Pengusaha kafe tidak mahu ada yang tidur dalam kelaparan, bantu golongan yang memerlukan
“Tiada yang perlu tidur dalam kelaparan”. Itulah harapan seorang pengusaha sebuah kafe 'hipster' di Kuantan yang bertindak menyediakan barangan keperluan makanan sejak melihat ramai yang terkesan dengan pandemik wabak Covid-19.
Memetik laporan portal media tempatan, pengusaha kafe ‘hipster’ yang dikenali sebagai Ahmad Dainey Zainuddin berkata, beliau memperuntukkan sedikit ruang di hadapan kafe di Jalan Besar, Kuantan untuk meletakkan barangan tersebut supaya mudah diambil oleh mereka yang memerlukan.
Menurut Ahmad Dainey, inisiatif itu bermula sebaik sahaja Pahang kembali dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 22 Januari lalu dan beliau bersama rakan niaganya Md Syukri Maskur, tidak menyangka inisiatif itu menerima sambutan sangat baik.
“Kami bermula dengan modal permulaan sebanyak RM200 untuk membeli barangan keperluan asas dan barangan penjagaan diri, yang difikirkan agak membebankan kepada mereka yang tersekat punca pendapatan.“Sejak dimulakan, saya lihat barangan seperti beras, tepung, minyak masak, makanan kering, lampin pakai buang dan tuala wanita, antara yang barangan yang paling banyak diambil,” katanya.
Pemudah berusia 37 tahun itu juga menambah, inisiatif itu tercetus selepas memikirkan terdapat banyak premis perniagaan berhampiran disewakan kepada mereka yang bekerja gaji harian, dengan ada sebilangan mereka mengadu diberhentikan kerja dalam situasi sekarang.
Bapa kepada sepasang cahaya mata berusia 11 dan lapan tahun itu mengakui ada masanya, mereka 'berjumpa' penerima berulang, namun beliau mengingatkan kakitangan di kafe tersebut untuk tidak menyoal individu tersebut.
“Saya sering berpesan supaya memudahkan urusan mereka yang datang... jika mereka tidak terdesak, sudah tentu mereka tidak ke sini. Malah ada yang menunggang motosikal sejauh lebih 10 kilometer bersama anak kecil, dalam cuaca hujan.“Ada juga yang kelihatan malu-malu untuk masuk, namun kami cuba membuat keadaan seselesa yang mungkin. Tiada jumlah barangan yang ditetapkan, sebaliknya ambil sahaja sebanyak mana yang diperlukan, kerana kita tidak tahu apa yang dilalui mereka,” katanya.
Memandangkan konsep kafe yang dijalankan lebih dekat dengan golongan muda, Ahmad Dainey bersyukur kerana inisiatif itu menarik minat golongan terbabit untuk menderma, sama ada menerusi pemberian barangan atau wang ringgit, selepas melihat 'sudut sumbangan' tersebut.
Ahmad Dainey berkata mereka memastikan barangan makanan seperti roti dan biskut dibeli dalam jumlah yang kecil namun kerap, supaya makanan itu bertahan lama di rumah penerima.
Tahniah anak muda! Perbuatan kalian wajar dicontohi dan semoga usaha yang dibuat mampu mendatangkan manfaat pada mereka yang memerlukan. Syabas!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang