BAGI tukang acuan tembaga, Mohd Yusof Abas, 78, Ramadan adalah bulan pembuka rezeki kerana pada bulan ini jualan boleh meningkat sehingga dua kali ganda.

Bengkel kecil berukuran kira-kira 15 meter persegi yang terletak di Kampung Pinang, Kamunting, Perak itu akan menjadi sibuk sehinggakan bapa kepada 10 orang anak ini tidak menang tangan melayan pelanggan untuk menyiapkan pelbagai tempahan.

Mohd Yusof sudah lebih 50 tahun berkecimpung dalam dunia kraf. Beliau adalah penerima Anugerah Tukang Ulung Hari Kraf Kebangsaan 2015.

Biarpun semakin berusia, beliau yang mesra disapa Tok Wan masih sihat, malah lebih bersemangat sebaik sahaja tangannya yang jelas menampakkan urat berselirat, memegang gunting, playar serta kepingan tembaga iaitu tiga peralatan penting dalam pembuatan kraf berkenaan.

Boleh dikatakan hampir setiap hari sepanjang Ramadan tahun-tahun sebelumnya, beliau banyak menerima tempahan dan jualan boleh mencecah antara 500 sehingga 600 unit, berbanding hari biasa yang tidak sampai 100 unit.

Pelbagai jenis acuan dihasilkan termasuk acuan tradisional dan juga untuk biskut raya moden seperti mazola, kek, puding mahupun ising yang digunakan untuk perhiasan.

Terdapat lebih kurang 100 jenis acuan, antaranya bermotifkan tumbuh-tumbuhan, segi empat dan heksagon dihasilkan di bawah perusahaan keluarga, Syarikat Mohd Yusof.

Iklan

Acuan paling popular setiap Ramadan adalah untuk biskut samperit dan pemotong agar-agar. Kesemuanya dihasilkan secara tradisional, tanpa menggunakan mesin.

“Orang sanggup datang ke mari dan beli acuan tembaga berbanding plastik kerana ia tahan lebih lama, menyerap haba pembakaran dan paling penting tidak melekat pada acuan.

Iklan

“Ini menjadikan bentuk biskut yang dihasilkan dengan acuan tembaga lebih cantik, senang dibentuk berbanding plastik yang mana bentuknya agak lari sikit dan melambatkan penghasilan kerana adunan kuih melekat pada acuan,” katanya.

BERNAMA