'Berhentilah percaya pendakap gigi palsu, doktor tak bertauliah'- Nadiatul Syahira

A
A
A

PEREKA fesyen, Nadiatul Syahira Badrul Kamal kaget tatkala namanya dinobatkan sebagai juara pada Pertunjukan Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2020 (KLFW 2020) Digital sekitar November lalu.

Beliau sama sekali tidak menyangka mengecapi rezeki manis tersebut kerana tidak meletakkan harapan penuh pada pertandingan fesyen yang rata-ratanya disertai barisan pereka muda berbakat besar.

Menurut wanita berusia 26 tahun itu, meskipun acara yang mengetengahkan tema Design to Sustain (Kelestarian) berlangsung dalam norma baharu secara digital, namun ia bukan alasan untuk beliau menghasilkan rekaan busana ala kadar.

nadiatulNADIATUL (duduk) teruja apabila fesyen jalanan berasaskan denim rekaannya dinobatkan juara pada KLFW 2020 Digital bulan November lalu.

“Berikutan pandemik Covid-19, pertunjukkan fesyen hanya disiarkan menerusi platform online. Situasi KLFW 2020 sememangnya berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini yang mana kumpulan model memperagakan busana kami di atas pentas peragaan sambil disaksikan para tetamu.

“Walaupun hanya mempamerkan karya secara maya, saya tetap komited menghasilkan dua pakaian stail streetwear (fesyen jalanan) berasaskan denim daripada Perusahaan Sosial, Suri LifeStyle seminggu sebelum KLFW berlangsung.

“Disebabkan menyiapkannya saat akhir, jadi saya tidak meletakkan harapan untuk menang. Fokus utama adalah mempamerkan dan berkongsi idea streetwear rekaan peribadi yang ideal digayakan di negara ini,“ katanya ketika ditemui SinarPlus pada sesi fotografi khas di Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam baru-baru ini.

Bicara lanjut, Nadiatul Syahira atau mesra disapa Nadiatul menyifatkan rekaan fesyen jalanan begitu dekat dengan hatinya. Lebih-lebih lagi konsep sedemikian sesuai digayakan dalam kehidupan harian.

Bagi golongan wanita misalnya, padanan seluar jean bersama baju-T polos dan jaket potongan longgar sudah memadai untuk mendapatkan fesyen jalanan. Asalkan, pemilihan item berkenaan bersesuaian dengan mood dan destinasi dikunjungi.

“Saya selesa dengan fesyen ini (streetwear) sejak zaman kanak-kanak kerana kombinasi seluar dan baju-T tidak membataskan pergerakan. Maklumlah, saya seorang yang aktif tambahan pula dikelilingi adik beradik lelaki (ketawa).

“Lagipun corak pemakaian seumpama ini juga dipengaruhi dengan karakter kartun Barbie dan Totally Spies yang mana fesyen jalanan dalam animasi terbabit cantik dan stailo,“ ujarnya yang merupakan graduan Ijazah Seni Reka Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

nadiatulPEREKA kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu menyifatkan pencinta fesyen jalanan dikenal pasti apabila memadankan sneaker bersama busana pilihan.

Menjadikan selebriti Yuna, Yaya Zahir dan Kendall Jenner sebagai ikon fesyen pilihan, anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu proaktif untuk memperkenalkan fesyen jalanan dalam kalangan generasi muda tempatan. Biarpun konsep sedemikian sudah diterima secara meluas di China, Korea dan Thailand, tetapi belum lagi di Malaysia.

“Usah bimbang kerana fesyen jalanan tidak menampakkan penampilan selekeh atau kusam, sebaliknya tampak sopan, manis dan ranggi jika bijak mempraktikkan konsep suai dan padan. Lagipun gaya jalanan tidak memerlukan kita berbelanja mewah, bahkan pakaian dijual di bundle pun juga sesuai dipakai.

“Bukan itu sahaja, kelompok hijabis moden pun antara paling ideal menyarungkan streetwear kerana kriteria wajibnya baju atau jaket potongan longgar yang tidak mengikut bentuk badan. Lihat sahaja bagaimana ahli kumpulan De Fam, Cik Manggis selesa dengan stail fesyen tersebut,“ ujarnya.

Kuasai bahasa Mandarin

Menelusuri sisi lain beliau, rupa-rupanya anak kedua daripada lima beradik itu fasih berbahasa Mandarin.

Tutur Nadiatul yang memiliki ketinggian 160 sentimeter, bahasa ketiga itu dikuasai sejak dihantar ke tadika aliran Cina ketika berusia enam tahun. Biarpun pada mulanya mengalami kesukaran untuk memahami dan berkomunikasi, namun bak peribahasa lama, alah bisa tegal biasa.

Lama-kelamaan beliau seronok kerana berpeluang mendalami bahasa tambahan. Kemudian, sesi pembelajaran diteruskan ke Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua, Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua di daerah yang sama hingga tingkatan tiga.

“Tidak dinafikan pelbagai persepsi diterima apabila famili menghantar saya belajar di sekolah jenis Cina. Persoalan yang sering didebatkan berkait rapat dengan status makanan halal dijual di kantin sekolah dan akidah akan terpesong.

“Saya tidak berkecil hati kerana masing-masing mempunyai hak menzahirkan pendapat. Pun begitu, sepanjang sembilan tahun belajar di sana, (sekolah aliran Cina) saya tidak pernah berdepan masalah seumpama itu.

“Pertama, pengusaha kantin tidak menjual makanan berasaskan daging khinzir dan pelajar Muslim juga diwajibkan menghadiri kelas Pendidikan Islam yang dibimbing oleh ustaz atau ustazah. Jadi tak timbul soal akidah terpesong kerana kami belajar ilmu fardu ain dan mengaji,“ katanya yang sehingga ke hari ini akan melakukan proses mengira, mendarab dan membahagi dalam bahasa Cina.

nadiatulGRADUAN UiTM ini menyatakan sekolah aliran Cina mendidik individu ke arah pemikiran kreatif, kritis dan inovatif.

Menariknya, selain lancar berbahasa Mandarin, Nadiatul juga mendedahkan bahawa beliau mahir dengan seni kaligrafi Cina selepas teruja melihat gurunya mempamerkan calitan di atas kertas menggunakan berus dan dakwat warna hitam.

Ditanya, apakah kelebihan lain yang diperoleh belajar di sekolah jenis Cina, wanita memiliki kulit hitam manis itu pantas memberikan reaksinya.

Ulas beliau: “Susah nak menyenaraikan satu persatu, tetapi secara kesimpulannya di sana saya dapat mengenali budaya dan warisan masyarakat Cina dengan lebih dekat.

“Ini termasuklah merapatkan jurang perbezaan dan menepis stigma negatif antara kaum. Bukan itu sahaja, para pelajar juga dididik ke arah pemikiran kreatif, kritis dan inovatif.

“Paling menyeronokkan, rakan-rakan Cina mempunyai semangat setia kawan yang tinggi, saling menyokong dan membantu terutamanya jika kita lemah dalam mata pelajaran. Pendek kata, biarlah sama-sama mendapat skor cemerlang.“

Usai menyempurnakan pelajaran di Tingkatan Tiga, Nadiatul mengambil keputusan untuk berpindah sekolah.

“Saya ingin menukar angin dan memperluaskan rangkaian kawan-kawan, maka Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Muhammad, Kuala Pilah, Negeri Sembilan menjadi pilihan,“ jelas Nadiatul yang cukup menitikberatkan perihal penjagaan kulit wajah dan penampilan diri.

Cerita pendakap gigi

Bercerita lanjut, gadis manis itu berkata, dalam apa jua kerjaya, setiap individu tidak seharusnya memandang enteng pada aspek penjagaan diri tambahan pula saban hari berjumpa dengan orang lain.

Justeru, sekiranya sahsiah diri tidak dirias rapi, bimbang impresi pertama akan mempengaruhi pendapat seseorang.

“Selain pemilihan pakaian bersesuaian dan mengoles solekan nipis, saya turut membaiki kekurangan diri dan salah satunya mengambil inisiatif memakai pendakap gigi.

