Pertandingan peti surat kreatif bukan sekadar hobi, mampu jana pendapatan sampingan
KREATIF! Sejak tahun 2013 kira-kira 200 penduduk Kampung Belahan Tampok, Rengit, Batu Pahat, Johor mengambil bahagian dalam acara unik, pertandingan peti surat kreatif.
Menurut sumber, bagi pelopor pertandingan berkenaan, Mohd Azrai Ahmad, tujuan utama ia diadakan adalah untuk memberi peluang kepada penduduk kampung mengetengahkan hasil kreativiti dan bakat terpendam mereka.
“Kebiasaannya pertandingan ini bermula pada September dan peserta diberikan masa hingga pertengahan Disember untuk menyiapkan projek kreaktif ini, sebelum pemenang diumumkan pada penghujung tahun,” katanya.
Beliau berkata, pertandingan yang dilaksanakan dengan kerjasama Pergerakan Pemuda Umno Cawangan Belahan Tampok dan Umno Bahagian Batu Pahat itu kebiasaannya akan dapat menarik kira-kira 200 penyertaan.
Bagaimanapun menurutnya hanya 30 peti surat terbaik akan dipilih untuk ke peringkat seterusnya sebelum diadili oleh sekumpulan posmen serta rakan laman sosial Facebook, Kumpulan Penduduk Kampung Belahan Tampok.
“Saya sendiri tidak menyangka yang penduduk di kampung ini mampu menghasilkan sesuatu yang kreatif daripada bahan terpakai seperti tayar, batang paip, kipas, ketuhan dan mesin basuh untuk dijadikan peti surat. Reka bentuknya juga pelbagai antaranya keris, kuda kepang, tunggul kayu, CPU komputer, kereta kebal, helikopter, motosikal dan banyak lagi.
“Saya merasa amat bangga kerana pertandingan ini pernah mendapat pengiktirafan daripada Pos Malaysia, sedangkan asalnya ia hanya hobi dan aktiviti penduduk setempat sahaja,” katanya dan menambah sambutan pertandingan boleh dikatakan cukup baik, dengan hadiah yang ditawarkan hanya piala, sijil dan tunai RM200 bagi tempat pertama, RM150 tempat kedua, dan RM100 tempat ketiga.
Seorang lagi peserta, Idris Mohammad, 53, berkata pada mulanya beliau menghasilkan peti surat kreatif ini dengan tujuan memanfaatkan bahan terpakai, namun kini ia sudah menjadi pendapatan sampingan baginya apabila beliau mula menerima tempahan daripada pihak luar.
“Sekurang-kurangnya ia juga mampu menarik minat masyarakat termasuk golongan muda untuk mengisi masa terluang mereka dengan aktiviti yang berfaedah,” katanya dan menambah untuk tahun ini, beliau menghasilkan tiga peti surat yang berbentuk seperti helikopter, kereta kebal dan oven.
Beliau berkata setiap satu peti surat berkenaan mengambil masa dua minggu untuk disiapkan dengan anggaran kos antara RM100 dan RM150.
BERNAMA
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang