Oleh ARZIANA MOHMAD AZAMAN

KATA Mohamad Khairry Mohamad Ariffin, sukan memanah yang digalakkan oleh Rasulullah SAW yang kita sayangi sememangnya terbukti mampu memberi kekuatan dari segi jasmani dan rohani. Malah, ia juga adalah simbol kekuatan umat Islam dalam mempertahankan diri.

Mohamad Khairry yang juga seorang pembuat busur berkata, sejak dari dulu lagi, beliau berpegang teguh kepada sunah Nabi Muhammad SAW yang menggalakkan umatnya untuk belajar memanah, selain berkuda dan berenang.

“Saya percaya dengan skil memanah ini akan menjadikan jiwa seseorang kuat dan kental. Bukan sahaja memberikan kebaikan dari segi kesihatan, malah memiliki 1,001 manfaat lain. Orang yang menguasainya sahaja yang tahu.

“Sebab itu, kita perlu cuba belajar memanah dulu supaya kita dapat merasai nikmat itu sendiri,“ katanya kepada kru program Cerita Orang Kita di Kampung Serkat, Tanjung Piai, Pontian, Johor baru-baru ini.

Jangan lupa follow kami Instagram!

Bapa kepada tujuh cahaya mata itu tidak lokek untuk terus berkongsi cerita. Ujarnya, minat terhadap memanah pada awalnya bermula daripada pelawaan seorang rakan yang juga penggiat sukan tersebut.

“Saya masih ingat lagi, kawan mahu saya mencuba busur Korea jenis tradisional yang dibelinya. Ketika itu, entah macam mana, saya terus jatuh cinta dengan busur itu. Setiap bunyi sentakan hasil daya elastik busur, membuatkan saya rasa seronok dan bersemangat.

“Kalau nak diikutkan, lama juga sebenarnya saya pendam perasaan untuk membeli busur sendiri kerana harganya bukannya murah. Namun, selepas setahun, barulah saya dapat merealisasikan impian tersebut,“ ceritanya yang memulakan projek membuat busur sejak tiga tahun lalu.

Bermula daripada seorang pemula hingga bergelar profesional, lelaki itu merasakan kehebatan seorang pemanah bukan sahaja terletak kepada teknik, tetapi juga terhadap penggunaan busur yang baik.

“Bagi saya, busur pemula dengan daya elastik 26lbs sebenarnya tidak sesuai untuk mereka yang lebih berkemahiran, jadi tercetus idea untuk membuat busur sendiri yang lebih memuaskan hati.

“Daripada model asal, saya olah semula menjadi busur dengan kekuatan daya elastik 30 hingga 36lbs iaitu setara dengan skil. Sebab itu, orang kata kalau mahu membeli busur, adabnya perlu mencuba terlebih dahulu supaya serasi dengan kekuatan diri,“ jelas beliau ketika memceritakan minatnya itu.

Eksklusif

Bekas usahawan cetakan baju itu juga tidak menyangka, rezekinya lebih ke arah pembuatan busur selepas itu. Masakan tidak, tanpa diduga, beliau mula menerima tempahan untuk busur pemula yang digunakan untuk latihan bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan sukan memanah.

“Sebenarnya saya tiada asas pun dalam pembuatan busur ini, namun berkat rajin belajar melalui panduan di laman YouTube dan daripada rakan-rakan berpengalaman, akhirnya saya dapat hasilkan alatan yang baik buat pembeli.

“Untuk membuat busur, apa yang penting adalah gentian kaca yang menjadi model asas, selain pilihan kayu jenis jati sebagai pemegang genggaman,“ ungkapnya yang lebih cenderung dengan pembikinan busur Turki dan Korea.

Setiap daripadanya dijual pada harga bermula RM250 hingga RM480 seunit.

Iklan

Menurut Mohamad Khairry, kebanyakan pemanah di Malaysia menggunakan busur jenis itu berbanding keluaran negara Eropah.

Ujar beliau lagi, bagi menyiapkan satu-satu tempahan pula, biasanya memerlukan masa sekitar tiga hari. Pada masa sama, kurang 10 batang busur pemula sahaja diterima (untuk tempahan) demi menjaga kualiti.

“Sebenarnya saya tidak membuka pesanan secara umum kerana setiap busur yang saya buat lebih kepada edisi terhad dan eksklusif. Maksudnya di sini, saya hanya membuat untuk jumlah tertentu sahaja untuk koleksi peribadi.

Baca juga Kawan punya pasal, lelaki terjun laut, berenang ke Seberang Perai

“Memang pada asalnya saya buat busur untuk diri sendiri sebab tahu bahagian mana yang perlu diberikan perhatian, namun itulah, tak sangka pula ada suka dan mahu membelinya,“ katanya.

Iklan

Menyambung perbualan, Mohamad Khairry menambah, meskipun memanah tidak sepopular sukan lain, namun beliau berpandangan, skil memanah wajib dikuasai dalam kalangan umat Islam khususnya anak muda.

“Saya sendiri pun dedahkan kemahiran memanah kepada anak-anak walaupun mereka masih kecil lagi. Mungkin sekarang ini minat mereka belum terserlah, namun boleh dididik dari awal.

“Malah, jika ada yang mahu belajar membuat busur pun, saya terbuka untuk berkongsi ilmu memandangkan masa saya terutama pada waktu petang banyak dihabiskan di bengkel busur,“ katanya menutup perbualan.

Jangan lupa follow kami Instagram! dan layari portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI