PENGASAS produk Jamu Mak Dara, Halimah Shuib dilaporkan telah meninggal dunia ketika dalam tidur di usia 78 tahun Ahad lalu.

Berita duka tersebut telah disahkan oleh anak lelakinya yang juga Pengarah Urusan Jamu Mak Dara (JMD) Sdn Bhd, SM Gadaffi Syed Ali.

SM Gadaffi atau lebih mesra dengan sapaan Habib memberitahu, kali terakhir dia bertemu dengan ibunya ialah pada tiga hari lalu.

Ujarnya kepada media tempatan, arwah terdahulu seakan sudah memberi bayangan untuk ‘pergi’, namun mahu melihat dia terlebih dahulu hadir mengambil ijazahya di majlis konvokesyen yang berlangsung pada siang Ahad.

“Pagi Ahad saya ada hantar video majlis konvokesyen saya kepadanya. Dia panjatkan rasa syukur atas kejayaan itu dan sifatkan saya sebagai anak yang baik.

“Malah ketika berkongsikan mengenai majlis graduasi itu di media sosial, saya ada dedikasikan kejayaan tersebut kepadanya, tapi hari yang sama dia telah pulang ke rahmatullah.

“Kami memang rapat, sama-sama meneruskan empayar JMD. Apa pun, kami adik beradik reda atas pemergiaan dan terima kasih atas ucapan serta doa baik-baik yang dititipkan semua kepada ibu,” katanya

Jenazah Allahyarhamah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rengit, Batu Pahat, Johor sekitar jam 9 pagi semalam.

Baca juga Wanita maut kerana makan produk suplemen kurus, pakar kongsi kes-kes berbahaya melibatkan makanan tambahan

Dalam pada itu, satu perkongsian di Instagram mak_dara hari ini mengimbau memori arwah turut menyentuh hati warga maya.

“Lumrah kehidupan dunia… Ada gembira ada sedih, ada pahit ada manis, ada hidup dan mati.

“Walau apa pun yang terjadi hidup mesti diteruskan bagi menjamin keselesaan di alam abadi. Pemergian Ibu Halimah Shuib memberi impak besar kepada kami.

“Pengorbanan, tunjuk ajar dan sumbangan Ibu Halimah tak terbalas di dunia ini. Hanya doa dan ingatan dan bacaan al-Fatihah dikirimkan untuk Ibu di sana,” tulisnya.

Pengasas jamu meninggal dunia, anak kongsi kenangan ibu sentuh hati ramai
Kredit foto: Instagram mak_dara

Baca juga Pesakit darah tinggi memang tak boleh makan sembarangan. Berikut panduan menjamu selera ketika lebaran

Menjengah ruangan komen, warganet menitipkan doa buat Allahyarhamah;

“Allahu jiwa terkejut mendengar khabar berita pemergian ibu. Semoga roh ibu di tempat dikalangan orang-orang yang beriman. Husnul khotimah.”

“Allahumaghfirlaha warhamha waa’fihi wa’fu’anha. Salam takziah buat Abib, Kak Nor, Kak Pah dan seluruh ahli keluarga ibu.”

“Al Fatihah… semoga dilapangkan kuburnya, diangkat segala amalannya dan ditempatkan bersama para Anbia…”

Iklan

“Al-fatihah untuk ibu.. terkenang saat road show bersama ibu. Terkejut dengan berita ni. Ya ALLAH kau tempatkanlah ibu Halimah di dalam Syurga mu tanpa hisab. Amin Ya Rabb.”

Sementara itu, ini sedikit info berkaitan Ibu Halimah;

1. Lahir pada 01 Oktober 1945.

2. Mempunyai enam orang anak.

3. Bekas ratu cantik 12 kali dari daerah ke daerah pada 1956-1963.

Iklan

4. Pernah menghasilkan enam nafkah buku seperti Masakan Tradisional Johor, Cara Mudah Buat Kek, Cara Mudah Membuat Kek Fondant, Air Tangan Mak Dara, Petua Mak Dara dan Kisah Ibu Halimah.

5. Wanita yang kuat dan tabah. Kisah dan semangatnya pernah dipentaskan oleh Juhara Ayob dalam Nyonya Mak Dara.

6. Pernah jelajah seluruh Malaysia membantu CSR yang memerlukan dari tahun 2009-2014.

Al-Fatihah untuk Allahyarhamah dan takziah buat keluarga.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.