Rasa seperti tertidur satu jam, berikut kronologi kejadian remaja hilang 30 jam di Gua Musang

January 13, 2022
Oleh Azma ML

BERITA kehilangan seorang remaja di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, Gua Musang menjadi perhatian ramai.

Remaja 13 tahun bernama Muhammad Iznun Al-Azim Mahadi yang dilaporkan hilang sejak Isnin, 10 Januari selamat ditemui pada jam 5.30 petang Rabu, 12 Januari 2022.

Difahamkan, setelah lebih 30 jam hilang, Muhammad Iznun Al-Azim dilaporkan ditemui dalam lemah dan trauma.

Bagaimana  rentetan kejadian remaja ini hilang dan ditemui? Berikut kronologi 30 jam kejadian yang penuh debaran dan tanda tanya.

1. Muhammad Iznun Al-Azim keluar dari rumahnya di Kampung Pasir Linggi pada 9 malam Isnin lalu.

2. Dia dikatakan bermain sepak takraw pada 10 malam bersama rakannya sebelum masuk ke kawasan semak untuk membuang air kecil.

3. Muhammad Iznun Al-Azim bagaimanapun tidak keluar semula menyebabkan rakannya menyangka dia telah pulang ke rumah.

4. Ibunya yang menyedari anaknya belum pulang ke rumah keluar mencari di kawasan sekitar. Bagaimanapun remaja itu gagal ditemui.

5. Ibunya telah membuat laporan polis berkaitan kehilangan remaja itu.

6. Polis mula menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian dengan kekuatan 24 anggota penyelamat bermula 8.00 pagi.

7. Manakala pasukan Bomba dan Penyelamat turut melakukan operasi SAR. Operasi terpaksa ditangguhkan pada 1 pagi susulan keadaan yang gelap dan disambung semula pada 8 pagi.

8. Operasi ini turut dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

Iklan

9. Bagaimanapun pada jam 5.30 petang Rabu, Muhammad Iznun Al-Azim ditemui pada jarak dua kilometer dari lokasi dia dipercayai hilang.

10. Remaja itu berjalan dalam kepenatan serta kelihatan kebingungan ketika ditemui penduduk yang kebetulan melalui kawasan kampung itu dikenali sebagai Kak Yah.

11."Kata Kak Yah, semasa dalam perjalanan ke sini dia bersama rombongan lain melalui jalan tersebut dan melihat seorang remaja lelaki sedang berjalan dalam keadaan lemah serta kotor sambil memegang selipar,” kata ibu, Khairul Nisa Hamzah, 45.

12. Bagaimanapun orang yang bersama Kak Yah mengatakan tidak nampak kelibat Muhammad Iznun Al-Azim seperti yang dilihat wanita itu.

13. Khairul Nisa memaklumkan anaknya itu masih lagi tidak dapat bercakap dan kebingungan.

14. Wanita itu memaklumkan Muhammad Iznun Al-Azim masih berdiam diri dan trauma.

Iklan

TAKUT APABILA DIMINTA TIDUR

Menerusi laman sosial Facebook, bapa saudara Muhammad Iznun Al-Azim, Azizul Rahman memberitahu selain lemah longlai, anak saudaranya takut apabila diminta tidur.

“Syukur Alhamdulillah selepas dua malam (hilang) petang ni ditemui. Pertengahan jalan, dua kilometer dari rumah dalam keadaan lemah longlai, lesu, trauma.

"Apabila disuruh tidur, dia hanya cakap takut,” tulisnya.

Baca juga: Video Tragedi Cenuram Runtuh Timpa Bot Pelancong Tular, 7 Maut Sekelip Mata, Berikut Kronologi Kejadian

TIDUR 1 JAM

Dalam hantaran lain, Azizul turut memaklumkan anak saudaranya itu merasakan dia tertidur selama satu jam walaupun  hakikatnya tempoh hilang adalah 30 jam.

“Apabila tanya dia sedar atau tidak, dia kata malam tu dia jalan cuma nampk gelap. Apabila sedar dia buka WhatsApp dalam keadaan sangat mengantuk.

“Dia hanya tahu dia dalam hutan dan tertidur lagi. Bila buka mata dia hanya sedar di tempat yang di jumpai. Dia cuma rasa hanya tertidur hanya satu jam sahaja,” katanya.

Pada 2017, negara pernah digemparkan dengan berita kehilagan seorang pemuda, Mohd Azarul Mukhriz Abdul Rahman.

Dia yang hilang ketika mendaki Bukit Broga pada 22 Januari 2017 ditemui dalam keadaan lemah dan dehidrasi pada 28 Januari 2017.

Lokasi penemuan ialah di trek antara Broga dan Gunung Tokwan.

Baca juga: [VIDEO]Wanita OOTD di Telaga Tujuh Langkawi tetiba muncul wajah misteri buat ramai seram

Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram! 

Sumber: Sinar Harian, Facebook Azizul Rahman

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *