BENARLAH dalam kehidupan ini tiada insan mampu meramal masa depan, baik sepahit kopi mahupun semanis buah. Kadangkala perkara berlaku umpama mimpi yang mana semalam bertemu, hari ini hilang sekelip mata.

Itu jualah liku yang perlu ditelan Erni Dekritawati Yuliana Buhari sedikit demi sedikit. Biarpun sedekad sudah berlalu, namun tragedi hitam yang menimpa kekal terpalit dalam kotak memorinya.

Anak sulung kepada jutawan dan pengasas kosmetik Nouvelles Visages (NV), Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya sama sekali tidak menyangka detik 30 Ogos 2010, pukul 4 petang telah membenamkan kedukaan yang cukup menyeksakan jiwa dan raganya hingga hari ini.

Tarikh hitam tersebut merupakan momen terakhir beliau menatap wajah ibu tercinta. Tatkala itu arwah Sosilawati  bergegas keluar dari pejabat menaiki kereta mewah jenis BMW X5, sebelum menuju ke Banting, Selangor.

Bicara Erni Dekritawati Yuliana atau juga dikenali Rita Sosilawati, sebelum bertolak ibunya berkali-kali mengajak supaya turut serta dan berbuka puasa di Banting, tetapi beliau memilih untuk meluangkan masa bersama teman-teman.

”Sebelum bertolak berkali-kali mak (Sosilawati) minta saya menemaninya ke sana (Banting), namun saya menolak lembut kerana hari itu sahaja masa yang ada untuk iftar dengan kawan-kawan.

”Masakan tidak, bulan Ramadan pada tahun itu (2010) berbeza dengan tahun sebelum ini. Sikap mak ketara berlainan. Mak bagaikan enggan berenggang dengan anak-anaknya. Bayangkan, sepanjang menjalani ibadah puasa kami ‘tidak dibenarkan‘ langsung berbuka puasa di luar, bahkan diminta kekal berada di rumah. 

”Saban hari mak sanggup menyingsing lengan di dapur menyediakan juadah berbuka mengikut selera kami enam beradik. Tak sangka, rupa-rupanya itulah adalah Ramadan terakhir kami menikmati air tangan mak,” luah Rita. 

Bergetar nada suaranya menahan sebak ketika ditemui kru SinarPlus di kediamannya di Taman Harmonis, Gombak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

rita sosilawati
BIARPUN kehilangan mak (kiri) tempat meluahkan rasa, namun Rita bersyukur masih memiliki bahu ayah untuk bersandar.

Ya, bukan hanya pada Rita, kematian Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadi, Kamaruddin Shamsuddin, 44; pegawai bank di cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, meninggalkan kesan yang cukup mendalam.

Empat individu terbabit mati dibunuh dalam keadaan mengerikan. Pihak polis mengesahkan mangsa dipukul sampai mati sebelum mayat dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting.

Lebih menyayat hati, pembunuhan tragik itu dilakukan sehari sebelum sambutan kemerdekaan dan beberapa hari sebelum umat Islam di negara ini meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Pembunuhan terancang berkenaan berlaku di sebuah ladang di Banting selepas Sosilawati dan tiga pembantunya itu ke sana untuk urusan jual beli tanah pada 30 Ogos 2010.

rita sosilawati
ANTARA paparan kisah tragik kes Sosilawati yang disiarkan dalam akhbar Sinar Harian pada 10 tahun lalu.

Rita berusia 35 tahun yang memiliki wajah salin tak tumpah persis arwah ibunya meneruskan plot penceritaan. Tuturnya, pada hari kejadian beliau sempat menghubungi Sosilawati sebelum berbuka puasa. Nada suara arwah ceria kerana berpeluang memborong kuih raya dan kerepek yang dijual di sekitar Banting.  

”Komunikasi kami berhenti setakat itu sahaja dan meminta mak sambung cerita di rumah. Justeru, usai sesi iftar bersama teman, saya terus pulang. Namun, hati jadi tak keruan kerana mak masih belum balik meskipun sudah lewat malam.

”Usaha menghubungi mak juga gagal. Niat hati nak buat laporan polis, tetapi tempoh kehilangan belum cukup 24 jam. Pada ketika itu, ALLAH saja tahu perasaan saya yang bercampur-baur. Macam-macam bermain dalam benak fikiran sehingga terdetik kebarangkalian mak diculik,” ujar lulusan Sarjana Perniagaan Antarabangsa Universiti Nottingham, United Kingdom itu cuba mengawal emosi.

Penantian tanpa sebarang khabar berita cukup menyeksakan jiwa. Hari demi hari sarat dengan harapan, Rita sabar menunggu kepulangan Sosilawati.  Namun, siapalah kita untuk menidakkan percaturan ALLAH.

Tatkala menonton Buletin Utama bagi mengetahui perkembangan misteri kehilangan ibunya, hati Rita bagaikan direntap.

Jantungnya turut berdegup kencang dan air mata tumpah mengalir deras dek terkejut apabila mendengar Sosilawati dan tiga individu terbabit mati dibunuh kejam.

”Ruang tamu dan tangisan menjadi saksi kesedihan kami sekeluarga. Kelu lidah untuk berkata-kata, apatah lagi dimaklumkan tiada jasad yang membolehkan famili menyentuh mak buat kali terakhir.

”Kesedihan itu sememangnya dirasai sehingga detik ini. Kami bukan sahaja hilang mak, malah kehilangan seorang insan yang sentiasa menyuntik semangat dan menjadi rujukan mencari solusi bagi setiap masalah dihadapi ,” katanya yang turut menyerap sebahagian sisi Sosilawati dari aspek ketegasan, ketabahan dan ketelitian dalam mengendalikan empayar perniagaan.

Kuat demi lima adik

rita sosilawati

Ditebak persoalan impak mental dan emosi yang dihadapi susulan episod hitam tersebut, anak jati Kuala Lumpur itu mengambil masa sebulan untuk keluar berdepan dunia luar. Sepanjang tempoh itu beliau banyak mengadu kepada-NYA supaya memberikan kekuatan luar biasa demi lima adiknya dan diri sendiri.

Selain Rita, anak-anak Sosilawati juga terdiri daripada Erwan Suwari Ridzuan, 34; Erni Erinawati Sofea, 31; Md Erwan Nasri, 33; Erni Reenilawati, 30, dan Siti Nur Fatimah berusia 23, hasil perkahwinan pertamanya dengan Buhari Mohamad.

”Walaupun sedih kehilangan mak saya perlu bangkit dan tabah. Hidup mesti diteruskan seperti biasa kerana merudum kedukaan berpanjangan tidak membawa apa-apa manfaat sedikit pun. Sebab itu, sebelum mengambil keputusan kembali bekerja, saya menyusun strategi supaya tidak rapuh di tengah jalan.

”Lagipun saya percaya kalau mak masih hidup, beliau pasti mengimpikan anak-anaknya menjalani kehidupan normal seperti orang lain. Kecekalannya sebagai ibu tunggal selama 15 tahun dan berusaha mencari rezeki membesarkan kami tanpa secebis rungutan menjadi pemangkin buat saya.

”Sejujurnya, kesedihan masih berbekas sehingga detik ini. Orang luar mungkin nampak saya tenang dan ceria, tetapi mereka tidak tahu betapa gigihnya saya memujuk hati keluar daripada kepompong berendam air mata,” jelasnya yang bersyukur dikurniakan suami, Khamarulzaman Mohammad Hanafiah yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan.

rita sosilawati
RITA (kanan) bahagia disamping suami dan empat cahaya mata.

Meneruskan legasi ibu 

Dalam pada itu, memikul peranan sebagai Pengarah Urusan Novelles Visage, legasi yang ditinggalkan Sosilawati bukan tugas mudah buat Rita. Menerajui syarikat kosmetik pada usia menginjak 25 tahun memerlukannya agresif memasang strategi bisnes.

”NV adalah peninggalan mak yang cukup istimewa dan bermakna. Jika bukan saya menggalas tanggungjawab ini bimbang pekerja hilang mata pencarian. Diakui sukar untuk usia ketika itu, namun berkat pendedahan sejak di bangku sekolah menengah memberikan saya keyakinan hingga hari ini.

rita sosilawati
SELAIN meneruskan syarikat NV legasi arwah ibu, Rita juga mengendalikan bisnes tas tangan di bawah label Victoria Sloane.

”Memulakan bisnes baharu mudah, tetapi untuk meneruskan perniagaan sedia ada adalah sebaliknya. Cabaran paling utama apabila akaun syarikat dibekukan selama tujuh tahun kerana status mak kategori orang hilang kerana tiada jasad.

Iklan

”Susulan kewangan tersekat di bank, maka saya terpaksa meneruskan operasi syarikat dengan membuka akaun baharu berbekalkan modal sedikit. Pun begitu, saya berjaya pusing modal, bayar pinjaman dan bayar gaji staf berkat jualan NV hasil pembelian rakyat Malaysia,”jelasnya.

Dalam pada itu,  Rita bersama lima adiknya turut mengumpul wang bagi memastikan kebajikan staf NV dijaga pada fasa awal beliau ambil alih syarikat terbabit.

PROFIL

Nama penuh: Erni Dekritawati Yuliana Buhari

Umur: 35 tahun

Tempat lahir: Kuala Lumpur

Adik-beradik: Anak sulung daripada enam beradik

Suami: Khamarulzaman Mohammad Hanafiah

Anak: Kaisar Raees, 8 Khalid Rashad, 7 Khaylila Rafaahiyah, 5 Khalil Rizqullah, 3

Pendidikan:

– Sekolah Kebangsaan Convent Bukit Nenas 1, Kuala Lumpur

Iklan

– Sekolah Convent Bukit Nenas, Kuala Lumpur

– Diploma Seni Lukis dan Seni Reka Tekstil, UiTM Machang, Kelantan

– Ijazah Seni Reka Tekstil, UiTM Shah Alam, Selangor

– Sarjana Perniagaan Antarabangsa Universiti Nottingham, United Kingdom

– Doktor Falsafah, Universiti Utara Malaysia (sedang melanjutkan pengajian)

Hobi: Membaca genre filosofi dan pemasaran, memasak dan menyanyi

Kerjaya: Usahawan

Instagram: @rita_sosilawati