BAMBANG SUTRISNO SOTETO, satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri kosmetologi tanah air. Bukan calang-calang orangnya.

Beliau merupakan antara pendandan rambut profesional tempatan yang memiliki pengalaman menginjak hampir dua dekad.

Sentuhan magisnya sering menjadi dambaan ramai bermula daripada orang kebanyakan, selebriti hinggalah golongan VIP. Hasil jari-jemari jejaka berusia 39 tahun itu melentur lembut helaian rambut pelanggan lelaki ataupun wanita tidak pernah mengecewakan.

Menerusi sesi konsultasi dan melihat personaliti seseorang, beliau yang mesra disapa Bambang pantas mengenal pasti jenis potongan dan kod warna bersesuaian. 

Pun begitu, tutur Pengerusi Syarikat dan Pengarah Dandanan Rambut Profesional Hairkunst Sdn Bhd itu, kelebihan tersebut tidak diwarisi dalam tempoh masa singkat. Ia perlu disusuli pengalaman dan sesi pembelajaran berterusan dari masa ke masa.

Penjelasan anak kelahiran Kuala Lumpur itu nampaknya bukan omong kosong. Bahkan, ketika pertemuan bersama kru SinarPlus di salun Society of Men Salon & Barber, Desa Park City, Kepong, Selangor pada Isnin lalu, Bambang sedang bersiap siaga melakukan persiapan kelas tutorial bersama pihak L‘oreal.

“Pada sebelah petang nanti (Isnin lalu), saya dan pasukan menghadiri kelas tutorial penggayaan rambut kendalian L‘oreal. Maklumlah, kami telah berehat hampir empat bulan memandangkan salun tidak dibenarkan operasi dek penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jadi, sebaik sahaja kerajaan mengumumkan sektor salun dibenarkan beroperasi, lega kami mendengarnya. Justeru, kelas amali seumpama ini amat penting bagi refresh semula perkara asas kecantikan rambut khususnya melibatkan teknik menggunting, urutan dan cucian. Ia termasuklah mengenali senarai kod pewarna rambut mengikut trend semasa,“ ujarnya yang menuntut ilmu penggayaan rambut di Jerman, England dan Austria selama sembilan tahun.

Ilmu pendandan

bambang soteto
PELAKON Hisham Hamid (kiri) dan Dynas antara selebriti yang menjalani rawatan 
rambut di salun Hairkunst milik Bambang.

Bicara anak kelahiran Kuala Lumpur itu, segala-segalanya bermula ketika beliau melanjutkan pengajian Ijazah Kejuruteraan Kimia di Universiti Fachhochschule Mannheim di Jerman.

Usai memperoleh keputusan 9A1, 1A2 dan 1C3 untuk Sijil Pelajaran Malaysia di Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah, Melaka, Bambang memilih menerokai ilmu di negara orang. Bak kata pepatah, jauh perjalanan, luas pemandangan.

“Seronok memang seronok berada di luar negara kerana dapat mempelajari gaya hidup, budaya dan cara mereka bekerja. Namun begitu, momen yang memeritkan apabila kos sara hidup dan bil pengajian yang tinggi. Serba salah pula nak meminta dengan keluarga.

“Maka, solusi terbaik, saya bekerja separuh masa mencari pendapatan sampingan supaya sesi pengajian tidak terputus di tengah jalan. Niat asal ingin menjadi pelayan di kafe, tetapi percaturan ALLAH hebat apabila menemukan saya dengan salun Mods di Mannheim, Jerman.

“Kebetulan pada waktu itu, mereka sedang mencari coffee boy (pembantu salun) dan saya bersyukur rezeki berpihak kepada saya. Skop kerja pun tidak terlalu berat yang mana saya hanya perlu menyapu dan membersihkan peralatan salun selepas digunakan. Kadangkala, diminta membeli minuman dan mencuci rambut pelanggan,“ jelas Bambang yang bekerja antara pukul 1 petang hingga 6 petang, kemudian pada sebelah malam hadir ke makmal menyambung kuliah.

Azam beliau, walaupun keringat banyak ditumpahkan, pelajaran tidak sesekali diabaikan kerana itu adalah matlamat utamanya terbang ke Jerman membawa sekali impian ibu dan ayah.

Bagaimanapun, ceritanya tidak berhenti begitu sahaja. Selepas lima bulan bekerja sebagai pembantu salun, akhirnya Bambang memberanikan diri meluahkan hasrat hati kepada bosnya, Christina Wegschneider untuk menjadi pendandan rambut di premis berkenaan.

“Bayangkan, ketika menyapu lantai saya acapkali melihat pelanggan wanita yang sebelum ini tampak kusam bertukar anggun, stailo dan segar selepas melakukan transisi rambut. Sambil bibir menguntumkan senyuman mereka mengatur langkah penuh bergaya ketika meninggalkan salun.

“Dari situ, hati ini terjentik untuk menggembirakan orang lain melalui penggayaan rambut. Hasrat saya disambut baik. Majikan telah melantik menjadi pelatih di sana selama tiga tahun,“ katanya yang mengutip bermacam-macam ilmu dan pengalaman di kota Jerman.

Pelajaran yang tersemat kemas dalam memorinya sehingga hari ini adalah sikap pendandan rambut warga Jerman yang begitu cermat dan teliti mengendalikan proses menggunting, mencuci, meluruskan dan mewarnakan rambut pelanggan. 

Mereka akan pastikan potongannya mengikut panjang dikehendaki pelanggan supaya tidak berkurangan walaupun satu sentimeter.

Perjalanan ilmu kecantikan rambut diteruskan pula ke Toni & Guy, London selama enam bulan sebelum berhijrah di Vienna, Austria. Di sana, Bambang mengambil kursus profesional sekali gus dilantik menjadi salah seorang tenaga pengajar di Headquaters Academy Salon untuk tempoh dua tahun.

“Pada pertengahan tahun 2007, sejurus pulang ke tanah air, saya mengambil keputusan membuka salun pertama yang bernama Hairkunst di pusat beli-belah The Curve, Mutiara Damansara sehingga hari ini.

“Menariknya, Hairkunst membawa maksud Hair (rambut) manakala Kunst  adalah perkataan Jerman yang merujuk pada seni. Lagipun seperti yang kita sedia maklum, apabila berbicara soal penggayaan rambut ia memerlukan tahap kesenian tinggi bagi mendapatkan hasil yang memukau,“ jelasnya yang pernah dilantik sebagai duta produk kecantikan rambut Schwarzkopf dan jurucakap jenama Sunsilk Hijab dan Elite.

Penangan Covid-19 

bambang soteto
PARA petugas salun Hairkunst dilengkapi PPE demi kesejahteraan pengunjung dan staf sepanjang pandemik ini.

Selepas cawangan pertama beroperasi dengan lancar, Bambang melebarkan sayap membuka salun kedua di gedung Sunway Giza di kawasan kejiranan berhampiran. Namun, dek beberapa kekangan dialami, premis itu bertahan selama dua tahun sahaja. 

Situasi berkenaan sedikit sebanyak menjejaskan ketahanan mental dan fizikal sehingga beliau trauma untuk membuka cawangan baharu. Bagaimanapun, memahami pasang surut bisnes, Bambang kembali bangkit mempersiapkan diri supaya insiden sama tidak berulang.

Iklan

bambang soteto

“Alhamdullilah, genap 13 tahun berada dalam industri kini saya mempunyai kekuatan dan berjaya membuka tujuh buah salun yang bernaung di bawah Hairkunts iaitu Dashing Diva by Hairkunst, Hairkunst Hijabis, Society Of Men Salon & Barber dan Khatulistiwa Hair Spa by Hairkunst.

“Pengalaman lalu dijadikan iktibar, tetapi baru sahaja hendak bernafas dengan sayap-sayap Hairkunst, sekali lagi saya diduga. Kami menyangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Siapa sangka dunia dikejutkan dengan virus Covid-19.

“Berikutan pandemik terbabit, kerajaan mengambil langkah menguatkuasakan PKP sehingga kebanyakan sektor ekonomi tidak dibenarkan beroperasi termasuk bisnes salun. Terduduk saya seketika, buntu memikirkan masa depan pekerja kerana gaji mereka bergantung pada bayaran perkhidmatan yang diperoleh daripada operasi harian,“ luah beliau.

Sepanjang tiga bulan ‘berhenti‘ kerja, Bambang sentiasa berdoa semoga ada sinar buat sektor salun. Hatinya gundah memikirkan tempoh PKP yang disambung setiap dua minggu. Hasil jualan terhenti, namun gaji pekerja dan sewaan perlu dilunaskan seperti biasa.

“Enggan memberhentikan staf dan menutup lapan salun, maka jalan terbaik saya menggunakan wang simpanan syarikat sebanyak RM90,000 untuk membayar itu dan ini. Saya yakin semua berlaku ada hikmah dan pada 10 Jun lalu kesuraman bisnes kembali bersinar. Kini kami beroperasi seperti biasa dalam situasi normal baharu.

“Menyedari virus ini (Covid-19) belum ditemui penawarnya, setiap petugas salun Hairkunts dilengkapi dengan peralatan perlindungan diri bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pihak. Kebersihan ruang premis juga dititikberatkan dari semasa ke semasa,“ ujarnya.

Perkongsian beliau ada kebenarannya kerana berlakunya insiden dua tukang gunting di sebuah salun gunting rambut di Springfield, Missouri, Amerika Syarikat dikesan positif Covid-19 baru-baru ini.

Iklan

Justeru, Bambang berkata, pihaknya akan mengambil langkah berwaspada agar tidak wujud kluster salun pula.

Mengenai Aidiladha, ujarnya, lazimnya, beliau akan membuat ibadah korban  bersama keluarga di Nilai, Negeri Sembilan.

     “Namun begitu, berikutan pandemik ini, kami raya di Kuala Lumpur sahaja secara sederhana,“ katanya yang menjadikan laksa penang sebagai juadah wajib raya.