PENDAKWAH selebriti, Datuk Ustaz Kazim Elias Al-Hafiz baru-baru ini mendedahkan dirinya disihir.

Video memaparkan pendakwah berkenaan sakit pada bahagian sehingga perlu menggunakan tongkat dan kerusi roda menjadi tular di laman sosial.

Dalam siaran langsung bersama sebuah pusat rawatan Islam di laman Facebook rasminya, Ustaz Kazim berkongsi tentang keadaan terkini dirinya.

Terdahulu, bahagian betis dan kaki kirinya membengkak  sehingga tidak boleh disentuh.

Dalam perkembangan terbaru, Ustaz Kazim berkongsi keadaan semakin baik. Beliau memberitahu kakinya itu sudah boleh dilipat, malah beliau juga boleh berjalan tanpa bantuan tongkat mahupun kerusi roda.

Solat juga boleh dilakukan dengan baik kecuali duduk tahiyyat awal dan akhir.

“Masih lagi berasa keletihan dan percakapan yang masih terganggu. Lain yang nak dicakap, lain pula yang dituturkan.

“Kaki ini sejak dua hingga tiga minggu lepas membengkak dari betis hingga ke kaki.

“Mula-mula disangkakan bisul berikutan tompok merah, namun jika diamati tiada mata atau nanah.

“Kemudian saya guna ubat tradisional untuk kaki yang bengkak. Saya makan dan sapu. Saya tumbuk dan lumur menggunakan perubatan tradisional.

“Alhamdulillah bengkak surut sedikit, pembantu kata kena refer ke klinik kerana saya menghidap diabetes. Namun doktor perubatan memberitahu ia adalah bisul.

“Doktor beri ubat bengkak, antibiotik dan beri tempoh hingga Jumaat. Jadi, saya ambil ubat disamping perubatan tradisional.

Rentetan itu, Ustaz Kazim memberitahu doktor berkata kakinya perlu dibedah.

“Doktor bius dan membelah kawasan bengkak berkenaan. Dan bila dibelah tiada darah yang keluar. Malah nanah juga tidak wujud,” katanya.

Keadaan kaki kiri Ustaz Kazim ketika membengkak.

Dalam pada itu, beliau juga turut berkongsi penemuan barangan yang mencurigakan dipercayai barangan sihir di kawasan Pusat Pendidikan Al-Barakah.

“Isnin sebelum itu, saya melawat kawasan kuliah. Pada waktu PKP, kuliah untuk orang awam tidak dibuka. Lokasi berkenaan ialah laluan saya untuk ke dewan,” katanya.

Beliau menemui serbuk putih pada lantainya. Kemudian apabila berjalan beberapa langkah ke hadapan, kelihatan sebuah kotak yang separuh terbakar.  Didalamnya terdapat gambar-gambar milik Ustaz Kazim dibakar.

Kata beliau mengikut pengajiannya, perkara berkenaan ialah satu bentuk sihir. Bahan berkenaan difahamkan telah dibuang oleh pembantu beliau setelah ‘ditawarkan’ sihirnya.

Kotak yang berisi abu ditemui di kawasan pusat pendidikan milik Ustaz Kazim.

Susulan dari dari itu, menurut Ustaz Kazim, kakinya dirasakan berat, sakit, tidak boleh memijak lantai dan membengkak. Bahkan beliau juga tidak boleh tidur pada waktu malam.

“Saya tidak boleh tidur, syukur tidak merasa pening. Bacaan tekanan darah, jantung dan paras oksigen juga baik. Cuma saya tidak boleh tidur. Apabila tidur, saya mesti akan terjaga, ada rasa nak buang air kecil, rasa nak marah dan tidak boleh bernafas.

“Bila buang air kecil, ia tidak banyak. Bila nak tidur, rasa nak buang air kecil semula,” katanya.

Bagaimanapun, Pengetua Pusat Pendidikan Al Barakah itu bersyukur keadaan kakinya semakin baik.

Malah katanya percakapannya semakin baik. Jumaat lepas difahamkan beliau mengalami masalah percakapan hingga tidak dapat menyampaikan kuliah.

Beberapa kuliah terpaksa dibatalkan kerana katanya rasa ‘berangin,’ hendak termuntah dan tidak tahu apa yang nak dituturkan.

Dalam pada itu, terdapat beberapa penonton Facebook live itu tidak percaya tentang sihir itu wujud.

Iklan

Komen Ustaz Kazim, sesiapa yang tidak mempercayai sihir wujud adalah murtad. Kerana sihir telah disebut dalam Al-Quran dan hadis. Salah satu perkara yang membinasakan ialah sihir.

“Kalau saya tak tidak mengajar, berapa ribu orang akan kehilangan majlis ilmu. Agak-agak berapa juga yang tidak lagi mengikuti kuliah saya.

“Cara nak menghentikan ilmu ini ialah mematikan ulama. Sekarang ini bukan saya sahaja yang sakit, terdapat dua orang lagi ustaz yang sakit sama seperti saya kena,” katanya enggan menyebut nama dua pendakwah berkenaan.

Bercakap mengenai pendinding, pendakwah kelahiran Kampung Paya, Batu Kurau, Selama, Perak itu turut mengamalkan ayat-ayat Al-Quran dan doa.

”Kita bergantung kepada ALLAH dan kalau ALLAH izinkan, saya reda. Mungkin ada dosa-dosa dan salah saya. Nabi Muhammad SAW juga ada sejarah disihir. Jika Rasulullah juga pernah diuji, apatah lagi kita,” kata Ustaz Kazim.

Katanya kepada penonton Facebook live terbabit, mereka tidak perlu percaya beliau disihir tetapi sebagai umat Islam, mereka perlu percaya sihir itu wujud.

“Saya pun tidak paksa percaya, suruh percaya dan cari simpati tuan puan saya disihir. Tetapi jika tuan puan tidak percaya sihir itu wujud, murtad kita. Kafir kita. Kerana sihir ada di dalam Al-Quran.

“Sihir ada perbahasan yang khusus dalam Al-Quran dan hadis. Ia adalah perkara luar biasa yang menyalahi kebiasaan dan adat, yang dipelajari serta digunakan untuk memudaratkan orang lain. Itu maknanya sihir. Maka wajib kita percaya sihir itu wujud,” katanya.

Iklan

Menempelak golongan yang berkata beliau meraih simpati, katanya bukan itu yang diharapkan.

“Saya sudah tua, bukan nak cari simpati lagi. Saya dah bercucu. Kalau ada yang berkata Ustaz Kazim nak glamour, saya tak glamour lagikah? Apa lagi glamour yang saya nak cari? Bukan nak cari publisiti lagi.

“Apa yang saya nak kongsikan ialah tentang sihir itu wujud. Jangan amalkan sihir kerana ia menyusahkan kepada orang disihir, kesan besar kepada masyarakat dan diri orang yang mengamalkan sihir itu sendiri,” kata beliau.

Ustaz Kazim menegaskan perkongsiannya adalah sebagai mendedahkan kepada masyarakat sihir itu wujud, hasad dengki itu wujud, iri hati itu wujud.  Malah penyakit ain pun wujud.

 

Diharapkan kita semua mengambil iktibar dan pengajaran, menjauhi perkara-perkara yang berkaitan sihir, sentiasa bersangka baik agar tiada hasad dengki dan iri hati. Semoga info yang dikongsikan ini bermanfaat.

Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram! 

Sumber: Facebook Dato’ Ustaz Mohd Kazim Elias