Perkenal menu Rahmah untuk rakyat, tweet terakhir Allahyarham Salahuddin Ayub pada Jumaat curi perhatian

A
A
A

Perkenal menu Rahmah untuk rakyat, tweet terakhir Allahyarham Salahuddin Ayub pada Jumaat curi perhatian

PEMERGIAN Datuk Seri Salahuddin Ayub malam tadi mengejutkan semua.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, Kedah pada 9.23 malam tadi setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak pada usia 61 tahun.

Allahyarham sebelum ini dikejarkan ke wad kecemasan HSB sekitar jam 10.15 malam Sabtu setelah mengalami mual dan muntah-muntah. Beliau disahkan mengalami pendarahan otak sebelum menjalani pembedahan pada Sabtu.

Salahuddin meninggalkan seorang balu, Datin Seri Fatimah Taha, dan enam anak.

Dalam pada itu, ciapan terakhir beliau pada Jumaat menarik perhatian ramai. Allahyarham adalah insan yang memperkenalkan Menu Rahmah buat rakyat sudah pasti sentiasa terpahat dalam ingatan rakyat Malaysia.

Perkongsian empat keping gambar yang menyaksikan Allahyarham tersenyum menyantuni warga Kedah di Pekan Nat, Alor Setar mendapat capaian melebihi satu juta pengguna.

Allahyarham gembira melaksanakan tugasnya sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninjau harga barangan di pasar pagi itu, dengan mengenakan kemeja lengan panjang.

Allahyarham tidak lokek dengan senyuman menyantuni peniaga dan pengunjung.

"Singgah pi market sat tadi borak-borak dengan warga Kedah di Pekan Nat. Elok tengok semua barang basah semua fresh. Harga pun berpatutan," tulisnya menerusi ciapan terakhir.

Ironinya, tatapan kesederhanaan menerusi empat keping foto itu turut menjadi catatan peribadi terakhir yang ditinggalkan Allahyarham buat semua seperti mana ayat terakhir ciapannya, "Kita jumpa lagi nanti."

Baca juga Menu mudah, bajet rahmah

 

Ramai yang meninggalkan komen terima kasih atas khidmatnya untuk rakyat. Antaranya;

"Terima kasih atas jasa-jasa Datuk Seri. Saya sebak sangat, terima kasih banyak sebab memperkenal inisiatif Rahmah dan kawalan harga untuk kami rakyat Malaysia."

"Terima Kasih YBM DS atas segala keringat dan jasa sepanjang berkhidmat untuk rakyat Malaysia. Jasamu ini akan diingati sepanjang zaman. Moga ia menjadi bekalan yang berkekalan buatmu di alam sana."

"Saya sangat sedih dan terkilan rasa, tak pernah sesedih ini sebab saya tak mengenali beliau secara dekat atau jauh tapi sebab menu Rahmahla, kalau saya teringin makan KFC, saya pegi beli menu Rahmah kat KFC."

"Terima kasih atas jasa dan bakti kepada rakyat Malaysia. Berehatlah dengan tenang, tugasmu di dunia sudah selesai."

"Sampai jumpa nanti di akhirat dan kami semua menjadi saksi Datuk Seri bekerja keras untuk kurangi kos hidup rakyat sehingga ke akhir hayat."

Sementara itu, berikut info mengenai Salahuddin;

1. Dilahirkan pada 1 Dis 1961, Salahuddin mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Inggeris Serkat di Pontian, Johor dari 1967 hingga 1973 sebelum ke Sekolah Menengah Inggeris Teluk Kerang, Pontian (1974-1976).

2. Anak kelahiran Tanjung Piai itu kemudian menyambung pendidikan di Sekolah Menengah Sri Perhentian, juga di Pontian, sehingga tamat tingkatan lima sebelum melanjutkan pengajian dalam tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Penggawa Barat.

3. Selepas menamatkan alam persekolahan, Salahuddin mengikuti program Diploma Pentadbiran Perniagaan di Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) (1982-1983) dan Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Manusia di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 1984.

4. Menyingkap perjalanan politik Allahyarham, beliau bukanlah nama asing dalam arena politik negara dan berjaya menempa nama sehingga dilantik sebagai Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) pada 2015.

Baca juga Bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 dijangka April 2023, berikut 6 info wanita perlu tahu

5. Salahuddin juga pernah menyandang jawatan sebagai Setiausaha Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) cawangan Pontian dari 1981 hingga 1983 sebelum bergiat aktif dalam kancah politik setelah menyertai Pas pada 1983.

6. Beliau memegang pelbagai jawatan penting dalam parti itu bermula dengan Naib Yang Dipertua PAS Pontian (1983-1987) hingga yang tertinggi iaitu Naib Presiden Pas Pusat (2009-2015).

7. Pada 2004, Pas memilih Salahuddin untuk bertanding di Parlimen Kubang Kerian, Kelantan dan beliau menjadi wakil rakyat di kawasan itu selama dua penggal.

8. Bagaimanapun, Salahuddin bertindak keluar parti dan menyertai Amanah pada 31 Ogos 2015 selepas berlaku konflik dalaman antara ahli Pas ketika itu.

9. Tiga tahun kemudian, Timbalan Presiden Amanah itu menang bertanding di kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 atas tiket Pakatan Harapan (PH) serta dilantik menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum kerajaan PH tumbang pada Februari 2020.

10. Pengerusi PH Johor itu mengulangi kejayaan dalam Pilihan Raya Negeri pada Mac 2022 dan Pilihan Raya Umum ke-15 sebelum dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

11. Ketika memegang jawatan itu, Salahuddin melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah jenama Payung Rahmah bagi membantu rakyat menghadapi pelbagai cabaran berhubung kenaikan kos sara hidup terutama ketika negara dan ekonomi sedang pulih daripada kesan pandemik Covid-19.

12. Salahuddin juga dilihat sentiasa turun padang bagi memastikan bekalan barangan mencukupi dan usaha beliau itu sedikit sebanyak berjaya menurun serta menstabilkan harga barangan asas selain mengurangkan kesan inflasi terhadap pengguna di dalam negara.

Al-Fatihah, salam takziah buat keluarga.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca