TIADA apa yang ‘enak’ untuk ditulis pada minggu ini kalau tidak mengenai terputusnya bekalan air. Ia bukan membabitkan ribuan pengguna, tetapi lebih sejuta akaun di 1,292 kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor.

Bukan sahaja emosi Senorita membara bagai bara gunung berapi, malah seluruh penduduk sekitar Kl dan Selangor juga sama. Tiada seorang pun yang katakan mereka happy bila tiada bekalan air.

Masakan tidak, ketiadaan air betul-betul pada saat angka Covid-19 mencanak naik. Ia memang membangkitkan kemarahan. Kalau tak marah, memang tak patut sebab stres bertambah-tambah.

Mengapa Senorita agak lantang sedikit kali ini, jawapannya cukup mudah. Pada ketika kerajaan meminta rakyat supaya duduk di dalam rumah untuk mengelakkan jangkitan virus, kami terpaksa keluar mencari air!

Sekali lagi, keluar mencari air. Mencari air untuk mandi, basuh pakaian, untuk memasak, minum dan segala apa perkara yang memerlukan air. Kami secara tidak langsung atau erti kata lebih mudah, telah secara sengaja mendedahkan diri dengan virus.

Seingat Senoritalah, hampir dua dekad tinggal di kawasan Lembah Klang atau lebih tepat kira-kira hampir sedekad di Selangor, masalah tiada bekalan asas itu memang kerap terjadi.

Apabila ia kerap berlaku, ia ibarat alah bisa, tegal biasa. Namun, apabila situasi sukar itu ‘meletus’ pada era Covid-19, ia sudah menjadi ‘luar biasa’.

 Ramai panas hati, marah bila bekalan air terputus di tengah pandemik Covid-19
BEKALAN air terputus ketika wabak pandemik sedang melonjak naik betul-betul menguji kesabaran banyak pihak.

Seperti kata seorang pakcik yang juga seorang mangsa, dia terpaksa beratur di pili awam untuk mengangkut air untuk enam orang isi rumah.

Dia yang berusia pada pertengahan 70-an berkata, anaknya bekerja dan tidak dapat membantunya menguruskan masalah air.

Jadi, dia telah ‘korbankan’ dirinya beratur panjang untuk mengisi berbotol-botol air. Katanya, dia tidak mahu menjejaskan kesihatan cucu-cucunya yang masih kecil, menantunya yang sedang hamil dan isterinya yang tidak sihat.

“Saya tak nampak virus Covid-19, awak semua pun tak nampak, tapi nak buat macam mana, air dah takda, kena keluar cari air. Kalau berterusan macam ni, rasanya dunia ni macam nak kiamat. Memang saya tertekan dan penat. Biar tiada elektrik tapi jangan tiada air,” katanya spontan dan kemudian berlalu pergi pada petang Isnin lalu.

Kami yang mendengar ceritanya, terpinga-pinga dan diam seribu bahasa. Getus hati Senorita, ada kebenaran di sebalik kata-katanya. Agaknya kalau dengar derita mereka yang duduk di ceruk pedalaman untuk dapatkan air, lagi tragis agaknya.

Bantu rakyat

Apabila air tiada, Senorita lihat, orang ramai menjadi kreatif. Mandi dan mengangkut air (dalam kapasiti kecil) di kawasan R&R itu memang sudah biasa Senorita dengar.

Beratur di pili awam atau menunggu lori tangki air berjadual atau bantuan daripada ADUN kawasan pun sama. Ini termasuk mandi dengan berbotol-botol air mineral (jalan terakhir yang biasa dilakukan).

Bercakap mengenai air mineral, rakan Senorita yang tinggal di Kuala Lumpur bercerita, bapanya terpaksa membeli (air mineral) di Kuantan, Pahang selepas bekalan di pusat beli-belah ‘ketandusan’. (Cerita yang dikongsi ini sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat diumumkan).

 Ramai panas hati, marah bila bekalan air terputus di tengah pandemik Covid-19
KUARANTIN kendiri tidak dapat dilakukan bagi sesetengah penduduk baru-baru ini apabila terpaksa keluar menadah air bersih dari pili awam atau lori tangki air. Hal ini boleh mendedahkan mereka kepada virus korona.

Bayangkan, penangan tiada air, bukan isu kecil ya. Ia melibatkan bukan sahaja emosi dan perasaan, malah kos, fizikal, kudrat, mental dan hubungan.

Iklan

Beli air mineral secara online? Tak masuk akalkan kalau kita sebut pendekatan ini tahun lalu, namun pada era koronavirus, semua yang mustahil telah menjadi realiti.

Di Shopee mahupun Lazada atau platform e-dagang lain memang sudah banyak penjual. Tujuan beli online bukan mahu bermegah, tetapi mengurangkan kontak pada waktu-waktu ‘mengerikan’ ini.

Selain itu, ada juga kawan Senorita yang terpaksa tebalkan muka mandi dan bersihkan diri di tandas hospital. Memang bunyinya keterlaluan, tetapi bila terdesak, fikiran manusia akan di luar kotak.

Sebenarnya, di mana silapnya semua ini? Mengapa Lembah Klang atau lebih spesifik Selangor dan Kuala Lumpur yang merupakan ibu negara Malaysia kerap terputus bekalan air, tidak kepada negeri-negeri lain?

Loji tak cukup atau undang-undang tidak cukup power untuk menggentarkan segelintir pemilik kilang dan perindustrian yang kerap melakukan pencemaran? Atau ada kaitan dengan politik? Senorita tidak mahu ulas lanjut mengenai semua itu.

Iklan
 Ramai panas hati, marah bila bekalan air terputus di tengah pandemik Covid-19
KETIADAAN bekalan air pada musim Covid-19 telah memberi tekanan kepada mangsa yang terlibat.

Cuma satu harapan Senorita dan berjuta penduduk Lembah Klang agar pihak yang bertanggungjawab segera menyelesaikan isu air yang merupakan krisis paling klasik, namun tidak menemui titik noktah lagi.

Kami mengerti dan bersabar dengan apa juga cabaran dan dugaan, tetapi bila selalu berlaku dan seperti tak berjumpa jalan penyelesaian, kami naik muak dan jemu. Amarah dan sakit hati bagaikan sudah tidak boleh dipendam lagi. Mahu bertabah? Rasanya memang susah dah.

Akhir kata, moga masalah terputusnya bekalan air yang terjadi baru-baru ini merupakan yang terakhir. Harap-harap. Kepada pihak yang berkenaan, bantulah kami untuk hidup dengan selesa, tenang, aman dan damai pada era Covid-19 ini yang betul-betul merupakan ujian terbesar dan memeritkan daripada ALLAH SWT kepada penduduk bumi.

Foto Bernama dan Unsplash