakon sepenuh masa.

8-Dalam bidang lakonan, Fauziah Nawi bermula menerusi pentas teater atau ketika itu lebih dikenali sebagai sandiwara atau drama pentas.

9-Bapa Fauziah merupakan pengusaha kantin di Kementerian Belia dan Sukan, Taman Budaya, Jalan Ampang. Tempat tersebut yang menjadi pusat aktiviti seni yang mendedahkan Fauziah kepada pelbagai cabang kesenian.

10-Pada tahun 2019, ibu kepada dua cahaya mata ini pernah disenaraikan sebagai salah seorang daripada 10 pelakon senior Malaysia paling laris sepanjang zaman.

Selain Fauziah, Darjah PJN yang membawa gelaran Datuk turut dikurniakan kepada Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Datuk lzham Ismail.

Dua tokoh itu mendahului senarai 297 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena Had Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong 2023 pada istiadat pengurniaan di Istana Negara.

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke istiadat itu.

Iklan

Semoga bakat, ketekunan dan kecekalan Fauziah dalam mengharungi cabaran sepanjang lima dekad ini menjadi inspirasi kepada wanita lain.

Baca juga: ‘Jangan pentingkan diri!’- Fauziah Nawi kesal

Sumber: Bernama, Orang Perak, Istana Negara

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!