SEORANG pemuda Malaysia dilaporkan terbaring kesepian di katil sebuah hospital di Sydney.

Menurut laporan The Age Australia, pemuda itu digelar ‘pesakit paling sunyi’ apabila dia dikatakan tiada pelawat yang menjenguknya sejak enam bulan lalu ketika dimasukkan ke Hospital St Vincent itu.

Rupanya lelaki itu adalah seorang bekas jurutera pembinaan, Khaidir Abu Jalil, 34, disahkan menghidap penyakit dermatomiositis.

Dia menderita penyakit autoimun yang jarang berlaku dengan kadar kelangsungan hidup 50 peratus.

Kisahnya mula mencuri tumpuan ramai sejak beberapa hari lalu apabila dikhabarkan dia bakal dibenarkan keluar dari hospital berkenaan dalam minggu ini.

Difahamkan juga, Khaidir tidak mempunyai siapa-siapa di sana, keluarganya berada di sini dan dia juga tidak memiliki telefon atau mempunyai akses internet.

Ketua Reumatologi di Hospital Umum St Vincent Sydney, Dr Laila Girgis berkata, pihaknya terkejut melihat Khaidir yang baru berusia 34 tahun tapi prognosisnya sangat buruk.

Baca juga [VIDEO] Kantoi ada wanita simpanan, bapa kandung sanggup langgar dan gilis anak sendiri

Iklan

“Keadaanya teruk dan ketika dalam rawatan intensif, tidak ada seorang pun pengunjung yang dapat bersamanya.

“Dia menanggung kesakitan dengan kadar oksigen yang rendah, tidak dapat bernafas dan perlu diintubasi di unit rawatan rapi (ICU),” katanya.

Difahamkan juga Khaidir ke sana pada Julai tahun lepas dan menjalani hidup seperti sedia kala.

Namun, sejak Februari, badan Khaidir menyusut menjadi 42 kilogram, lebih daripada separuh berat badannya beberapa bulan sebelumnya.

Iklan

Suhu badannya juga melonjak melebihi 40 darjah Celsius setiap hari namun kini semakin pulih.

Bagaimanapun, laporan berkenaan mengatakan masa depan Khaidir tidak dapat dipastikan terutama dengan status visa yang dimilikinya dan masalah kekurangan wang.

Khaidir juga telah kehilangan pekerjaannya sebagai jurutera pembinaan di Melbourne, status visa tidak menentu, dan dia sekarang kehilangan tempat tinggal setelah pangsapuri yang disewanya di Victoria telah tamat tempoh.