SEBAIK sahaja mendapatkan panggilan telefon daripada pihak Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 3 Mac lalu yang mengesahkan beliau positif Covid-19, perasaan Reza Huzairi Zainudin bercampur-baur. Fikirannya kosong seketika, lidahnya kelu.

Naib Presiden Kanan Modal Insan Kumpulan UDA Holdings Berhad itu, sama sekali tidak menyangka akan dijangkiti wabak bahaya yang bermula dari Wuhan, China itu.

Menurut Reza Huzairi, beliau antara kelompok pesakit dalam gelombang kedua sehingga terpaksa ‘bermalam’ di hospital selama 11 hari. Pun begitu, detik 14 Mac lalu telah membuka sinar dan semangat baharu buat beliau apabila disahkan bebas daripada virus terbabit.

“Selepas 11 hari berada di hospital, akhirnya saya dibenarkan pulang ke rumah susulan dua kali ujian dijalankan hasilnya negatif. Syukur kepada ALLAH.

“Pengalaman ditempatkan di dalam wad isolasi tentunya akan dikenang seumur hidup. Tidak pernah, membayangkan saya akan berdepan situasi seumpama itu,” luah bekas pesakit Covid-19 ke-46 ketika dihubungi Sinar Plus hari ini. Sehingga kini, beliau tidak dapat memastikan punca dijangkiti wabak itu.

Bicara bapa kepada tiga cahaya mata itu dikunci 24 jam selama 11 hari atas faktor keselamatan di dalam bilik secara tidak langsung membuatkan jiwanya tertekan. Ya, perasaan itu bukan main-main. Beliau runsing memikirkan sama ada akan keluar hospital dalam keadaan hidup ataupun tidak bernyawa.

“Dalam keresahan memikirkan diri sendiri, saya juga resah memikirkan keadaan isteri dan anak-anak di rumah termasuk staf.

“Betapa bimbangnya jika virus yang saya alami akan menjangkiti orang lain pula . Pada ketika itu, saya benar-benar bergantung ALLAH SWT. Saya bersangka baik dan yakin bahawa perkara yang berlaku ada hikmah.

“Justeru, sepanjang berada di wad saya menyempurnakan kerja pejabat seperti biasa menggunakan tablet kerana enggan melayani perasaan risau. Fokus saya adalah untuk menguatkan diri, memulihkan semangat dan segera pulih,” katanya yang mengalami simptom batuk sederhana, berpeluh-peluh dan sensitif pada bau seperti minyak wangi, deodoran dan asap kenderaan.

reza plasma covid
BIARPUN berada di dalam wad selama 11 hari Reza tetap bekerja seperti biasa bagi mengurangkan tekanan dan berusaha memulihkan semangat. Foto ihsan Facebook: Reza Huzairi Zayn

Tambah anak kelahiran Jitra, Kedah itu sepanjang di wad kadangkala badannya terasa letih khususnya menjelang senja. Mungkin kerana antibodinya sedang bekerja untuk melawan virus berkenaan. Justeru, jalan terbaik beliau berehat sehingga kesihatan beransur pulih.

Rupa-rupanya, disebalik kepahitan yang berlaku ALLAH hadirkan kemanisan tanpa disangka.

“Selepas mendapatkan rawatan susulan pada 31 Mac lalu, doktor bertugas memaklumkan bahawa saya terpilih sebagai penderma plasma darah (Convalescent Plasma) pertama di negara ini. Plasma ini akan diuji. Jika berjaya ia akan digunakan sebagai serum untuk merawat virus Covid-19.

Iklan

“ALLAH telah gantikan kesedihan pada tahun 2020 dengan berita gembira apabila saya diberi peluang untuk membantu pesakit-pesakit Covid-19. Namun, sedikit ralat kerana 500ml jumlah plasma yang saya keluarkan tempoh hari (2 April lalu) mampu merawat beberapa orang pesakit sahaja. Tidak mengapa.

“Insya-ALLAH, dalam tempoh dua minggu akan datang saya akan hadir menderma lagi. Berkemungkinan, selepas ini ramai lagi bekas pesakit Covid-19 akan dipanggil untuk membantu,” jelasnya yang menjalani proses derma plasma di Pusat Darah Negara, Kuala Lumpur.

Ditanya kriteria yang menyebabkan beliau terpilih? Reza Huzairi menjelaskan, berdasarkan keterangan doktor daya ketahanan badan yang dimilikinya dilihat kuat melawan virus tersebut.

Iklan

Pada masa sama, beliau tidak mengalami sebarang penyakit kronik dan tidak mengambil ubat untuk jangka panjang yang mana ciri-ciri itu ideal sebagai penderma pertama.

“Saranan saya kepada masyarakat di luar sana, jaga kesihatan dan duduk di rumah demi memutuskan rantaian virus ini dengan segera.

“Doakan, semoga kajian ini juga berjaya dan diharapkan dapat menolong lebih ramai pesakit Covid-19 yang masih berada di hospital khususnya pada tahap kritikal,” katanya sebelum menamatkan bicara.