PRIHATIN kepada mangsa banjir, Gardenia Bakeries KL Sdn Bhd (Gardenia KL), memperuntukkan sejumlah RM500,000 untuk program bantuan banjir kebangsaan 2022 kendaliannya.

Sumbangan berbentuk produk Gardenia, akan diagihkan kepada penduduk di kawasan yang terjejas, dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada musim tengkujuh yang diramal pada hujung tahun ini.

“Gardenia KL bersyukur dan menghargai kepercayaan dan sokongan yang diberikan oleh pengguna selama ini. Sejajar dengan falsafah #GardeniaCares, kami sentiasa bersedia dan komited untuk berbakti kepada masyarakat,” ujar Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam Gardenia KL, Hazlinah Harun.

Baca juga: Banjir dan keruntuhan cerun: Apakah tindakan pihak berkuasa?

Bagi program bantuan kemasyarakatan syarikat, Gardenia KL telah berganding bahu dengan beberapa NGO dan Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM). Dalam pada itu, Gardenia KL juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan NGO yang terlibat dalam bantuan bencana dan hal ehwal kebajikan masyarakat, untuk memastikan kejayaan program bantuan banjir tersebut.

Organisasi yang bekerjasama dengan Gardenia KL akan membantu mengagihkan produk Gardenia di pusat-pusat bantuan dan penempatan banjir yang akan dikenal pasti mengikut keperluan sepanjang musim monsun hujung tahun. Sementara itu, penghantaran produk-produk Gardenia ke pusat-pusat bantuan di seluruh negara akan dikendalikan sendiri oleh pasukan pengedarannya.

“Pasukan kami mempunyai pengalaman yang luas dalam menguruskan rangkaian pengedaran, mereka sangat mahir tentang selok-belok laluan yang paling pendek dan pantas bagi membolehkan bantuan banjir diagihkan dengan cepat dan tepat pada masanya ke pusat-pusat bantuan banjir di seluruh negara.

“Kami berharap agar bekalan makanan ini akan memberi sedikit kelegaan dan serba sedikit dapat membantu meringankan kesusahan yang ditanggung oleh mangsa banjir,” tambah Hazlinah.

Baca juga: Musim tengkujuh, banjir diramal 7 November, 8 info wanita perlu tahu, buat persediaan awal

Gardenia KL sebelum ini pernah bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan dan NGO yang berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Shah Alam; Jabatan Perdana Menteri; Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI); Kuil Sri Maha Mariamman; Persatuan Pengguna Harapan Malaysia; Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA); dan Persatuan Bulan Sabit Merah Sri Muda Shah Alam.

Berbekalkan pengalaman yang ditimba semasa bekerjasama dengan organisasi-organisasi ini, Gardenia KL bersungguh-sungguh memastikan bantuan sampai kepada golongan yang memerlukan dalam masa paling singkat dan cepat.

Sebelum ini, Gardenia KL juga telah menghulurkan bantuan makanan kepada golongan yang terkesan akibat bencana alam di bawah gerakan #GardeniaCares.

Iklan

Semasa bencana banjir menimpa pada bulan Disember 2021 hingga Januari 2022, Gardenia KL menyumbang sebanyak 161,900 unit produk bernilai RM261,838 kepada mangsa banjir.

Baca juga: [VIDEO] Idea’ genius’ elak air banjir masuk rumah tular, guna kaca gentian hadang pintu

“Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk menasihati semua orang yang tinggal di kawasan yang terdedah kepada banjir dan di kawasan tanah rendah untuk mengambil langkah berjaga-jaga tambahan dan berwaspada untuk tempoh beberapa bulan akan datang. Demi keselamatan diri sendiri, keluarga dan jiran, buat persiapan awal untuk berpindah ke pusat pemindahan dengan pantas.

Iklan

“Pastikan anda telah bersiap-sedia untuk membawa semua dokumen penting, barang berharga dan ubat-ubatan yang diperlukan. Paling utama, anda mesti menjaga keselamatan diri anda. Kami berharap semua orang yang terlibat akan mematuhi arahan agensi-agensi yang berkenaan dan menjaga keselamatan,” ujar Hazlinah.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan kebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia akan menerima hujan sehingga 900mm pada bulan November, yang mungkin mengakibatkan banjir kilat di seluruh negara.

Baca juga: Tular kereta baru guna 3 bulan ‘total lost’ dihanyut banjir, wanita terharu terima ‘pengganti’