Qari cilik Ahmad Azfar Johan Musabaqah Mazamir Dawud di Algeria, berani sahut cabaran pada usia muda

A
A
A

QARI cilik, Ahmad Azfar Azraie, 10, yang mewakili Malaysia dalam Musabaqah Tilawah Al-Quran Mazamir Dawud Peringkat Antarabangsa 2022 di Algeria berjaya mengharumkan nama negara selepas muncul johan bagi kategori bawah 15 tahun.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi laman sosial Facebook menzahirkan ucapan tahniah buat Ahmad Azfar selepas mengungguli  pertandingan anjuran Echorouk itu.

Sekembalinya ke ke tanah air baru-baru ini, Ahmad Azfar disambut Ketua Bahagian Pengurusan Dakwah, Jabatan Agama Islam Melaka, Ustazah Noorhafizah  Ibrahim dan keluarga bagi meraikan kejayaannya.

Ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi. Ahmad Azfar yang sering kali muncul di laman sosial bertilawah bersama keluarga adalah cahaya mata pasangan qari dan qariah, Ustaz Azraie Abdul Hak dan Ustazah Sarrul Munirah Haris.

Baca juga: Sofizah ungguli pertandingan tilawah antarabangsa, 15 fakta mengenainya

Ustaz Azraie adalah juara dalam kategori Tilawah pada Musabaqah Tahfiz, Tilawah dan Qiraat Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-9 di Kuwait pada tahun 2018, Naib Johan Qari Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2018/1439H dan pemenang tempat ketiga Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1443H/2022M.

Manakala Ustazah Sarrul Munirah pemenang tempat kedua Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1443H/2022M.

Pada tahun 2021, pasangan suami isteri itu dinobatkan sebagai juara Tilawah Al- Quran Peringkat Negeri Melaka.

Ustazah Sarrul Munirah ketika dihubungi SinarPlus meluahkan syukur atas kejayaan Ahmad Azfar.

“Saya sangat bersyukur dan kagum dengan keupayaan Ahmad Azfar pada usianya yang masih kecil. Semangat yang ditunjukkan dalam apa jua keterlibatannya dengan Al-Quran, Ahmad Azfar rela tanpa di paksa.

“Itu adalah satu anugerah yang tidak ternilai buat kami sebagai ibu bapanya. Ahmad tabah dan cekal menyahut cabaran melepasi setiap syarat-syarat pertandingan. Dengan cuaca yang sangat sejuk di negara orang dan budaya makan berbeza, semoga ALLAH memberkati usahanya dan kami,” katanya.

Sebelum mengharumkan nama Malaysia di Algeria, qari cilik ini pernah mengungguli peringkat kebangsaan antarabangsa sebagai Johan Majlis Tilawah Al-Quran Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia Peringkat Kebangsaan 2021 dan 2022, Johan Ihtifal KAFA JAKIM 2021 dan 2022, Johan Program Realiti Tijan Nour Peringkat Antarabangsa di Qatar bawah 13 tahun 2022.

Dalam membuat persediaan, Ahmad Azfar akan mengikuti kebiasaan keluarga membaca Al-Quran selepas solat fardu Maghrib sehingga ke waktu Isyak.

Membaca secara murattal setiap hari, Ahmad Azfar dilatih bagi memantapkan tarannum.

“Untuk ke Musabaqah Mazamir Dawud, Ahmad Azfar berlatih membaca Al-Quran secara tarannum bersama ayahnya.

“Latihan dilakukan sekurang-kurangnya dua kali sehari mengikut kepada kesihatan suaranya ketika itu,” ujar Ustazah Sarrul Munirah.

Baca juga: Mufti Besar India dan qari terkenal dunia, Misyari Rasyid doakan kesembuhan Dr Zulkifli

Bakat dan minat anak mendalami Al-Quran adalah anugerah yang tidak ternilai bagi ibu bapa. Pun begitu, Ustazah Sarrul Munirah mewajibkan anak-anaknya khatam Al-Quran terlebih dahulu sebelum bertaranum.

“Bonus bagi Ahmad Azfar sebelum habis khatam dia sudah boleh mengikut dan meniru bacaan tarannum dari abang-abang dan kakak-kakaknya,” kata ibu kepada tujuh cahaya mata itu.

Pada Julai lalu, Ahmad Azfar dan kakak, ‘Arifah, 13, mencipta kejayaan dalam Ihtifal KAFA Kebangsaan (IKK) 2022 apabila masing-masing diumumkan sebagai Johan Tilawah Al-Quran serta tempat ketiga dalam pertandingan yang sama.

Baca juga: Acara pembukaan Piala Dunia 2022, ayat 13 Surah Al-Hujurat dialunkan, 10 info mesti tahu

Tidak hanya itu, kesemua adik-beradiknya pernah melibatkan dalam pertandingan tilawah. Athirah, 18, Ahmad Asyraf, 17, Ahmad Abrar, 15 turut mendalami Al-Quran dan handal bertaranum.

Menurut si ibu, antara amalan yang dilakukan bagi menjaga kesihatan dan kualiti suara ialah tidur yang cukup dan mengawal pengambilan makanan ringan.

Sejuk hati melihat cahaya mata keluarga ini, SinarPlus bertanya rahsia didikan yang diberikan.

“Kami amalkan doa pelembut dan penerang hati seperti ibu bapa yang lain, jadikan membaca Al-Quran itu budaya.

“Al-Quran akan selalu dibaca bersama. Bukan hanya mengajar, saya dan suami selalu buat halaqah atau tadarus serta rutin harian membaca Al-Quran selepas Maghrib,” katanya.

Sekeluarga qari dan qariah, Ustazah Sarrul Munirah dan Ustaz Azraei mengamalkan doa daripada Al-Quran untuk cahaya mata mereka kerana ia paling afdal. Antara yang dilazimi ialah Surah Yassin, Toha, Al-Qadr dan Al-Fatihah.

Sebagai ibu, beliau berharap cahaya matanya mendalami kitab suci Al-Quran.

“Besar harapan kami agar anak-anak ini menjadi soleh, taat kepada ibu bapa. Menjadi ahli dalam bidang Al-Quran agar dapat menyebar manfaat buat ummah,” katanya.

Tahniah dan syabas buat adik Ahmad Azfar kerana mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Semoga usaha dan didikan Ustaz Azraie dan Ustazah Sarrul Munirah menjadi inspirasi ibu bapa lain dalam mencungkil bakat anak-anak dalam pertandingan tilawah dan tarannum.

Baca juga: Media sosial medan dakwah Farhatul Fairuzah

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca