Pemilik restoran belanja ikan tilapia, jamu beratus pemandu lapar setelah terkandas 12 jam akibat banjir
“Nasib baik ada ikan Tilapia, dapat alas perut,” begitulah pengalaman yang dapat dikongsikan oleh pemilik resort Tasik Keyir Terengganu, Sazureen Abu Hasan apabila dia dan ratusan pengguna jalan raya yang lain terkandas akibat banjir.
Memetik laporan portal media tempatan, Sazureen membawa pulang hampir 70 ekor ikan Tilapia yang dipesan oleh jiran dan rakan, selepas mengetahui beliau akan ke resort pada hujung mingggu bagi melayan tetamu.
Sazureen berkata, beliau bertolak pulang ke Seremban, Negeri Sembilan pada pagi Ahad dan memilih untuk menggunakan laluan Gua Musang-Kuala Lumpur selepas mengetahui Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dan laluan alternatif melalui Muadzam Shah, Rompin dinaiki air.
“Bagaimanapun, kami sangkut juga akibat banjir di Raub sekitar jam 4 petang dan terpaksa bermalam dalam kereta. Esoknya, saya lihat ada banyak kereta dan bas yang mengalami nasib sama dan sudah tentu, mereka juga seperti saya, tidak makan kerana tiada kedai di situ.“Jadi, saya beritahu suami lebih baik kita masak dan sedekahkan ikan yang ada. Lagipun, kami tidak tahu bila akan sampai ke rumah. Bimbang jika ikan rosak,” katanya.
Tambahan pula ikan tersebut juga sudah siap dicuci dan bagi mendapatkan garam serta kunyit, dia bersama suami terpaksa meredah banjir sebelum menumpang bot untuk ke kampung sebelah.
Dalam keadaan itu, Sazureen berkata mereka tidak mempunyai pilihan lain selain membakar ikan tersebut, yang dilakukan dengan pertolongan beberapa remaja dari sebuah bas persiaran yang turut terkandas di situ.
Pengalaman terkandas itu juga dikatakan membantu mereka mengasah kembali kemahiran semasa bergelar ahli pengakap ketika di bangku sekolah.
Dalam keadaan sukar dan terdesak, kita terpaksa bijak menggunakan bahan persekitaran untuk bertahan dan meneruskan hidup.
Mereka dikatakan terpaksa kreatif menggunakan besi payung yang dipatahkan dan diikat untuk menjadi pemanggang ikan.
Semua orang saling membantu, mencari garam kunyit, mencari ranting kayu dan daun pisang untuk dijadikan pinggan.
“Selepas siap dibakar, kami bergerak pula mengagihkan ikan dari kereta ke kereta, dalam keadaan itu, yang tidak makan ikan air tawar pun tiada pilihan kerana perlu mengalas perut. Daripada sedih kerana terkandas, kami seronok pula membuat akiviti barbeku di tepi jalan,” katanya.
Ternyata itu adalah satu pengalaman yang tak mungkin dapat mereka lupakan. Tambahan pula mereka kini sudah mempunyai kumpulan WhatsApp dan bercadang untuk mengadakan pertemuan semula 'ahli ikan tilapia' di resort milik Sazureen pada masa akan datang.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang