JANGKITAN kes Covid-19 di seluruh negara dilihat semakin membimbang dan menakutkan sekali.

Semalam, 7,478 kes dicatatkan dan yang paling tertinggi direkodkan sejak pandemik melanda Malaysia.

Pastinya, para petugas barisan hadapan juga berada dalam situasi kritikal dalam mengendalikan pesakit-pesakit yang berada di pusat-pusat rawatan.

Ia bukan sekadar cakap-cakap sahaja dan bukan seronok-seronok dibaca atau didengari sahaja ya.

Situasi itu telah mendorong seorang doktor yang dikenali sebagai Dr Azmi Salleh menulis sepucuk surat terbuka untuk tatapan rakyat Malaysia dengan harapan masyarakat buka mata dan membantu menyelamatkan diri sendiri daripada menjadi mangsa seterusnya.

Beliau juga merayu agar semua daripada kita tidak keluar rumah jika tiada sebarang kepentingan.

Luahan Dr Azmi itu telah dimuat naik dan dikongsi menerusi Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Saya adalah seorang doktor barisan hadapan yang berjuang melawan wabak Covid-19.

“Sejak timbulnya wabak, kami semua tenaga perubatan menghadapinya ibarat peperangan tanpa asap senapang dan tiada ragu kami bekerjasama di dalam medan perang pertahanan melawan wabak itu.

“Kami menganggap diri kami adalah parajurit yang berkewajipan maju ke hadapan dengan darah daging melawan wabak penyakit, ‘merebut’ semula nyawa seseorang daripada cengkaman malaikat maut.

“Namun, sebenarnya kami juga hanyalah manusia dan bukan malaikat,” ujar beliau.

Memberi gambaran di kawasan kuarantin, Dr Azmi berkongsi, Pakaian Perlindungan Diri (PPE) yang mereka pakai harus perlu betul-betul tebal dan ketat agar dapat menjamin keselamatan hidup frontliners.

“Kami perlu memakai dua lapisan pelitup muka, dua lapisan pembungkus kasut (shoe cover), lima lapis sarung tangan dan pada bahagian luar pula, kaca mata pelindung harus dipasang.

“Untuk satu syif bekerja, ia memerlukan tempoh masa 5 jam. Setelah memakai PPE, kami semua tidak boleh makan, minum mahupun ke tandas,” tambah beliau.

Pastinya, dengan mengenakan PPE itu, seluruh pasukan bekerja keras dalam perjuangan dan semua orang merasakan pergerakan fizikal yang amat terbatas.

Bukan itu sahaja, ketika anggota barisan hadapan ‘melepaskan’ pakaian pelindung, pakaian di dalam kami basah kuyup seluruhnya, beritahu Dr Azmi.

“Pada muka kami juga timbul garis-garis cengkaman bekas kaca mata pelindung.

“Lebih menyayat hati, ada doktor yang sudah teramat lemah, badannya sudah hampir tenat, setelah masuk bilik istirehat dan minum seteguk air, lalu perlu kembali masuk ke kawasan kuarantin untuk terus bekerja,” tulisnya lagi.

Ada juga doktor yang jari tangannya terluka!

Namun, setelah dibungkus rapat dengan pelindung plastik, mereka kembali ke tempat berjuang di barisan hadapan.

“Kami juga punya orang tua, kami juga punya anak dan keluarga.

“Kami tidak memikirkan keselamatan diri kami, tidak memikirkan apakah diri sendiri hidup atau mati. Demi merebut nyawa manusia daripada malaikat maut, semuanya adalah agar dapat menangkan peperangan Covid-19 ini,” tuturnya.

Iklan

Di sebalik semua pengorbanan itu ada satu harapan besar yang menjadi tujuan asalnya.

“Harapannya supaya keluarga dan saudara-mara kita semua dapat melepaskan pelitup muka dan menikmati kembali udara segar,” tambahnya.

Jadi, buat semua kawan-kawan, Dr Azmi memohon kalian bekerjasama dengan negara termasuklah semua barisan hadapan dengan ada kesedaran sendiri.

“Teruslah mengasingkan diri, jangan keluar rumah dan lakukanlah pembatasan diri yang mana saya kira ia tentu tidak menyenangkan sekali bukan?,” tulisnya lagi.

Ingat, apabila satu orang, dua orang atau tiga orang hanya memikirkan dan mementingkan kesenangan diri sendiri, maka semua perjuangan sebelumnya dalam peperangan wabak ini akan menjadi sia-sia.

“Rumah yang menurut kalian adalah tempat yang membosankan, namun bagi kami para tenaga perubatan dan petugas yang berjuang, itulah lokasi yang kami ingin pulang (meskipun tidak dapat berbuat sedemikian),” ujarnya.

Iklan

Pada masa sama, Dr Azmi turut berpesan dan memohon sebarkan keprihatinan ini dan meminta rakan-rakan semua jangan keluar rumah sesuka hati.

“Mungkin itu pengorbanan yang tidak seberapa tetapi ketahuilah ia sangat bermakna untuk kami,” tambah beliau.

Jadi, ayuhlah bantu negara putuskan semula rantaian wabak Covid-19.

Ingat, kita pernah mencatat sifar kes untuk beberapa hari dan melandaikan jumlah pesakit yang disahkan positif suatu ketika dahulu.

Jadi, tiada yang mustahil bukan?

Terdahulu, perkembangan itu menyaksikan dua hari berturut-turut Malaysia merekodkan 7,000 kes jangkitan dan manjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 mencecah 533,367 kes.

#kitajagakita