SESUNGGUHNYA hidayah dan bukti kekuasaan Allah itu datang dalam pelbagai bentuk dan keadaan. Lain orang, lain ujian dan lain pengalaman. Namun semua itu memberi hikmah dan pengajaran.

Seorang pembaca SinarPlus telah berkongsi cerita mengenai pengalamannya bertemu dengan seorang rakan yang telah lama tidak bertemu.

Dia yang hanya mahu dikenali dengan nama #musafirtuaseries memberitahu bahawa kira-kira 4 bulan yang lalu, seorang rakannya iaitu, X telah difitnah.

Pengalaman dalam penjara: “Jaga solat, insyaAllah solat akan jaga kita”

“Dengan fitnah tersebut X telah ditangkap dan direman ke dalam lokap untuk siasatan lanjut. Walaupun terkejut namun X tetap reda dan pasrah.

“Namun pelbagai perkara yang bermain difikirannya. Perkara pertama yang difikirkannya tentang keadaan anak-anak dan isterinya. Selama ini hanya dialah tempat mereka bergantung dan tunggak utama dalam keluarga.

“Malam pertama dia tidak dapat tidur lena. Hatinya resah memikirkan keadaan mereka. Sesungguhnya waktu seperti sangat lambat berputar.

“Sedar tak sedar, 4 hari 3 malam X berada di lokap. Hari yang ke 4 dia dipanggil oleh Pegawai Penyiasat.

“Menurut pegawai tersebut, dakwaan terhadapnya telah digugurkan kerana tiada bukti kukuh. Oleh itu, X diperintah untuk dilepas dan dibebaskan (acquit and discharge).

“Mendengar berita tersebut air mata lelakinya mengalir kesyukuran. Sesungguhnya tiada nikmat yang paling berharga baginya ketika itu selain daripada nikmat kebebasan yang selama ini tidak diendahkannya dan dianggap sambil lewa.

“Hari itu X benar-benar menghargai nikmat kebebasan yang diperolehinya kembali. Di hadapan pegawai penyiasat itu X sujud penuh kesyukuran.

“Menceritakan semula detiknya ketika di dalam lokap, X bercerita hanya dia seorang sahaja yang berasal dari Semenanjung sementara, yang lain adalah tahanan yang berasal dari Sabah, Filipina dan Indonesia.

“Rata-rata mereka itu terdiri daripada bekas banduan dan pernah terlibat dengan kesalahan-kesalahan jenayah seperti penyalahgunaan syabu, judi haram, kes gaduh, pecah rumah, ragut, samun dan rompakan bersenjata. Hanya dia seorang sahaja ketika itu yang difitnah.

“Ajaibnya, sepanjang X berada di lokap, X dilayan dengan istimewa oleh tahanan-tahanan lain. X dipanggil dengan panggilan abang, makan dan minumnya diambil oleh tahanan lain tanpa perlu bersusah payah berebut.

“Tempat tidurnya disediakan di pelantar kayu sedangkan yang lain kesejukan di atas simen. Tidak cukup dengan itu X diberi baju banduan berwarna oren untuk dilipat dijadikan bantal atau selimut.

“Begitulah keadaannya setiap hari di dalam lokap. X seperti seorang ketua atau abang besar yang dihormati oleh semua tahanan,” katanya.

#musafirtuaseries berasa seronok dengan cerita X.

Iklan

“Jadi saya telah bertanya, apa yang X telah lakukan sehingga tahanan-tahanan lain begitu menghormatinya?

“Dengan air mata yang bergenang, X menjawab,, tiada apa yang dilakukan selain menjaga solat lima waktu.

“Walaupun dalam keadaan lokap yang begitu kotor dan daif, X sentiasa mendirikan solat apabila masuk waktu. Sehingga X menjadi iman di dalam lokap tersebut. Setiap kali X ingin menunaikan solat akan ada seorang tahanan yang menjerit memberitahu yang lain supaya diam.

“Selepas solat dan wirid, X akan membaca doa. Sengaja X kuatkan sedikit suaranya dan memohon dalam bahasa Melayu agar yang lain dapat mendengar dan memahami maksud doa tersebut.

“Suasana di lokap menjadi hening seketika sesekali diselangi suara tahanan-tahanan lain yang mengaminkan doanya. Sesungguhnya keadaan ketika itu sungguh tenang sekali dan amat menginsafkan. Sehingga ada antara tahanan yang mengalirkan air mata.

Iklan

“Selesai berdoa, tahanan-tahanan lain yang berada di sekitar walaupun tidak solat akan bersalam dan mencium tangan X. Tergambar di wajah mereka semua raut-raut penyesalan dan keinsafan. Malah ada antara mereka yang mula bertanya tentang soal-soal agama dan cara-cara untuk solat sunat taubat.

“Ternyata ada di antara mereka yang ingin berubah cuma mungkin tidak berpeluang berbuat sedemikian kerana pengaruh persekitaran.

“Menurut X, di dalam lokap tersebut darjatnya seperti diangkat dan dimuliakan. Segala urusannya dipermudahkan dan diberi keselamatan. Dan disitulah X mulai sedar dan nampak kekuasaan dan kebesaran Allah SWT,” jelasnya.

X sempat berpesan #musafirtuaseries sebelum mereka mengucapkan selamat tinggal;

“Jagalah solat, insyaAllah solat akan menjaga kita”. Ringkas namun penuh bermakna. Akan diingat sampai bila-bila.