PEMUDA ini tetap gigih mencari rezeki walaupun kaki dan tangannya tidak berfungsi dengan sempurna, apatah lagi bergantung harap pada penggunaan kerusi roda.

Kelainan upaya akibat penyakit Cerebral Palsy yang dialami sejak lahir sedikitpun tidak mematahkan semangat pemuda dikenali sebagai Daniel Cheng bekerja mendapatkan wang bagi menampung perbelanjaan diri.

Jika sesetengah individu normal bermalas-malasan dan hanya mengharapkan bantuan pada pandemik ini, tetapi lelaki berbangsa Cina itu pula sebaliknya.

Kekurangan fizikal tidak dijadikan alasan untuk mengharapkan ihsan orang ramai meskipun beliau hidup sebatang kara.

Bahkan, pemuda yang aktif di media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter berusaha mencari sesuap nasi dengan menjual biskut dan kerepek.

Hasil jualannya itu digunakan untuk keperluan harian termasuk melunaskan bil-bil utiliti dan sewa rumah.

“Hai semua. Nama saya Daniel seorang OKU (orang kelainan upaya) berkerusi roda berumur 30 tahun menjual kerepek dan biskut yang sedap untuk mencari rezeki lebih bagi menampung kos kehidupan seharian.

“Diharap semua boleh support biskut dan kerepek yang saya jual. Saya juga ada menjual pelitup muka dewasa RM25 untuk 50 keping.

“Sesiapa yang berminat untuk mendapatkan mask atau kerepek boleh WhatsApp saya,” tulis Daniel dalam hantaran Twitternya baru-baru ini.

Selain itu, beliau turut berkongsi tentang jualannya yang dibantu seorang rakan.

“Cara saya duduk dengan orang lain berbeza. Saya berharap anda boleh terus menyokong bisnes kecil-kecilan saya ini.

“Saya membeli semua bahan biskut dengan menggunakan duit sendiri dan membuat bisnes ini bersama dengan sahabat karib saya,” kongsi Daniel.

Iklan

Sikap berdikari Daniel mengagumkan ramai pihak sehingga mendorong segelintir warga maya membeli produk biskutnya dan rata-rata memberikan respons positif.

Kebanyakan pelanggan gembira berurusniaga dengannya dan berkongsi respons positif.

Iklan

Warganet turut tersentuh dengan usaha gigih anak muda ini:

– “Sedih pula aku tengok. Aku yang inipun rasa malas nak pergi kerja, apatah lagi gaji jalan macam biasa. Sedangkan orang lain struggle kaw kaw.”

– “Biskut roda. Rindunyaa zaman sekolah koperasi selalu jual kerepek biskut-biskut ini.”

Diharapkan ketabahan dan kegigihan Daniel mencari rezeki menyuntik semangat buat korang. Apa yang penting, sentiasa berusaha pasti penghujungnya akan membuahkan hasil.

Sumber: Twitter Daniel Cheng