QADA dan qadar hidup seorang manusia tidak sama. Kebahagian ataupun kesulitan yang dihadapi berbeza-beza antara satu sama lain.

Bagi Siti Wahida Abdul Aziz, 36, ketentuan hidupnya memang cukup meruntun sanubari. Jika sesetengah orang sudah mengeluh dan sakan merungut, tetapi wanita itu tidak sebegitu.

“Dikurniakan tiga anak lelaki yang masing-masing disahkan menghidap penyakit lebihan cecair di dalam otak atau hydrocephalus adalah ujian  ALLAH kepada hamba-NYA terpilih. Hamba-NYA itu adalah saya,“ katanya membuka bicara ketika diwawancara menerusi corong telefon baru-baru ini.

Mengimbau kembali kisah lalu, wanita itu berkata, selepas setahun membina istana cinta bersama lelaki pujaannya, Che Li Md Arshad, beliau mengandung anak sulung.

“Seperti wanita hamil lain, saya hanya muntah-muntah biasa sahaja. Pun begitu, semasa proses imbasan perut terakhir sebelum bersalin, doktor kesan saiz kepala anak saya tak normal. Selepas itu, doktor sahkan anak menghidap hydrocephalus dan terpaksa dibedah.

“Saya terpisah selama 23 hari dengan anak yang diberi nama Muhammad Saiful Asyraf, hanya suami yang berulang alik ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Perak untuk melawat anak.

hydrocephalus

“Ketika berusia empat hari, si kecil itu sudah menjalani pembedahan memasukkan shunt atau tiub khas pada bahagian kepalanya,“ ujarnya yang menetap di Kampung Tanjung Lengkong, Rantau Panjang, Selama, Perak.

Berkat doa semua, Muhammad Saiful Asyraf yang kini  berusia 13 tahun sudah semakin baik.

Pun demikian, tiga tahun selepas itu, Siti Wahida diberitakan hamil sekali lagi.

Seperti sudah ketentuan, anak keduanya, Muhammad Taufiq Iqbal yang kini berusia 10 tahun juga berdepan dengan masalah hydrocephalus.

Begitu juga dengan zuriat ketiga pasangan berkenaan, Muhammad Al Wafie, 6. Sama seperti kes cahaya mata pertama, kedua-dua kanak-kanak itu hanya dikesan mengalami penyakit itu ketika hampir hendak bersalin.

hydrocephalus

Menurut Siti Wahida, Muhammad Taufiq Iqbal yang sudah mampu berdiri sendiri kini pernah menjalani pembedahan pemasangan shunt pada usia tiga tahun, namun tidak sampai setahun terpaksa dibuka kerana terdapat jangkitan kuman.

Kisah Muhammad Al Wafie pula seperti abang sulungnya apabila terpaksa dibedah ketika berusia empat hari. Si kecil itu hanya mampu terbaring dan bergantung kepada susu dan makanan lembut, ujar beliau.

Iklan

“Kalau nak diikutkan, dalam ahli keluarga saya dan suami, tiada satu pun mempunyai penyakit seperti itu. Tak mengapa, saya reda dengan ketentuan ALLAH SWT.

“Mula-mula itu memanglah rasa sedih sebab ketiga-tiga anak sakit macam itu, sudah buat ujian darah dan sebagainya, namun masih tiada jawapan konkrit. Saya dan suami pasrah dengan semua dugaan ini. Kami sayang mereka sampai hujung nyawa,“ tuturnya.

hydrocephalus

Apabila menyentuh tentang kos rawatan susulan tiga anak syurganya itu, Siti Wahida berterus-terang. Kata beliau, suaminya bergantung dengan pendapatan sebagai operator kilang.

Iklan

Tidak mahu hanya berdiam diri, beliau menjual kerepek pisang secara kecil-kecilan untuk menambah pendapatan. Beliau juga mengambil upah menjahit langsir di samping menjaga dan menguruskan tiga anaknya.

“Alhamdulillah keadaan anak-anak semakin baik, tidak macam dulu lagi (kerap sawan) dan harap begitulah bila besar nanti. Kami pun bersyukur dengan bantuan yang diterima daripada Baitulmal dan pemimpin setempat. Ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung seperti kos membeli lampin pakai buang dan susu.

“Cuma, besar harapan saya kalau saya dapat memiliki mesin sagat pisang bagi memudahkan kerja membuat kerepek. Sekarang ini, semua pisang disagat dengan tangan dan hanya mampu hasilkan 20 kilogram kerepek seminggu,“ katanya yang menjual kerepek pisang berharga RM1 sebungkus.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga itu, boleh salurkan dana ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0822129000152084 (Siti Wahida Abdul Aziz) atau terus berkunjung ke rumahnya.