“Biarpun perlu membelanjakan kos lebih RM6,000, tidak mengapa asalkan saya lebih berkeyakinan tinggi apabila berurusan dengan pelbagai pihak,“ jelasnya yang menjalani rawatan ortodontik di sebuah klinik pergigian diiktiraf.

nadiatulNADIATUL yang kini setahun memakai pendakap gigi menyarankan agar orang ramai tidak mudah terpengaruh pada doktor tidak bertauliah yang menawarkan fake braces.

Bicara lanjut, Nadiatul menyifatkan pemasangan pendakap gigi merupakan rawatan melibatkan kesihatan mulut, kunyahan, gusi dan saraf di dalam gigi. Namun begitu, lain pula situasi berlaku pada hari ini apabila segelintir individu menganggapnya aksesori itu adalah satu trend.

Golongan anak muda khususnya dilihat mudah terpengaruh membeli pendakap gigi yang dijual secara dalam talian atau media sosial pada harga murah.

Lebih membimbangkan, perkhidmatan tersebut ditawarkan oleh individu bukan berlatar belakang pengamal pergigian berdaftar.

“Soal kesihatan jangan ambil mudah, apatah lagi berkaitan tubuh badan. Hargai kurniaan-NYA. Nasihat saya, bagi mereka yang berhasrat untuk memperbetulkan susunan gigi, sila dapatkan konsultasi pergigian dengan doktor bertauliah.

“Usah semberono beli secara online kerana doktor palsu tidak melakukan pemeriksaan dan rawatan sebenar. Lagipun sebelum memasang pendakap gigi, doktor gigi terlebih akan mengenal pasti kaedah sesuai mengikut keperluan gigi kita.

“Pada masa sama, setiap bulan, mereka harus berjumpa doktor untuk pemeriksaan bulanan bagi memastikan pergerakan gigi berjalan. Jadi, bayangkan kemudaratan yang bakal dialami sekiranya kita mengenakan pendakap gigi palsu,“ tegas Nadiatul yang turut mengambil iktibar pengalaman sahabatnya.

pendakap gigiPEMASANGAN pendakap gigi merupakan rawatan melibatkan kesihatan mulut, kunyahan dan saraf di dalam gigi, bukannya aksesori sekadar mengikut trend. Gambar hiasan

Menurut pencinta warna monokrom tersebut, gara-gara terpedaya dengan harga dan desain pendakap gigi yang dijual melalui media sosial, rakan beliau sanggup mempertaruhkan kesihatan mulut selama tiga tahun.

Implikasinya, susunan gigi individu terbabit menjadi kurang teratur. Pendakap gigi murahan itu juga telah mencederakan bahagian dalaman mulutnya.

“Kesudahannya, beliau terpaksa kumpul wang kembali dan segera merujuk doktor gigi yang sahih untuk memasang pendakap gigi baharu. Ini bermakna rakan saya bukan sahaja perlu berbelanja lebih, malah terpaksa memakai pendakap gigi baharu selama tiga tahun lagi.

“Oleh itu, jangan sesekali terpedaya sekiranya ternampak tawaran yang berbunyi, affordable braces atau braces murah Kuala Lumpur di platform online. Ingat murah itu tidak menjamin kualiti dan keberkesanannya,“ katanya.

PROFIL

nadiatul

Nama: Nadiatul Syahira Badrul Kamal

Umur: 26 tahun

Tempat lahir: Kuala Pilah, Negeri Sembilan

Adik-beradik: Anak kedua daripada lima beradik

Pendidikan:

- Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua, Kuala Pilah, Negeri Sembilan

- Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua, Kuala Pilah

- Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Muhammad, Kuala Pilah

- Diploma Seni Reka Fesyen, UiTM Seri Iskandar, Perak

- Ijazah Seni Reka Fesyen, UiTM Shah Alam, Selangor

Tinggi: 160 sentimeter

Warna kegemaran: Hitam dan putih

Karier: Pereka fesyen, penata gaya hijab dan influencer

Pencapaian:

- Juara Design to Sustain, KLFW Digital 2020

- Juara Fashion Next Streetwear Design 2019, Karnival Usahawan Desa

Instagram: @nadsyhra (37,000 jumlah pengikut)

Foto: Asril Aswandi, @nadsyhra dan Canva

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca