‘Rehatlah sayang’ -Ibu reda anak ditunggu 4 tahun ‘pergi’, catatannya menyentuh hati warganet

A
A
A

‘REHATLAH sayang’, demikian ungkap seorang ibu yang reda kehilangananak tersayang selepas tidak sedarkan diri di rumah pengasuh. Lebih menyentuh hati, si kecil itu adalah zuriat yang ditunggu empat tahun.

Pengguna Facebook, Zulaikha Jarkasi melalui hantarannya di laman sosial itu berkongsi catatan sayu kehilangan cahaya matanya. Berikut catatan beliau yang menyentuh hati warga maya :

"Selamat berehat sayang mama ayah dari dunia yang kejam. Walaupun perit terpaksa Mam Ayah lalui kerana ALLAH takkan menguji hamba-NYA di luar kemampuan mereka. Berat sungguh ujian-MU YA ALLAH.

“Empat tahun mama ayah tunggu awak tetapi ALLAH bagi pinjam setahun sahaja untuk kami menumpang kasih, merasai pengalaman menjadi mama dan ayah.Terima kasih anak untuk setahun bersama kenangan kita,” titip Zulaikha.

Kredit foto: Pexels

Beliau menerangkan ramai yang tertanya-tanya apa sebenarnya yang terjadi pada Harith dan menjelaskan kejadian berlaku seperti berikut:

20 Oktober 2022. Masa ni mama syif pagi (7.00 pagi hingga 2 petang). Jadi 6.30 pagi mama serahkan Harith kepada pengasuh seperti biasa. Sebelum keluar rumah tukar lampin dan letakkan Harith dalam  kerusi keselamatan bayi (baby car seat).

Ketika itu Harith sudah berjaga, ketika dalam kerusi keselamatan bayi pun terjaga. Harith tidak sambung tidur.

9.54 pagi Mama menghantar Whatsapp kepada pengasuh bertanya keadaan Harith. 11.04 pagi pengasuh balas beritahu Harith sedang tidur

“Harith tidur, tadi berjaga lama, hee”.

11.59 pagi

Pukul 11.59 pagi ada nombor tidak dikenali menelefon dan beritahu nama mama serta mengatakan anak mama nama Muhammad Harith ada di bahagian kecemasan dan diminta untuk turun segera.

Ketika tu mama tidak tahu apa yang berlaku dan mama terus hubungi ayah minta datang cepat. Mujur ayah angkat panggilan, ayah tengah tidur sebab kerja malam.

Sampai sahaja di ruangan rhesus mama tengok Harith terbaring atas stretcher sambil dikerumuni oleh doktor-doktor dalam keadaan mata terpejam.

Mama sangat buntu dan terkejut dengan apa yang terjadi kerana pagi tadi mama hantar ke pengasuh, Harith baik-baik sahaja. Hampir 20 minit doktor-doktor cuba selamatkan Harith.

Alhamdulillah nadi Harith kembali berdegup tetapi tiada respons daripada Harith. Ketika itu ventilator dan wad tidak sesuai untuk pediatrik dan perlu dipindahkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk diwadkan dan dan sokongan ventilator sesuai untuk Harith.

Ketika itu mama tidak mahu berjumpa pengasuh lagi, takut mama tidak dapat mengawal perasaan, jadi mama memilih untuk berdiam diri dahulu. Biar suami yang berjumpa pengasuh dan bertanya kejadian sebenar.

Cerita daripada pengasuh

Ibu berkenaan menceritakan kronologi kejadian seperti yang diceritakan oleh pihak pengasuh.

“Menurut penceritaan pengasuh, selepas mama menghantar Harith anggaran 6.40 pagi suami pengasuh berikan susu dan bermain-main seperti biasa.

“Anak-anak pengasuh seramai empat orang tidur di ruang tamu bersama-sama dengan Harith waktu itu. Pukul 9.30 pagi Harith menunjukkan tanda-tanda sudah mengantuk dan mahu tidur.

“Jadi suami pengasuh berikan susu. Susu yang diminum tidak habis pun diminum kemudian Harith lepaskan botol dan terlena.

Kredit foto: Pexels

“Sekitar jam 10.00 pagi, anak-anak pengasuh yang tidur di ruang tamu sudah mula bangun dan menghidupkan televisyen.

“Suami pengasuh berpesan agar anak-anak tidak membuat bising. ‘Jangan bising nanti Harith bangun’. Mungkin disebabkan bunyi bising Harith tersedar daripada tidurnya,” titipnya.

Menurutnya ketika itu suami pengasuh yang mengambil alih menjaga Harith kerana pengasuh pening kepala kerana sedang hamil dua bulan. Jadi pengasuh tidur di bilik.

“Suami pengasuh bawak Harith masuk ke bilik dan tidur bersama-samanya. Baki susu yang tidak dihabiskan telah diberi sekali lagi dan Harith pun tertidur.

“Katil bersaiz queen dirapatkan ke dinding manakala bantal diletakkan pada sebelah dinding supaya kepala Harith tidak terkena dinding. Di sebelah Harith, ada pengasuh dan suami pengasuh yang tidur bersama-sama di dalam bilik.

“Pada sekitar pukul 11.00 lebih, suami pengasuh tersedar dan ingin mengejutkan Harith kerana sudah tiba waktu makannya.

“Sewaktu beliau hendak kejutkan Harith yang tengah tidur meniarap, suami pengasuh nampak muka Harith sudah biru dan lembik,” tulisnya.

Kredit foto: Pixabay

Melihat keadaan Harith, mereka (pengasuh dan suami) bergegas ke klinik dan setibanya di sana, doktor yang bertugas berkata tiada alat yang mencukupi dan diminta terus bawa ke hospital.

Panik

“Suami pengasuh meminta doktor memanggil ambulans tetapi doktor beritahu ambulans lambat sampai, justeru perlu segera ke hospital.

“Dengan telefon dan beg duit tertinggal di rumah serta rumah yang tidak berkunci mereka bergegas ke hospital yang berhampiran.

“Apabila mama tanya kenapa tidak telefon mama beritahu keadaan Harith tidak sedar di rumah, beliau jawab ketika itu panik tidak apa perlu dilakukan dan mereka terfikir klinik paling dekat. Telefon bimbit suami pengasuh tertinggal di rumah manakala telefon bimbit pengasuh tiada bateri,” tulis Zulaikha.

Sudah baik daripada batuk

Menurut catatan ibu berkenaan, imbasan MRI (pengimejan resonans magnetik) dan mendapati tiada pendarahan. Pemeriksaan X-ray juga menunjukkan tiada tanda-tanda tersedak susu. Malah si kecil itu sudah baik daripada batuk.

“Jika hendak dikata Harith sakit, beliau sihat sahaja sewaktu di hantar ke rumah pengasuh. 15 Oktober hingga 17 Oktober memang Harith ada batuk dan telah menerima rawatan.

“Tetapi 17 Oktober beliau sudah baik, sudah tiada batuk. Hendak dikata punca tidur meniarap pun mustahil kerana bayi berusia setahun kepala sudah cukup kuat untuk alihkan muka jika lemas,” titipnya.

Tiga kejadian berlaku, ibu cari pengasuh baru

Zulaikha mendakwa pernah berhadapan tiga keadaan yang membabitkan anaknya.

“Begitulah kronologi kisah tersebut. Jika ada yang yang bertanya tentang penjagaan oleh pengasuh ini , bagi saya memang beliau ambil sambil lewa tetapi ketika itu kami fikir husnuszon sahaja, tidak mahu buruk sangka dan menjadi ibu bapa yang cerewet. Tetapi apabila sudah jadi begini saya rasa sangat terkilan.

KEJADIAN PERTAMA

Pernah datang awal untuk menjemput anak, anak tidak mandi lagi. Waktu itu saya berkursus (8.00 pagi hingga 5.00 petang) tetapi kerana krusus tamat lebih awal saya terus ke rumah pengasuh pada jam 2.30 petang dan tidak memaklumkan kepada beliau.

Sesampainya saya ke sana, beliau terkejut dengan kehadiran saya dan mengatakan Harith belum mandi lagi. Ketika itu saya rasa marah sangat dan cerita dengan suami.

Tidak mengapa kita bertolak ansur dan nasihat jangan buat seperti itu lagi kerana kita hendak didik anak menjaga kebersihan sejak kecil lagi. Saya akan bekalkan baju ekstra jika baju dipakai kotor terkena makanan.

KEJADIAN KEDUA

Kes kedua dahi Harith mempunyai garis panjang. Apabila ditanya, pengasuh beritahu terkena tab mandi. Seolah tidak logik terkena tab mandi hingga bergaris seperti itu.

KEJADIAN KETIGA

Kes ketiga bibir Harith lebam dan apabila ditanya pengasuh beritahu Harith menggigit terlalu kuat alat kawalan jauh televisyen. Logikkah? Apabila kami beritahu semua ini harapnya beliau lebih berhati-hati menjaga anak asuhan.

'Andai ada yang berkata ‘sebab ni lah aku berhenti kerja’. Ketahuilah bahawa semua ibu mempunyai perasaan begitu tetapi apakan daya kita punya kasut lain.'

Ibu itu mahu kisah yang dilaluinya menjadi pengajaran.

“Buat ibu bapa lain di luar sana, jadikan kisah kami sebagai iktibar.

“Buat pengasuh pula jalankan amanah yang diberikan dengan sebaiknya. Jika rasa tidak mampu untuk menjaga atau apa-apa berterus terang sahaja dengan ibu bapa.

“Terima kasih buat semua yang mendoakan untuk kesembuhan Harith. Tetapi ALLAH lebih sayangkan Harith. Damailah anakku disana. Bermain dengan riang di taman syurga.#muhammadharith#bintangsyurga #Jumaat 28 oktober 2022@11.44am," tulisnya.

Kredit foto: Pixabay 

Zulaikha turut memberitahu pengasuh berkenaan memiliki empat orang anak sendiri yang berusia dalam lingkungan usia lapan hingga tiga tahun manakala Harith adalah satu-satunya anak asuhan yang dijaga ketika itu.

Pengasuh tidur di dalam bilik kerana mengalami alahan mengandung dan sedang hamil dua bulan. Maka suaminya mengambil alh dan apa yang diceritakan lelaki itu juga baharu pulang kerja malam.

Zulaikha mendakwa berkata beliau pernah berkeras untuk menghantar anaknya kepada pengasuh lain memandangkan wanita itu sedang hamil tetapi pengasuh berkenaan berkeras mahu jagakan Harith.

Selepas kejadian dahi bergaris, lebam dan tidak mandi beliau sudah mencari pengasuh lain dan memberi peluang kepada wanita itu untuk menjaga si kecil itu sehingga ke penghujung tahun.

“Saya beranggapan mungkin beliau perlukan duit kerana sedang hamil dan berkeras agar tidak menghantar Harith ke tempat lain. Tetapi saya terlambat…”

Warga maya rata-rata memberikan sokongan buat ibu berkenaan dan menzahirkan ucapan takziah.

-“Allahukbar,bersabarlah duhai ibu,anakmu sedia menunggu untuk ke syurga.”

-“Salam takziah buat puan dan suami. Puan kuatkan semangat. Kalau saya kenal puan saya nak peluk puan kuat.”

-“Al-Fatihah dibaca buat anak syurga ini . Semoga ibu dan ayahnya terus kuat.”

-“Berehatlah sayang di negeri abadi. Semoga Allah beri kekuatan untuk kedua ibu bapa.”

Sumber: Zulaikha Jarkasi

Kredit foto utama: Pexels

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca